Pages

Monday, 15 September 2014

#HAJI1435H : BINA ANAK TANGGA KONKRIT KE JABAL TSUR



Ramai jemaah dari beberapa negara yang tiba di kaki Jabal Tsur semalam hanya mampu memandang dari jauh puncak yang menempatkan sebuah gua yang menjadi tempat persembunyian Rasulullah SAW daripada buruan kaum kafir Quraisy yang mahu menghalang niat hijrah baginda ke Madinah.

Sebilangan mereka, dari Bangladesh, Indonesia, Thailand, India serta Turki kelihatan agak hampa dan mengharapkan pihak berkuasa Arab Saudi berbuat sesuatu.

Antara cadangan mereka adalah membina anak tangga konkrit untuk ke puncak bukit setinggi 1,405 meter itu.

"Saya sendiri nak naik ke atas sana dengan isteri. Tetapi langkah terhenti apabila melihat longgokan ketulan batu-batu besar dan anak-anak tangga batu yang tidak seragam saiznya.

"Apabila saya tanyakan kepada beberapa orang yang baru turun tadi, mereka nasihatkan kepada saya dan isteri kalau hati cekal, boleh naik," kata seorang jemaah Indonesia yang enggan namanya dikenali kepada Utusan Malaysia.

Untuk mendaki Jabal Tsur, waktu paling sesuai berada di kaki bukit adalah kira-kira 2.30 pagi dan memerlukan antara satu hingga dua jam untuk tiba di puncak, sebelum turun menjelang tengah hari.

Di sebuah gua di Jabal Tsur dalam peristiwa yang berlaku pada 622 Masehi itu, Rasulullah dan sahabatnya, Abu Bakar berlindung selama tiga hari tiga malam sehingga terjadi satu kejadian yang menghalang niat jahat sekumpulan kaum Quraisy tersebut untuk terus mengejar baginda.

Niat kumpulan kafir Quraisy itu terbantut untuk masuk ke gua persembunyian Rasulullah setelah merasakan tidak mungkin baginda dapat melepasi sarang labah-labah dan sarang burung merpati di pintu masuk gua tanpa merosakkannya.

Dalam pada itu, seorang rakyat Malaysia yang pernah menjadi pembantu muassasah atau sheikh Arab yang kini bermastautin selama 50 tahun di Mekah, Ahmad Kamil Abdul Rahman, 64, berkata, kecekalan jemaah haji dulu dan sekarang amat berbeza terutama semasa melakukan program ziarah ke tempat-tempat sejarah Islam di tanah suci.

"Dulu pada tahun 60-an dan 70-an, semasa saya bawa antara 200 hingga 300 jemaah haji dari Malaysia, mereka tidak kira usia, cekal tetap panjat (daki) Jabal Tsur dan Jabal Nur walaupun kalangannya warga emas.

"Kini ramai yang hanya menyimpan hasrat itu di kaki bukit, mungkin tidak digalakkan atas faktor keselamatan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Al-Rusaifah di sini.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140913/dn_17/Bina-anak-tangga-konkrit-ke-Jabal-Tsur#ixzz3DMA0Z82s
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment