Pages

Monday, 3 November 2014

AGAMA : MERAWAT PENYAKIT HATI DAN PENYAKIT JIWA



Ahli Falsafah mengatakan, "Apabila kita ada penyakit; kita boleh pilih; untuk sembuh atau untuk merana." Ada sesetengah orang jika mengalami sakit, mereka lebih suka memilih untuk menunjukkan yang mereka sedang sakit dan ‘merana’. Ini ialah ciri-ciri orang yang negatif.


Ada sesetengah orang pula, apabila mereka sakit mereka tidak fokus kepada sakit mereka, cuba melawan sengsara penyakit mereka dan cuba menunjukkan hidup mereka tidak terjejas dengan kesakitan itu, malah mereka berusaha untuk segera sembuh. Sebaliknya fokus kepada tubuh badan mereka yang lain, yang masih sihat dengan penuh kesyukuran. Inilah ciri-ciri orang yang positif.

Contoh, seseorang yang mengalami sakit kaki, katakanlah lutut, apabila kita bertanya khabar kepadanya, dia akan menjawab, "Alhamdulillah, saya sihat semuanya, kecuali lutut saya yang sakit." Walau macam mana teruk sekalipun sakitnya, selagi dia terdaya, dia akan cuba melawan kesakitannya dan terus berjuang untuk menjadikan hidupnya bermanfaat serta tidak akan meninggal tanggungjawabnya kepada Allah.

Tetapi, orang yang neurotik (ada gangguan emosi) akan mengatakan, "Saya sakit lututlah", “Susahlah nak buat apa-apa, sejak saya sakit lutut, banyak kerja yang tergendala akhir-akhir ini” dan pelbagai alasan lagi. Asyik mengeluh, merungut dan menyalahkan takdir, hingga kesakitan itu ‘mengehad’ atau menghalang hidupnya berlangsung seperti kebiasaannya.

Oleh sebab itu amat penting diingat, dua perkara yang tidak perlu disebut setiap hari iaitu, “saya tidak sihat” dan "saya tidak larat atau penat.” Apabila kita tidak menyebut dua perkara ini, maka 50% kehidupan kita sudah bahagia. Hal ini kerana apabila kita menyebut perkataan ‘sakit’/'tidak sihat’ dan ‘penat’/tidak larat’, kita akan menghantar mesej kepada otak (minda sedar) dan hati/jiwa (minda bawah sedar/minda segar) sesuatu yang negatif, dan akhirnya seluruh tubuh fisiologi menjadi lemah.

Oleh itu apabila kita sakit maka kita jangan cerita kepada orang yang kita sakit, minta simpati dan mahu orang memahami yang kita sedang sakit, tetapi mintalah simpati Allah dan mengadulah kepada-Nya.

Hal ini adalah kerana, kita sakit mungkin kerana dosa-dosa yang pernah kita lakukan dahulu; kesan daripada kehidupan sosial kita dan sebagainya. Ambil jalan penyelesaian dengan mengambil banyak makanan sihat, rehat yang cukup, maafkan orang, serta bersihkan penyakit hati. Apabila banyak penyakit hati maka senang datang banyak penyakit fizikal.

Takut

Penyakit fizikal yang dihadapi akan hilang apabila kita mati. Manusia sangat takut dengan penyakit fizikal, mereka akan bersusah payah mencari dan berjumpa dengan bermacam-macam pakar perubatan untuk merawat penyakit fizikal. Namun begitu, tidak ramai orang yang bersusah payah untuk merawat penyakit hati dan penyakit jiwa yang berkaitan dengan 'penyakit iman.' Malah, mereka tidak peduli jika akhir hidup mereka nanti mereka akan berjumpa Allah dengan hati dan jiwa yang sakit itu, tanpa mencari rawatan memulihkan keimanan mereka.

Oleh sebab itu, cuba kita ‘Reset Minda’, yakni ubah cara kita melihat penyakit yang diberi Allah kepada kita, dengan melihat apakah sebenarnya mesej yang Allah hendak sampaikan kepada kita. Sakit adalah tanda kasih sayang Allah, kepada hamba-Nya.

Apabila kita sakit, Allah menghapuskan empat perkara dalam hidup kita. Iaitu Allah menghapuskan nikmat kebahagiaan, nikmat ketenangan, nikmat kekayaan/wang ringgit dan yang keempat, Allah menghapuskan dosa kita. Tetapi, apabila sembuh dan sihat semula, Allah kembalikan tiga perkara sahaja, iaitu kita dapat semula kebahagiaan, ketenangan, dan nikmat kekayaan/wang ringgit kita. Yang Allah tidak kembalikan semula ialah, dosa-dosa hamba-Nya yang sabar dan reda dengan penyakitnya akan terhapus (kifarah).

Lumrahnya untuk mengubati sesuatu penyakit, kebanyakan kita bergantung kepada ubat doktor. Namun begitu, ingatlah bahawa doktor bukan merawat kita. Sebenarnya Allah yang merawat kita dan dengan izin Allah badan kita akan sihat. Jika kita ini sangat negatif dari segi pemikiran dan harapan, maka sikap ini akan merosakkan badan kita. Sebab badan kita itu ditakluki oleh aura negatif.

Apabila kita hendak merawat penyakit fizikal maka kita perlu rawat penyakit hatinya dahulu.

DR.MUHAYA MUHAMAD 

Utusan Malaysia 

No comments:

Post a Comment