Pages

Thursday, 19 April 2012

KONTRAK SOSIAL DAN KEWARGANEGARAAN


KONTRAK SOSIAL DAN KEWARGANEGARAAN : KESAN KEPADA ORANG MELAYU DAN TINDAKAN MASA HADAPAN

Mukaddimah

1.            Ini adalah Kertas Pandangan Gagasan Melayu Perak (GMP) mengenai isu-isu semasa yang melingkari umat melayu khususnya di Perak.

2.            Tujuan utama ianya dibuat adalah untuk kegunaan pihak GMP di dalam merangka pelan bagi mana-mana pihak yang mempunyai agenda untuk kepentingan kaum melayu.

3.            Kertas ini juga dibuat khusus untuk diskusi Jawatankuasa Perundangan GMP.

Sejarah Sosial Kontrak

1.            Seperti lazimnya dengan hal-hal yang berkaitan dengan jurispruden politik dan perundangan, kebanyakkan teori-teori di citracipta oleh orang Eropah.

2.            Penulis tidak dapat melenyapkan rasa jengkel yang dialami semenjak mula-mula melangkah masuk ke Fakulti Undang-Undang UKM apabila terpaksa mempelajari akan kompleks pemikiran ahli-ahli falsafah Eropah yang tiada kena mengena dengan budaya dan cara hidup di Malaysia.

3.            Ikatan Sosial Kontrak direkacipta oleh ahli-ahli pemikir di Eropah dan yang paling terkenal di antara mereka ialah Socrates seorang ahli falsafah Greek yang dijatuhi hukuman mati oleh Kerajaan Greek.

4.            Apabila diminta oleh rakan-rakan supaya melarikan diri dari bandar Athens tempat di mana beliau dijatuhkan hukuman mati ke sebuah bandar lain di dalam Empayar Greek bagi mengelak dari tertakluk kepada sistem perundangan bandar Athens beliau dengan keras mengatakan enggan berbuat demikian.

5.            Ini adalah kerana beliau merasakan bahawa beliau terikat dengan sosial kontrak bandar Athens, memandangkan beliau sedari kecil sehingga dewasa telah memperolehi kebaikan dari sistem perundangan Bandar Athens.

6.            Sebelum terdapat undang-undang, manusia hidup secara semulajadi di mana yang kuat akan menguasai yang lemah atau lebih dikenali sebagai undang-undang belantara

7.            Namun, dunia berevolusi begitu juga dengan amalan berkerajaan akhirnya sistem undang-undang digunapakai disetiap masyarakat di mana-mana negara di dunia di mana dengannya teori sosial kontrak Socrates terpakai.

8.            Manusia yang menganggotai masyarakat ini tidak pernah menandatangani mana-mana perjanjian dengan pihak kerajaan untuk mematuhi undang-undang yang digubal oleh kerajaan masing-masing.

9.            Namun, setiap dari kita seolah-olah diprogram untuk mematuhi undang-undang. Kita juga seolah-olah redha apabila dijatuhi hukuman berdasarkan undang-undang sesebuah Negara. Inilah yang dinamakan sosial kontrak.

10.         Sebagai contoh, kita tidak pernah menandatangani apa-apa perjanjian dengan pihak kerajaan untuk mematuhi Akta Lalu Lintas 1959 dan Kaedah-kaedah lalu Lintas 1959. Namun, setiap dari kita tahu bahawa apabila lampu trafik menyala merah semua kenderaan harus berhenti dan meneruskan perjalanan apabila bertukar hijau. Setiap dari kita juga tahu adalah salah untuk tidak berhenti apabila lampu merah dan tanpa ragu-ragu kita semua tahu kesalahan itu patut dijatuhkan hukuman.

Sosial Kontrak Sebelum Kemerdekaan Malaysia

1.            Sebelum pembentukan Malaysia yang termasuk di dalamnya Sabah, Sarawak, Singapura (ditendang keluar pada tahun 1965) dan Brunei (menarik diri sebelum pembentukan), Semenanjung Tanah Melayu, iaitu paksi pembentukan Malaysia tidak mempunyai satu undang-undang yang bersekutu.

2.            Setiap negeri tanah melayu mempunyai undang-undang tersendiri mengikut negeri masing-masing dan secara total mengamal sistem feudalisma.

3.            Oleh itu, rakyat melayu (termasuk orang asli)  dan pelawat (Cina, India dan pemegang kewarganegaraan British) yang menetap di negeri-negeri tanah melayu secara sukarela menyerahkan diri mereka untuk tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang digubal oleh Raja-raja Melayu. Ini adalah ikatan sosial kontrak di antara Raja dan subjeknya.

4.            Oleh yang demikian apabila Raja-raja Melayu mengikat perjanjian dengan kerajaan British tiada rakyat melayu yang boleh membantah. Pelawat asing yang datang dari China dan India langsung tiada hak kerana mereka secara undang-undang tidak mempunyai negara. Begitu juga dengan pemegang kewarganegaraan British yang bermastautin di sini.

5.            Jikapun ada yang membantah bantahan mereka tidak akan membawa erti kerana secara dasarnya mereka tidak mempunyai apa-apa hak untuk berbuat begitu.

6.            Sesungguhnya, secara undang-undang Raja-Raja Melayu mempunyai hak mutlak ke atas setiap inci tanah di dalam kerajaan beliau. Maka tercatatlah sejarah bagaimana Singapura, Melaka dan Pulau Pinang diserahkan kepada kerajaan British untuk ditadbir dengan bayaran sewaan kepada Raja-Raja Melayu.

7.            Menyedari akan hakikat ini, maka apabila para intelek melayu mula membuat gerakan kemerdekaan mereka mengambil keputusan bahawa kemerdekaan yang diperjuangkan hendaklah di dapati dengan membendung kuasa dan hak Raja-Raja.

8.            Sebagai orang melayu yang terkenal sangat setia kepada Raja-Raja mereka maka para intelek ini semampu boleh tidak mahu mengenepi kuasa Raja seperti menubuhkan Kerajaan Republik. Lagipun, kuasa Raja-Raja Melayu sangat penting untuk meneruskan kelangsungan bangsa Melayu.

9.            Oleh itu, inteligensia melayu memilih untuk mengamalkan sistem demokrasi berparlimen Raja berpelembagaan berteraskan kepada sistem di England.

Sosial Kontrak Sebelum Perang Dunia Kedua

1.            Sebelum Perang Dunia Kedua tercetus, kebanjiran kaum Cina dan India ke Semenanjung Tanah Melayu menimbulkan fenomena baru di kalangan orang Melayu dan Raja yang menguasai mereka.

2.            Secara dasarnya, orang melayu tidak tahu cara bagaimana mahu menangani fenomena ini. Orang melayu yang berharta melihat fenomena ini sebagai peluang membuat harta dengan mudah kerana kaum Cina dan India datang dengan pengetahuan asas.

3.            Raja pula tidak merasakan bahawa terdapat jurang ekonomi di antara kaum Cina, India dan Melayu.

4.            Penjajah British mengambil kesempatan ini dengan memecahkan ketiga-tiga kaum ini kepada jurusan yang tertentu. Misalnya, kaum Melayu berkerja sebagai petani, kaum Cina sebagai pelombong dan kaum India menjadi penoreh getah. Inilah adalah juga ikatan Sosial Kontrak. Kesemua ini dibuat bagi mendapat perolehan ekonomi untuk Empayar British disamping kemudahan mengawal ketiga-tiga kaum ini.

5.            Di satu ketika pecahan penduduk Kaum Cina dan India adalah lebih tinggi daripada penduduk asal Semenanjung Tanah Melayu sendiri.

Sosial Kontrak Selepas Perang Dunia Kedua

1.            Selepas Perang Dunia Kedua, akibat kekalahan dan kerugian perang yang dialami. Empayar British tidak lagi mahu menanggung kos pentadbiran di negara-negara yang mereka jajah.

2.            Pada waktu tersebut Empayar British lebih menumpu untuk membina kembali England dari kerosakan Perang Dunia Kedua.

3.            Satu persatu negara yang mereka jajah telah diberi kemerdekaan. Dikebanyakkan negara yang dijajah memberi kemerdekaan adalah mudah kerana negara tersebut hanya diduduki oleh peribumi yang dengan mudah diberi warganegara.

4.            Namun begitu, perkara yang sebaliknya berlaku di Semenanjung Tanah Melayu. Empayar British terjerat dengan polisi membawa pendatang asing dengan jumlah yang signifikan ke Semenanjung Tanah Melayu.

5.            Sebagai Empayar yang menjajah melalui peruntukan undang-undang mereka sangat faham bahawa Semenanjung Tanah Melayu adalah milik orang-orang Melayu.

6.            Ini dibuktikan dengan perjanjian demi perjanjian yang mereka masuki dengan Raja-Raja Melayu seperti Perjanjian Penyewaan Pulau Pinang dengan Sultan Kedah, Perjanjian Singapura dengan Sultan Johor, Perjanjian Pangkor dengan Sultan Perak dll.

7.            Jika Empayar British mengiktiraf kaum Cina dan India sebagai penduduk asal Semenanjung Tanah Melayu sudah tentu mereka memasuki Perjanjian dengan Ketua-Ketua kaum tersebut.

8.            Oleh itu, soal memberi kemerdekaan kepada Semenanjung Tanah Melayu menjadi rumit memandangkan mereka menjangkakan akan ada tentangan daripada orang-orang Melayu apabila soal memberi kewarganegaraan kepada kaum Cina dan India dibangkitkan.

9.            Perlu diingat bahawa Empayar British selepas Perang Dunia Kedua jatuh miskin. Mereka perlu memastikan bahawa kaum Cina dan India diterima oleh orang Melayu sebagai warganegara. Jika tidak mereka harus bertanggungjawab ke atas krisis kemanusiaan yang bakal dihadapi oleh berjuta kaum Cina dan India yang telah mereka bawa masuk ke Semenanjung Tanah Melayu.

10.         Dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru dinobatkan sebagai pembawa keamanan dunia di mana Empayar British adalah pelobi pertubuhan tersebut. Empayar British menjangkakan bahawa PBB akan memaksa mereka menerima orang Cina dan India sebagai warganegara British.

11.         England pula separuh musnah, oleh itu, Empayar British tidak mempunyai kapasiti untuk menerima masuk orang Cina dan India dari Semenanjung Tanah Melayu sekurang-kurangnya sehingga tempoh tertentu. Pilihan yang ada adalah memastikan orang-orang Melayu menerima kaum Cina dan India sebagai warganegara Tanah Melayu.

12.         Kaedah yang digunakan supaya orang-orang Melayu menerima kaum Cina dan India sebagai warganegara adalah sangat halus. Ianya adalah pendekatan REVERSE PSYCHOLOGY yang sangat klasik.

13.         Empayar British sedar bahawa orang-orang Melayu sudah mempunyai kesedaran politik. Melalui para intelek yang sedikit jumlahnya orang-orang Melayu sudah mula menubuhkan persatuan untuk memperjuangkan nasib mereka. Kesatuan Melayu Muda adalah antara yang terawal diikuti oleh PEKEMBAR dll.

14.         Oleh itu, Empayar British mula memainkan semangat perjuangan orang Melayu. Sekembalinya mereka selepas kejatuhan Jepun di Semenanjung Tanah Melayu mereka terus mengacah orang Melayu dengan mengumumkan Malayan Union di mana soal kewarganegaraan kepada penduduk Cina dan India  dibangkitkan.

15.         Ternyata pengumuman itu membakar semangat perjuangan orang Melayu. Orang Melayu merapatkan barisan menolak Malayan Union.

16.         Dalam waktu yang sama Empayar British berlakon seolah-olah mahu tinggal lebih lama di Tanah Melayu. Seolah-olah kemerdekaan tidak akan menjadi kenyataan di Tanah Melayu.

17.         Perlu diingat pada zaman itu, para intelek Melayu kebanyakkannya baru kembali ke Tanah Melayu dari belajar di seberang laut. Mereka menyaksikan sendiri bagaimana negara-negara jajahan Empayar British mendapat kemerdekaan.

18.         Oleh itu, semangat mereka berkobar-kobar untuk mendapatkan kemerdekaan di tanah air sendiri. Seperti yang pernah penulis sebut di kertas kerja yang lepas, orang melayu sangat suka ikut trend.

19.         Empayar British sememangnya mahu gerakan kemerdekaan di lakukan oleh orang-orang Melayu supaya mereka boleh menekan syarat-syarat Perjanjian Kemerdekaan yang menyebelahi mereka.

20.         Untuk menyemarakkan lagi semangat pejuang kemerdekaan mereka membiarkan pengganas komunis melakukan sewenang-wenangnya. Jika difikirkan Parti Komunis Malaya [ dikenali sebagai Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) sewaktu zaman Jepun ] memasuki hutan Malaya sewaktu Jepun menyerang.

21.         Empayar British adalah pihak yang bertanggungjawab melatih dan memberi senjata kepada ahli-ahli Parti Komunis Malaya di dalam hutan-hutan kita sebagai penentangan kepada askar-askar Jepun.

22.         Masakan dengan latihan yang mereka sendiri berikan dan senjata yang mereka bekalkan namun kononnya British tidak berupaya menentang pengganas komunis.

23.         Akhirnya, apabila semangat orang-orang Melayu sudah terlalu tinggi untuk merdeka sungguhpun tiada penentangan secara senjata Empayar British mula mahu duduk bersama-sama ketua-ketua orang Melayu bagi menggariskan Perjanjian Kemerdekaan.

24.         Akhirnya, melalui kebijaksanaan mereka, Empayar British berjaya membuat orang-orang Melayu menerima pendatang asing Cina dan India sebagai warganegara Malaysia dengan jumlah yang sangat banyak iaitu satu juta manusia Cina dan India yang langsung tidak mengamalkan adat resam melayu, yang langsung tidak tahu berbahasa Melayu sebagai balasan kepada kemerdekaan Malaya.

25.         Bagi memastikan orang-orang Melayu menerima pendatang asing ini sebagai warganegara mereka menggariskan hak keistimewaan kepada orang-orang Melayu.

26.         Sementara itu, bagi memastikan pula pendatang asing Cina dan India menerima kewarganegaraan ini mereka menggariskan pula hak-hak orang Cina dan India sebagai warganegara Tanah Melayu. Maka tergarislah ikatan Sosial Kontrak Malaysia moden dalam bentuk Perlembagaan Persekutuan. Satu-satunya ikatan Sosial Kontrak di dalam dunia yang ditandatangani oleh pihak-pihak yang berkaitan.

27.         Begitulah kebijaksanaan Empayar British menyelamatkan kemusnahan Empayar mereka. Siapakah yang paling rugi? Sudah tentulah orang Melayu. Orang-orang Melayu merasakan mereka mengambil langkah bijak untuk memberikan kewarganegaraan kepada pendatang asing dengan objektif mendapatkan kemerdekaan. Namun hari ini, nasib bangsa Melayu bagai melukut di tanah sendiri.

28.         Namun begitu, orang-orang Melayu tidak harus dipersalahkan sepenuhnya dalam hal ini. Namun, fakta sejarah ini harus diperinci semula. Sebagai orang melayu kita harus bertanya adakah nasib kita akan sebegini daif jika sekiranya kita dapat mengubah sejarah dan menguasai sepenuhnya ekonomi Negara?

Kewarganegaraan Dan Sosial Kontrak Malaya

1.            Konsep kewarganegaraan diperkenalkan pada zaman Greek kuno oleh masyarakat-masyarakt kecil yang mendiami polis (bandar) Greek.

2.            Namun pada waktu tersebut konsep kewarganegaraan adalah lebih kepada apa yang boleh disumbangkan oleh rakyat kepada komuniti. Bermaksud, untuk menjadi warganegara sesuatu komuniti rakyat harus memberikan sumbangan kepada masyarakat di mana ia menjadi warganegara. Kalau sumbangan seseorang itu tidak mencukupi maka dengan sendirinya ianya terlucut dari menjadi warganegara.

3.            Berbeza dengan konsep kewarganegaraan moden di mana kerajaan harus memastikan rakyatnya mendapat hak-hak yang digariskan sebagai warganegara.

4.            Terdapat berbagai jenis kewarganegaraan, dalam konteks Malaya, orang-orang Melayu mendapat kewarganegaraan kerana mereka adalah penduduk asal dan dilahirkan di Tanah Melayu. Jenis kewarganegaraan sebegini dinamakan jus soli .

5.            Bagi pendatang asing Cina dan India yang bukannya penduduk asal Tanah Melayu secara logiknya untuk mendapatkan kewarganegaraan mereka harus menandatangani borang yang disediakan di mana terdapat sumpah ikrar taat setia secara formal sebelum diterima sebagai warganegara Malaya.

6.            Seterusnya, keturunan pendatang asing tersebut mengikut konsep kewarganegaraan moden akan diterima sebagai warganegara secara otomatik. Keturunan mereka tidak lagi perlu mengangkat sumpah ikrar taat setia. Walaupun mereka masih belum tahu berbahasa melayu yang diangkat sebagai bahasa kebangsaan dan tidak mengamalkan adat resam orang-orang peribumi mereka tetap diterima sebagai warganegara Tanah Melayu (nama modennya Malaysia). Jenis kewarganegaraan ini dinamakan sebagai jus sanguinis.

7.            Apapun jenis kewarganegaraan yang diperolehi sosial kontrak adalah ikatan am di antara warganegara Tanah Melayu (termasuk Cina dan India) untuk menyerahkan diri kepada Undang-Undang dan Institusi Tanah Melayu.

Toleransi Orang Melayu

1.            Orang Melayu terkenal dengan sikap toleransi yang amat tinggi terhadap bangsa asing tetapi tidak kepada bangsa sendiri. Sikap ini adalah kelemahan ketara bangsa Melayu.
         
2.            Sbg contoh orang Melayu sanggup membeli barang-barang runcit di satu-satunya kedai bangsa Cina di dalam kampung mereka. Walaupun ada kedai yang dibuka oleh orang Melayu sebangsa, seagama, sebahasa namun kedai barang runcit cina tetap boleh hidup di dalam kampung Melayu.

3.            Jika difikir dengan lebih mendalam, mengapa kedai runcit orang Cina ini boleh bertahan berpuluh-puluh tahun di pasaran majoriti melayu sedangkan kedai runcit orang Melayu tenggelam timbul ?

4.            Ini terjadi kerana orang Melayu menyokong perniagaan orang Cina tersebut. Orang Melayu bertoleransi dengan bangsa asing dengan membeli di kedai mereka, tetapi meletak penilaian yang tinggi tanpa mahu sedikit pun bertoleransi kepada kedai orang Melayu sendiri. Kesilapan kecil yang berlaku di kedai orang Melayu akan menyebabkan kedai tersebut di boikot.

5.            Berbagai alasan ditimbulkan untuk tidak membeli di kedai orang Melayu. Kononnya, barang di kedai Melayu lebih mahal. Pemilik kedai ada pakai mandrum lah dan sebagainya. Sesungguhnya, saikologi orang melayu itu sendiri yang mengata dan memburukkan rakan sebangsa. Sikap ini sangat berlawanan dengan agama Islam yang mereka anuti.

6.            Untuk rujukan, bangsa Yahudi mengamalkan sikap yang terbalik iaitu bertoleransi dengan bangsa sendiri tetapi mengamalkan double standard dengan bangsa asing. Terbukti bangsa Yahudi adalah bangsa yang paling berpengaruh di dalam dunia walaupun jumlah mereka adalah sangat sedikit.

7.            Empayar British nampak akan kelemahan sikap orang Melayu ini. Mereka amat pasti orang Melayu akan bersetuju menerima bangsa asing yang tiada pertalian darah dan tidak menganuti agama yang sama untuk sama-sama tinggal di bumi mereka.

8.            Perlu difahami bahawa dalam konsep kenegaraan moden, menjadi warganegara bermakna seseorang akan mendapat hak yang digariskan oleh kerajaan masing-masing. Hak ini adalah termasuk hak mengundi, hak memegang harta, hak mendapatkan perubatan, hak mengamal agama dan lain-lain.

9.            Hal ini adalah sangat berbeza dengan konsep kewarganegaraan asal yang diamalkan oleh orang-orang Greek purba. Jika konsep Greek purba yang dipelopori oleh Aristotle menjadi amalan maka secara am ramai daripada sejuta bangsa Cina dan India yang diberi kewarganegaraan tidak layak menerimanya kerana mereka tidak menyumbang kepada komuniti asal sesuatu tempat. Mereka tidak fasih berbahasa asal. Bangsa Cina dan India hanya menumpu kepada bangsa mereka sendiri tanpa mahu mengasimilisasikan bangsa mereka dengan bangsa asal bumi tersebut. Maka mereka dengan sendirinya terlucut dari menjadi warganegara.

Tindakan Masa Hadapan

1.            Selepas keputusan Pilihanraya Ke-12 diumumkan, satu suasana baru yang huru-hara telah timbul.

2.            Secara tiba-tiba kaum Cina dan India merasakan mereka boleh menguasai politik Malaysia yang didominasi kaum Melayu.

3.            Rakyat di depani dengan pertubuhan yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia serta mula menyoal pemakaian sosial kontrak.

4.            Kebanyakan mereka menyatakan bahawa sosial kontrak tidak wujud di Malaysia dan tidak wujud isu hak istimewa kaum Melayu serta perkara-perkara yang dilembagakan oleh ahli-ahli politik dahulu sebenarnya sekadar wayang dan propaganda parti pemerintah. Soalnya haruskah kaum Melayu berterusan bersikap toleransi terhadap bangsa asing?

5.            Benarkah sosial kontrak tidak wujud? Seperti yang dibahaskan oleh penulis dengan panjang lebar di atas, seluruh dunia mengetahui bahawa sosial kontrak bukanlah suatu dokumen yang wujud. Ia hanyalah suatu konsep yang menunjukkan ikatan sosial di antara warganegara dengan negaranya untuk mematuhi undang-undang dan institusi yang mendaulatkan negara tersebut.

6.            NAMUN, Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang mendokumentasi sosial kontrak, di mana ia ditandatangani oleh pihak-pihak yang berkaitan.

7.            Bagaimanakah masyarakat Melayu harus menerima keadaan ini? Haruskah kaum Melayu duduk dan lihat nasib bangsa mereka ditentukan oleh bangsa lain?

8.            Penulis percaya ketika Bapa Kemerdekaan Malaysia mengumumkan untuk memberi sejuta kewarganegaraan kepada bangsa asing sudah tentu ada pihak yang membantah. Penulis juga percaya bantahan tersebut tidak mendapat tempat kerana senario yang terdesak untuk merdeka yang ditimbulkan oleh empayar British.

9.            Apabila bangsa pendatang yang diberi kewarganegaraan mempersoalkan akan kewujudan sosial kontrak, orang Melayu sama sekali tidak harus merasa marah. Orang Melayu harus melihat pertikaian ini sebagai suatu peluang untuk mengubah sejarah dan mengambil kembali hak kita yang dirompak oleh pendatang-pendatang ini.

10.         Suatu tindakan mahkamah harus dilakukan oleh kaum Melayu. Tindakan ini adalah untuk menuntut agar mahkamah mengisytiharkan bahawa sosial kontrak tidak wujud di Malaysia seperti yang dimahukan oleh kaum-kaum Cina dan India. Mengapa?

11.         Yang pertama, semasa Perjanjian Merdeka kaum Melayu yang dianggap peribumi oleh empayar British diselingkuh untuk menerima kaum-kaum lain sebagai warganegara. Namun, apabila pihak-pihak yang berkontrak sudah tidak mahu lagi terikat dengan kontrak, maka undang-undang membenarkan jalan keluar iaitu mengisytiharkan kontrak tersebut tidak lagi berkuatkuasa.

12.         Untuk berbuat demikian, suatu pengisytiharan oleh Mahkamah diperlukan untuk menjadikannya sebagai ikatan undang-undang.

13.         Apabila mahkamah mengisytiharkan bahawa sosial kontrak itu tidak wujud, maka dengan sendirinya hak-hak yang terdapat di dalam sosial kontrak tersebut juga akan terbatal. Ini bererti pengisytiharan berhubung dengan sosial kontrak itu secara otomatik akan membatalkan hak kewarganegaraan, hak mengundi, hak memiliki harta dan hak-hak lain.

14.         Yang Kedua, kaum Cina dan India juga sebenarnya telah melanggar kontrak sosial itu. Memang benar manifesto pertama Parti Perikatan yang terdiri daripada Parti Umno, MCA dan MIC telah menyatakan dengan jelas pemberian hak kerakyatan atas dasar jus soli. Namun,di atas, penulis telah menerangkan dan membuktikan bahawa kewarganegaraan yang diberikan kepada sejuta kaum Cina dan India adalah melalui ikrar sumpah taat setia untuk mematuhi undang-undang dan institusi negara sementara keturunan mereka pula memperolehi kewarganegaraan melalui jus sanguinis bukan secara jus soli. Memandangkan kewarganegaraan melalui proses ini adalah secara otomatik dan berkuatkuasa kepada keturunan mereka, maka ikrar taat setia itu juga akan turun secara otomatik kepada anak, cucu, cicit dan keturunannya.

15.         Apabila mereka mempertikaikan sosial kontrak yang didokumentasi sebagai Perlembagaan Persekutuan, maka mereka juga telah melanggar sumpah untuk mematuhi undang-undang negara ini. Apatah lagi yang dilanggar itu adalah undang-undang tertinggi negara ini, iaitu Perlembagaan Persekutuan.

16.         Mereka juga melanggar sumpah untuk mematuhi institusi negara. Harus difahami bahawa kesemua institusi negara, seperti Raja Berperlembagaan, Mahkamah, Perdana Menteri, Kabinet dan lain-lain kesemuanya diwujudkan melalui Perlembagaan Persekutuan. Maka, mempertikaikan sosial kontrak bermaksud mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri dan secara langsung mereka mempertikaikan institusi negara yang membawa maksud pembatalan kewarganegaraan.

17.         Sungguhpun perlanggaran sosial kontrak bukan dilakukan oleh sejuta kumpulan pertama yang menerima kewarganegaraan melalui ikrar taat setia mereka, namun oleh kerana ikrar itu telah menurun ke cucu-cicit mereka, maka perlanggaran yang dilakukan oleh keturunan mereka itu seolah-olah dilakukan sendiri oleh kumpulan pertama tadi.  Ini juga bermaksud bahawa keturunan kumpulan yang pertama sudah tidak lagi boleh menjadi warganegara secara otomatik kerana kewarganegaraan asal yang diberi kepada nenek moyang mereka melalui sumpah taat setia telah terbatal akibat perlanggaran cucu-cicit mereka sekarang. 

18.         Yang Ketiga, penulis berasa sangsi samada pengisytiharan sejuta kewarganegaraan itu adalah sah di sisi undang-undang sebelum merdeka. Ini adalah kerana seperti yang disebut di atas, empayar British menjajahi Tanah Melayu melalui undang-undang. Walaupun Raja-Raja Melayu banyak membuat Perjanjian dengan empayar British, namun tidak ada suatu pun perjanjian yang menyerahkan kedaulatan wilayah Raja-Raja Melayu kepada empayar British. Ini bermakna Residen British memerintah Tanah Melayu secara de facto (in actual). Oleh itu, kuasa memerintah de legist (in law) adalah senantiasa menjadi hak Raja-Raja Melayu di negeri masing-masing.

19.         Bukti utama penulis mengatakan demikian adalah kerana pada tarikh 5hb Ogos 1957, empayar British terpaksa memanggil kesemua Raja-Raja Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu untuk menandatangani suatu perjanjian bagi menyerahkan kuasa de legist itu kepada Empayar British. Empayar British pula menyerahkan kuasa de legist itu kepada rakyat Tanah Melayu pada 31hb Ogos, 1957 yang kita kenali sebagai kemerdekaan.

20.         Ya, kita bukan merdeka pada 31hb Ogos 1957. Itu hanyalah propaganda empayar British bagi menunjukkan kepada dunia bahawa mereka telah memerintah Tanah Melayu. Kemerdekaan sebenar adalah pada 5hb Ogos 1957, di mana kita dimerdekakan oleh Raja-Raja Melayu daripada sistem feudalisma kepada system demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Tahukah kita bahawa pada setiap masa sebelum merdeka empayar British tidak boleh memutuskan, menghukum atau memerintah sesuatu tanpa tandatangan Raja-Raja Melayu?

21.         Oleh yang demikian, status quo adalah bahawa Raja-Raja Melayu mempunyai kuasa mutlak terhadap subjek mereka di negeri masing-masing. Ini termasuklah kuasa memberi kewarganegaraan. Oleh yang demikian, perjanjian bertarikh 5hb Ogos 1957 itu hendaklah diteliti untuk mengetahui samada setiap Raja-Raja Melayu yang mewakili negeri masing-masing ada memberi hak menyerahkan kewarganegaraan kepada Perdana Menteri Malaya untuk diberi kepada sejuta kaum Cina dan India.

22.         Yang Keempat, apabila suatu isu dibawa ke mahkamah, maka mahkamah hendaklah memutus dan mengisytiharkan isu tersebut.

23.         Signifikasinya kepada kaum Melayu ialah, jika isu sosial kontrak ini diisytiharkan sebagai tidak wujud oleh mahkamah, maka kaum Melayu akan mendapat kembali segala peluang yang dirompak daripada mereka semasa Tanah Melayu dibahagi-bahagikan kepada pendatang-pendatang asing.

24.         Namun, jika isu bahawa sosial kontrak itu tidak wujud ditolak, kaum Melayu masih tetap mendapat kebaikannya kerana penolakan memberi erti bahawa ia wujud. Oleh yang demikian, segala hak keistimewaan kaum Melayu yang digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan kekal dan tidak lagi boleh dipertikaikan oleh sesiapa termasuk oleh bangsa Melayu itu sendiri. Mempertikai keputusan mahkamah adalah perbuatan menghina mahkamah yang boleh dihukum penjara.

RUMUSAN

1.            Kaum Melayu dan kaum pendatang Cina dan India tidak bersalah di dalam isu sosial kontrak ini. Sebenarnya, ketiga-tiga bangsa yang besar ini telah diperdaya untuk berbuat demikian oleh empayar British demi memastikan British tidak dibanjiri pendatang-pendatang asing dari Tanah Melayu.

2.            Sebenarnya, kaum Cina dan India sendiri tidak mahu menjadi warganegara Malaysia.

3.            Contohnya, aspirasi GMP ini dikongsi oleh Hindraf yang mewakili kaum India. Ini terbukti dengan tuntutan Hindraf kepada Ratu England “… bahawa kaum India telah dipanggil oleh British untuk bekerja di ladang-ladang getah milik British. Namun apabila British memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu kaum India telah ditinggalkan oleh British di Tanah Melayu. Perkara ini telah menyebabkan kaum India ditindas dan tidak diberi peluang yang sewajarnya. Oleh yang demikian Hindraf menuntut supaya Ratu England membayar wang gantirugi kepada setiap kaum India yang ditinggalkan di Tanah Melayu”.

4.            Jelas sekali, tuntutan Hindraf menggambarkan bahawa mereka tidak bersedia untuk menjadi warganegara Malaya. Kaum India melalui Hindraf mahu empayar British bertanggungjawab di atas perbuatan mereka meninggalkan kaum India di sebuah negara asing yang tiada kena mengena dengan budaya mereka. Mungkin, memberi kewarganegaraan British adalah lebih dipersetujui oleh kaum India kerana British jauh lebih maju daripada Tanah Melayu.

5.            Di samping itu, kaum Melayu juga harus mengambil pendekatan Hindraf. Kaum Melayu sepatutnya menuntut Ratu England supaya membayar gantirugi kepada mereka kerana akibat perbuatan empayar British meninggalkan kaum-kaum Cina dan India di Malaya, yang akhirnya mengakibatkan kaum Melayu kehilangan peluang yang besar di dalam hal-hal ekonomi, universiti, tempat bekerja, keluasan tempat kediaman yang mengecil akibat penambahan penduduk yang ramai dan sebagainya.

6.            Melalui rumusan-rumusan yang dilakukan di atas, maka penulis sesungguhnya menyeru ahli-ahli Jawatankuasa Perundangan berdiskusi dan mengambil suatu ketetapan untuk dibawa kepada Mesyuarat Jawatankuasa GMP tentang perkara ini.

No comments:

Post a Comment