Pages

Thursday, 22 August 2013

#HariKoperasi2013 : KOPERASI PEMANGKIN KESEJAHTERAAN MASYARAKAT !! JOM MAI KEDAH RAMAI RAMAI !!! @MuhyiddinYassin @MukhrizMahathir @NajibRazak @tunfaisal


HKN atau Hari Koperasi Negara telah menjadi acara tahunan bagi gerakan koperasi di negara ini bermula tahun 2002. Sambutan HKN kebiasaannya diadakan pada bulan Julai setiap tahun sebagai mengambil penghormatan bermulanya gerakan koperasi di negara ini pada bulan Julai 1922.

Tetapi pada tahun ini, oleh kerana bulan Julai merupakan bulan puasa, sambutan HKN akan diadakan dari 23 hingga 25 Ogos 2013 iaitu selepas umat Islam menyambut Aidilfitri. Bertemakan “Koperasi Pemangkin Kesejahteraan Masyarakat”, HKN 2013 akan diadakan di Dataran Darul Aman, Bandar Darul Aman, Jitra, Kedah dan dirasmikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri pada 11.00 pagi, 24 Ogos 2013.

Tujuan HKN diadakan adalah sebagai medan untuk menghebahkan dan menunjukkan kepada masyarakat umum tentang peranan serta aktiviti-aktiviti yang diceburi oleh koperasi yang masih kurang disedari ramai. Kebanyakan orang, apabila disebut sahaja koperasi, mungkin hanya mengaitkannya dengan aktiviti pinjam-meminjam sahaja. Walhal, koperasi kini telah jauh melangkah ke hadapan dengan menceburi pelbagai sektor ekonomi berskala seperti pertanian dan industri asas tani, pelancongan, pemborongan dan peruncitan serta perladangan.

Institusi koperasi telah melalui evolusi institusi secara beransur-ansur daripada bersifat tradisional kepada moden dan kompleks samada melalui proses perundangan, prosedur, interaksi, tadbir urus dan cara bekerja. Dengan sokongan kerajaan, koperasi menerima dan menyesuaikan diri dengan perubahan dan perkembangan semasa untuk memberi manfaat kepada anggota dan negara umumnya.

Dengan adanya Dasar Koperasi Negara, peranan koperasi menjadi lebih mencabar untuk sama-sama menjayakan program transformasi ekonomi negara. Justeru pada hari sambutan HKN, koperasi-koperasi cemerlang akan diberi penghargaan sebagai tanda penghormatan ke atas pencapaian yang dihasilkan.

HKN juga diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam akan sumbangan gerakan koperasi kepada pembangunan negara terutama dalam menyediakan peluang pekerjaan, mengurangkan kemiskinan dan mewujudkan integrasi sosial. Di mana-mana sahaja di dunia ini, koperasi telah digunakan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup terutama bagi golongan berpendapatan rendah di bandar dan luar bandar.

Sejarah gerakan koperasi di negara ini bermula dengan penubuhan The Federated Malay States Posts and Telegraphs Co-operative Thrift and Loan Society Limited yang merupakan koperasi pertama ditubuhkan pada 21 Julai 1922. Kini dikenali dengan nama Koperasi Kakitangan Telekom Malaysia (KOTAMAS), ianya merupakan koperasi kredit pertama yang ditubuhkan di kawasan bandar ini dan masih aktif sehingga kini.

Hampir sedekad gerakan koperasi bertapak di negara ini dan setelah beberapa fasa perkembangan, institusi koperasi terus mantap sebagai institusi sosio-ekonomi yang boleh dibanggakan. Sehingga 31 Disember 2012 terdapat sejumlah 10,087 koperasi yang berdaftar dengan keanggotaan 7.03 juta orang, syer/yuran sebanyak RM11.71dan jumlah aset bernilai RM100.41 Bilion. Sepanjang tahun lalu, sektor koperasi negara yang menceburi pelbagai bidang perniagaan, berjaya mencatatkan perolehan sebanyak RM31.10 Billion.

Satu pameran galeri koperasi akan dibuka kepada orang ramai semasa sambutan HKN pada 23 hingga 25 Ogos 2013 yang akan membawa orang ramai menyusuri sejarah perkembangan gerakan koperasi dari dahulu hingga sekarang.
Berbagai acara menarik diatur bagi memeriahkan HKN tahun ini yang akan menerima kunjungan lebih 30,000 pengunjung dari kalangan anggota dan bukan anggota koperasi. Sambutan tahun ini lebih istimewa kerana masih di dalam bulan Syawal dan kebetulan pula di dalam bulan kemerdekaan. Acara-acara yang disediakan berbentuk informatif dan menghiburkan untuk semua peringkat umur termasuk kanak-kanak sepanjang tiga hari sambutan HKN.

Selain daripada jualan dan ekspo produk koperasi dalam dan luar negara, akan diadakan persembahan kebudayaan daripada negeri-negeri, pertandingan tomoi Perlis dan pertandingan makan buah. Khidmat konsultasi serta klinik perniagaan berlandaskan koperasi untuk orang ramai yang berminat mengetahui dengan lebih mendalam tentang perjalanan koperasi juga disediakan.

Pada hari pertama 23 Ogos 2013, program Forum Perdana akan berlangsung yang bertajuk “Koperasi Pemangkin Kesejahteraan Rakyat”. Ahli-ahli Panel bagi Forum Perdana ini adalah Ustaz Kazim Elias dan Ustaz Zulkarnain Hamzah yang akan mengupas tajuk tersebut
bersama-sama dengan Ustaz Fauzi Mustafa sebagai Moderator. Tidak ketinggalan juga persembahan nasyid daripada kumpulan Far East .

Selepas acara perasmian pada 24 Ogos, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai juadah dari 14 booth mengikut negeri sempena Hari Raya. Ini diikuti dengan persembahan artis, Motor Show dan pertunjukan wayang kulit. Bagi acara kanak-kanak, turut diadakan aktiviti mewarna yang akan menceriakan lagi suasana.

Sebagai penganjur, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengalu-alukan korperator dan orang ramai khususnya penduduk Kedah supaya datang beramai-ramai memeriahkan sambutan HKN di Dataran Darul Aman, Jitra, Kedah.

Sambil berhibur dengan acara-acara keceriaan yang disediakan, orang ramai boleh mengambil peluang untuk memperluaskan pengetahuan mengenai koperasi yang merupakan entiti ekonomi yang unik dari segi falsafah, matlamat dan tujuan, serta hubungannya dengan anggota dan masyarakat.

No comments:

Post a Comment