Pages

Wednesday, 4 September 2013

PANAS !!! NAMA-NAMA KETUA KONGSI GELAP DIDEDAH !!! @zahid_hamidi



Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan akan mendedahkan nama-nama ketua atau dalang kumpulan kongsi gelap di negara ini seperti mana pendedahan 49 kumpulan gengster yang diumumkan baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pendedahan itu mungkin akan dilakukan polis jika perlu dan signifikan dengan setiap tindakan serta siasatan yang dilakukan oleh PDRM.

Katanya, polis ketika ini mempunyai semua maklumat berkaitan kumpulan kongsi gelap di seluruh negara termasuklah nama ketua yang bertanggungjawab menjadi dalang utama kumpulan.

"Jika perlu kita akan umumkan mereka yang menjadi ketua bagi kumpulan-kumpulan kongsi gelap ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Kor Sukarelawan Siswa-Siswi Polis (Suksis) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia hari ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 29 Ogos lalu mengumumkan nama 49 kumpulan kongsi gelap di seluruh negara yang dikesan menjalankan kegiatan memudaratkan ketenteraman awam seperti sindiket pengedaran dadah, memeras ugut, menimbulkan pergaduhan antara pertubuhan kongsi gelap dan huru-hara.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, polis juga sedang mengenal pasti kumpulan kongsi gelap yang berselindung di sebalik Pendaftar Pertubuhan (ROS) seperti mana yang didedahkan Ketua Pengarah agensi itu, Datuk Abdul Rahman Othman semalam.

Kata beliau, lebih daripada tiga kumpulan kongsi gelap sudah dikenal pasti telah mendaftar dengan ROS.

"Jangan ingat mereka boleh melepaskan diri setelah mendaftar dengan ROS. Kita telah kenal pasti beberapa kumpulan yang melakukan perkara sedemikian dan mempunyai maklumat berhubung perkara itu," tegasnya.

Abdul Rahman semalam memberitahu, ROS akan bekerjasama dengan polis untuk menyemak tiga pertubuhan kaum Cina iaitu satu dari Semenanjung dan dua dari Sabah yang menggunakan nama dan logo sama atau hampir sama dengan sebahagian 49 pertubuhan haram yang didedahkan KDN.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, impak daripada Op Cantas Khas yang dilancarkan PDRM di seluruh negara akhir-akhir ini, sebilangan ahli kumpulan gengster kini pergi ke negara jiran untuk membuang tatu yang menjadi tanda penglibatan mereka.

"Polis membuat beberapa tangkapan ahli kongsi gelap yang cuba pergi ke negara seberang untuk membuang tatu atau logo kongsi gelap yang dicacah pada badan mereka.

"Sebenarnya tatu pada badan mereka ini adalah cara paling mudah untuk mengenal pasti penglibatan mereka dalam kongsi gelap. Tetapi jangan ingat mereka telah membuang tatu itu, mereka akan terlepas kerana pintu masuk negara akan sentiasa dikawal ketat," katanya.

Beliau memberitahu, polis akan mengambil-alih siasatan terhadap warga asing yang ditahan dalam operasi Ops 6P Bersepadu secara besar-besaran oleh Jabatan Imigresen jika dikesan mempunyai kaitan dengan kongsi gelap.

UTUSAN

No comments:

Post a Comment