ISU:
Saya ingin bertanya berkenaan isu "derhaka" yang sering dikaitkan dengan anak-anak terhadap ibu bapa. Saya telah bertanya dengan seorang Ustaz berkenaan perkara ini dan beliau menerangkan bahawa konsep "derhaka" ini sebenarnya lebih merujuk kepada ingkar kepada Allah dan Rasul bukan kepada makhluk walaupun ibubapa sendiri. Ini kerana lafaz derhaka itu adalah terjemahan kepada Bahasa Arab "Asaa" yang hanya dipakai untuk Allah dan Rasul. Orang Melayu telah meluaskan konsep ini kepada ibubapa dan ini kurang tepat. Menurut Hadis, lafaz yang digunakan oleh Nabi bagi hal ini ialah "Uqooq" yang lebih bererti "biadab" bukan derhaka.
Soalan saya : Ibu saya seorang pembengis, egois, suka marah dan membentak suami & anak-anak. Dia seorang yang tidak boleh ditegur dan suka bergaduh sehingga dengan jiran tetangga pun bergaduh (menjerit dan memaki hamun) tidak bertegur sapa. Hatta dengan ipar duai pun dia bergaduh. Selain itu beliau seorang yang suka merungut, mengutuk orang lain dan mengumpat. Saya telah menegur ibu saya dan dikatakan saya anak derhaka tidak selamat dunia akhirat kerana menegurnya.
Apakah hukumnya dia berbuat demikian? Pada fahaman ibu saya, seorang anak tidak boleh menegur ibunya walaupun ibunya berbuat salah. Bagaimana jahatpun ibu menurutnya seorang anak tak boleh buka mulut menegur kesalahan ibunya walaupun dengan cara baik. Saya sentiasa mendoakan agar dia berubah namun adakah berdosa jika saya memutuskan hubungan dengan ibu secara sementara dengan niat dia berubah. Saya hentikan memberi belanja bulanan melainkan keperluan asas. Terima kasih
PENJELASAN:
Taat kepada ibubapa adalah satu perkara yang wajib dalam Islam. Ini berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an yang jelas memerintahkan supaya berbuat baik kepada ibubapa, seperti ayat 36 daripada surah an-Nisa’ yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada orang tua (ibu bapa).”
Sementara dalam ayat 23, Surah al-Isra’ disebut “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: ‘Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil."
Sabda Rasulullah s.a.w sebagaimana dinyatakan oleh at-Tabrani, maksudnya: “Berbaktilah kamu kepada dua ibu bapa kamu agar anak-anakmu kelak akan berbakti kepadamu. Dan peliharalah dirimu daripada perzinaan agar isteri-isterimu memelihara diri nya.” Dan dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari: “Sebesar-besar (daripada) dosa besar adalah menyekutukan Allah, membunuh manusia, derhaka kepada ibu bapa dan menjadi saksi palsu.”
Berdasarkan ayat-ayat dan hadis di atas, ternyata konsep derhaka kepada ibubapa ada dalam Islam. Ia berlaku apabila seorang anak tidak mentaati suruhan dari ibu bapa dan dan melakukan perkara yang melawan kehendak ibubapa.
Akan tetapi di samping itu, ibubapa juga tetap terikat dengan nilai dan hukum-hakam agama. Dan sekiranya ibubapa menyuruh seorang anak melakukan kemaksiatan, seorang anak tidak wajib mentaatinya sebagaimana yang dijelaskan oleh sebuah hadis, “Tidak ada ketaatan kepada makhluk pada perkara kemaksiatan kepada Tuhan”.
Dalam kes saudara, ibu saudara ternyata tidak memahami sepenuhnya ajaran Islam apabila dia melakukan hal-hal yang bertentangan nilai-nilai akhlak Islam seperti mengumpat dan mengutuk orang. Oleh yang demikian, untuk saudara menegur dan menasihati ibu adalah satu perkara yang baik, kerana seorang ibu juga adalah seorang muslim dan hamba Allah yang mesti menuruti ajaran Islam. Nasihat tersebut tidaklah dianggap sebagai satu bentuk penderhakaan. Namun nasihat yang diberikan haruslah sesuai dengan adab seorang anak.
Sekiranya perlu, mungkin saudara perlu meminta orang yang lebih dekat dan yang lebih dihormati oleh ibu saudara untuk menasihati beliau. Dan sekiranya setelah ditegur, seorang ibu masih tidak juga berubah, apa yang dilakukan seterusnya adalah antara beliau dengan Allah.
Hubungan dengan ibu hendaklah diteruskan walaupun di peringkat yang paling asas. Mungkin dengan meneruskan hubungan, ruang untuk menasihati ibu saudara akan lebih luas dan sekiranya saudara memutuskan hubungan, mungkin ia akan menyebabkan ibu saudara akan bertambah marah dan melakukan perkara-perkara yang lebih buruk.
Teruskan berdoa kerana akhirnya hanya Allah yang boleh melembutkan hati seorang manusia termasuk ibu dan bapa.
Wallahu a’lam.
Sumber : E- Fatwa
Malangnya, kita terus didedahkan budaya Barat-Zionis dimana, bercakap kasar atau melawan ibubapa adalah seolah perkara normal (tengok sajalah drama-drama mereka). Sebab itu ibubapa sekarang takut nak menegur anak walau supaya Solat lima waktu, atau takut menasihati anak untuk mencari pasangan hidup yang soleh, bukan berasaskan rupa atau harta.
ReplyDeleteLihat sajalah cara hidup ramai selebriti atau VIP kita, di mana anak-anak mereka dibesarkan dgn. terlalu manja cara Barat.
Makcik Sambal Belacan.