Pages

Sunday, 21 June 2015

Daulat Seorang Ayah Bernama Tun Mahathir - DS Mukhriz


DAULAT SEORANG AYAH

Ha, when did you get back, Is?, tanya ayah walhal saya sudah hampir seminggu pulang dari MRSM Kota Bharu (kini MRSM Pengkalan Chepa) untuk cuti semester.

Sepanjang saya berada di rumah No. 3 Jalan Tunku, iaitu kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, ayah tidak banyak bercakap. Dia sekadar menjawab pertanyaan saya dengan sepatah dua perkataan sahaja. Entah kenapa, kali ini ayah tidak mesra berbual seperti selalunya.

Lima hari berlalu dengan keadaannya sama sahaja, ibu menghulurkan duit RM5 dan menyuruh saya pergi gunting rambut. Setelah pulang ke rumah dengan rambut pendek dan kemas, barulah dari belakang surat khabar ayah menyapa: “Ha, bila balik Is?”

Rupa-rupanya kepulangan saya dari maktab dengan rambut yang agak panjang dan kusut masai sangat tidak disenangi ayah. Tetapi cara dia menunjukkan kemarahannya dengan tidak terus menegur saya, langsung tidak saya fahami.

Hal itu saya sedari hanyalah setelah ibu dengan tepat meneka tindakan yang boleh menjernihkan keadaan iaitu dengan saya memotong rambut.

Agaknya kerana terkejut dengan episod itulah pertumbuhan rambut saya terencat dan akibatnya semua orang dapat lihat sendiri!

DALAM TEGAS, KASIH MELIMPAH

Ayah seorang yang tegas dengan anak-anaknya tetapi ketegasan itu disirami kasih sayang yang sangat dalam. Kalau ada apa-apa yang tidak kena dengan anak-anak, tugas memperbetulkannya jatuh di tangan ibu. Ayah akan tangani sendiri jika timbul hal-hal yang dianggap besar melibatkan anggota keluarga.

Sejak usia muda kami adik beradik faham bahawa masa dan perhatian ayah lebih tertumpu kepada rakyat daripada keluarga. Itulah realitinya sampai hari ini. Oleh itu, hal-hal dalaman keluarga diselesaikan oleh ibu tanpa perlu mengganggu ayah.

Begitu berkesan cara ibu menguruskan hal-hal keluarga sehingga membolehkan ayah menumpukan masa dan tenaga kepada urusan negara. Dewasa ini saya dilihat mempunyai sifat penyabar. Sifat banyak bersabar itu tentunya saya warisi dari ibu.

Mujurlah Siti Hasmah berkahwin dengan Mahathir. Kalau orang lain, kemungkinannya lelaki pilihan Siti Hasmah itulah yang akhirnya menjadi Perdana Menteri!

HIJRAH

Ketika ibu melahirkan saya pada November 1964 itulah kali pertama ayah tidak berada di sisinya seperti ketika kelahiran kakak dan abang-abang saya.

Sewaktu saya teriak nyaring setelah punggung saya “ditampar” oleh jururawat - atau misi kata orang Kedah - wad bersalin Hospital Besar Alor Star, ayah berada dalam kereta api menuju ke Kuala Lumpur untuk menghadiri hari pertama Sidang Dewan Rakyat sebagai Ahli Parlimen Kota Star Selatan yang baru dimenanginya.

Thursday, 11 June 2015

Agong Hadiri Majlis Santapan Malam Mesyuarat Majlis Raja-Raja



Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke majlis santapan malam bersempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu kali ke-238 di Istana Negara, malam ini.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja-Raja Melayu dan wakil-wakil Sultan.

Antara yang hadir ialah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail; Sultan Perak, Sultan Dr Nazrin Muizzuddin Shah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, wakil Sultan Johor, Tunku Bendahara Johor, Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor turut hadir pada majlis itu.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, para menteri besar, ketua menteri dan isteri masing-masing juga menghadiri majlis santapan malam itu.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja hari ini dipengerusikan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

-- BERNAMA

Monday, 1 June 2015

Hadi Awang Sila Undur Dari Presiden - Nizar Jamaluddin



Menjelang pemilihan Pas Khamis depan, kem yang pro-DAP atau lebih dikenali sebagai kelompok Anwarinas di dalam Pas semakin mempergiatkan serangan ke atas Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam siri serangan terbaharu, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin secara terbuka menyatakan selepas muktamar, Pas perlu diwakili oleh presiden serta barisan pimpinan baharu yang mendukung pakatan.

Beliau yang turut bertanding Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, individu yang memperkecilkan rakan pimpinan dalam pakatan terutama pemimpin DAP tidak layak untuk dikekalkan dan perlu digantikan dengan muka baharu.

Kenyataan keras tanpa berselindung itu hanya berselang sehari selepas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu sendiri mula melemparkan kritikan serta sindiran secara terbuka ke atas Abdul Hadi.

“Selepas muktamar apa yang saya mahu lihat ialah muka presiden yang baharu. Presiden perlu baharu dan barisan kepimpinan juga perlu muka baharu. Pas perlu dipimpin oleh ulama (tetapi) siapa ulama itu? Dia ialah Ustaz Ahmad Awang.

“Dia (Abdul Hadi) boleh cakap Arab, Ahmad Awang juga boleh bercakap Arab tapi dia boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, Abdul Hadi tidak boleh,” katanya dalam forum ‘Mampukah Pas Dilonjakkan Pasca 2015’ di sini malam semalam.