Pages

Monday, 25 August 2014

#HAJI1435H : MENANTI BURUNG-BURUNG SYURGA


Menanti Burung-Burung Syurga

DUA hari sahaja lagi sejumlah 450 jemaah bakal menjadi kumpulan jemaah haji Malaysia pertama tiba di Madinah.

Penerbangan yang akan berlepas pada pukul 5.30 pagi waktu Malaysia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 27 Ogos itu turut menjadi kumpulan jemaah haji terawal mendarat di Arab Saudi untuk mengerjakan haji tahun 1435H ini.

Ini kemudian disusuli oleh rakan-rakan mereka secara berperingkat dengan keseluruhan 22,320 jemaah sehinggalah penerbangan terakhir 27 September.

Cuaca di Madinah semalam sekitar 44 darjah celsius. Penulis merasakan panas terik dan berbahangnya. Hendak merasakannya sama seperti kita baru masuk kereta semasa panas terik. Dan kalau terus dibuka pendingin hawa, rasanya macam wap panas ke muka.

Namun keadaan di Madinah serta Mekah sekitar 38 hingga 41 darjah celsius itulah cuacanya. Ini dijangka berterusan sehingga Hari Wukuf di Padang Arafah 9 Zulhijjah, awal Oktober nanti.

Sebenarnya tidak ada masalah cuaca sebegitu kerana panas dan kering itulah ujian-Nya. Apatah lagi kalau dilihat kelibat rata-rata semua penduduk Madinah berjubah. Lelakinya lengkap berjubah putih, dengan potongannya `slim fit' dan 'regular fit' - terletak kemas pada tubuh. Wanitanya pula, sebahagian besarnya berpurdah serba hitam.

Ketibaan para jemaah haji Malaysia Rabu ini sememangnya cukup dinantikan oleh penduduk Mekah dan Madinah. Di Madinah, kedatangan jemaah haji negara menggembirakan penduduknya.

"Tidak ada jemaah haji Malaysia melakukan perkara yang pelik (pada setiap kali musim haji). (Malah) banyak kali kami (Tabung Haji) pula dimaklumkan oleh kerajaan Arab Saudi yang memuji jemaah kita sebagai berdisiplin sehingga mengungkapkan jemaah Malaysia sebagai model terbaik jemaah haji sedunia yakni `burung-burung syurga'.

"Panggilan 'burung-burung syurga' ini mungkin berdasarkan pengamatan mereka terhadap ketekunan jemaah haji Malaysia yang mengambil kesempatan menunaikan solat berjemaah, solat duha dan beriktikaf di Masjid Nabawi, Madinah.

"Bahkan, semasa membeli barang keperluan di kota suci ini (Madinah), jemaah kita bermuamalat dengan baik. Penduduk Madinah memang gembira dan mengalu-alukan kedatangan jemaah haji Malaysia. Penghargaan cukup tinggi diletakkan ke atas jemaah kita," kata Pengurus Ibadat Haji Madinah, Mohd. Razali Zakaria yang juga Pengurus Unit Bimbingan Tabung Haji kepada wartawan Malaysia di Hotel Al-Haram kelmarin. Hotel itu adalah salah sebuah penginapan jemaah haji Malaysia di Madinah.

Di Masjid Nabawi beberapa hari lepas, iaitu Masjid Rasulullah yang turut menempatkan Makam baginda, kedatangan kira-kira 24 petugas media Malaysia sudah dihidu oleh para jemaah. Melalui `gate 21' masjid lagi, pengawal keselamatannya menyapa penulis sambil mengucapkan salam seraya menyebut `Malaysia…good'. Dari Masjid Nabawi ke Masjid Quba' (masjid pertama dibina dalam sejarah Islam), kemudian Masjid Qiblatain (masjid dua kiblat - di mana Rasululllah ketika solat menerima wahyu supaya memindahkan kiblat dari Masjid Al-Aqsa ke Mekah), disusuli Masjid Tujuh (yang didirikan semasa Perang Khandaq) - semasa ziarah petugas media, kami disapa oleh rata-rata jemaahnya yang kelihatan cukup mengenali Malaysia.

Dari premis ke premis - restoran, outlet-outlet telekomunikasi Mobily, menjual jubah di kompleks Taibah sehinggalah ke kaunter pertanyaan Hotel Al-Haram, Hotel Movenpick, Marriot Madinah dan beberapa hotel berdekatan, pekerja dan stafnya menyebut mesra nama Malaysia. Hati mereka begitu dekat dengan jemaah Malaysia.

Dan masakan sehingga di pintu-pintu masuk Masjid Nabawi pun tertera pesanan 'pengertian Khutbah Jumaat boleh diperoleh dalam bahasa Melayu'.

Di Madinah nanti, jemaah haji Malaysia jangan melepaskan peluang menziarahi tempat-tempat bersejarah yang ada kaitan dengan junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan era awal penyebaran syiar Islam di muka bumi ini. Selain Masjid Nabawi, Bukit Uhud, Masjid Quba' dan beberapa lagi.

Beribadat di Masjid Nabawi dan menzia­rahi Makam baginda Rasulullah adalah satu penghormatan dan bakal mendapat syafaat baginda Rasul pada Hari Kiamat. Menurut satu hadis, Rasulullah bersabda: "Satu solat yang dikerjakan di masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih utama dari 1,000 solat di masjid-masjid lain kecuali Masjidil Haram dan satu solat di Masjidil Haram lebih utama dari 100,000 solat di masjid-masjid lain".

Antara kawasan yang pasti menjadi sasaran utama jemaah di Masjid Nabawi nanti adalah Makam Nabi dan dua sahabat baginda, Saidina Abu Bakar As-Sidiq dan Saidina Omar Al-Khatab. Raudhah menjadi begitu istimewa kerana terletak di antara Makam Nabi dan mimbar. Ruangan solat itu dihamparkan permaidani berwarna hijau dan menakjubkan, Raudhah sentiasa berbau wangi berbanding bahagian lain sehingga kita mahu duduk lama, sambil berzikir di situ.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Di antara rumah dan mimbarku adalah taman dari taman-taman syurga dan mimbarku di atas telagaku."

Ada pula pendapat mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan taman itu adalah tempat itu kelak akan berpindah ke akhirat. Selain itu, Makam Nabi dulunya adalah bekas rumah Rasulullah dan mimbar yang ada sekarang di Masjid Nabawi adalah tempat Nabi berkhutbah sambil berdiri bersandarkan batang kurma. Mimbar khusus dibina untuk baginda selepas itu atas syor para sahabatnya.

Dalam satu hadis lain, Rasulullah ber­sabda: "Mimbarku adalah pintu dari pintu-pintu syurga."

Berdasarkan kepada hadis-hadis itu, tidak hairanlah kenapa Raudhah menjadi antara sasaran utama para jemaah haji dari seluruh dunia.

Peluang bersolat di Masjid Nabawi termasuk di Raudhah turut diperoleh penulis bersama dua rakan sambil turut menitipkan doa-doa kepada-Nya demi kebahagiaan orang tersayang, keluarga serta kesejahteraan syarikat penulis dan rakan-rakan. Doa turut dititipkan untuk seorang dua rakan akrab penulis yang sedang berdepan penyakit berbahaya.

Tabung Haji diyakini sudah bersiap sedia menyambut ketibaan jemaah haji negara di Mekah dan Madinah secara berperingkat mulai minggu ini. Petugas haji institusi ini seramai kira-kira 600 orang juga telah bersedia.

Bukan itu sahaja. Pasukan operasi media Tabung Haji yang menguruskan petugas media turut terdiri daripada tenaga-tenaga muda. Dari Pengarah Operasi Medianya, Anis Zuhani Ahmad; Pengurus Media, Zuraini Khalil serta para pegawai, Syarizzul Talip, Mohamad Faez Mustaffa dan Moha­med Muaz Mohamed, rata-ratanya berusia dalam lingkungan 30-an dan awal 40-an.

Kepada jemaah haji negara, hargailah pengiktirafan kerajaan Arab Saudi kepada anda. Kekalkan tingkah-laku dan adab sopan seperti mana dilakukan rakan-rakan anda pada musim-musim haji sebelumnya.

Anda adalah 'burung-burung syurga'.


Zulkifli Jalil
Utusan Malaysia
Madinah 25 Ogos 2014

P/S : Penulis merupakan rakan pertugas media Tabung Haji Admin MMFC Tahun ini di Arab Saudi. Admin merasakan ia satu artikel atau rencana yang baik untuk di kongsikan buat bakal-bakal Jemah Haji Malaysia yang akan berlepas ke sini.

Artikel ini boleh di baca di Utusan Malaysia 25 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment