Pages

Friday, 28 November 2014

Paparan Video 13 Mei Meruntun Jiwa Perwakilan #PAU2014



Sedutan video Peristiwa 13 Mei, titik hitam dalam sejarah negara yang ditayangkan ketika ucapan dasar Presiden UMNO, meruntun jiwa seluruh perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2014.

Ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, itu yang turut disiarkan secara langsung menerusi beberapa saluran televisyen negara, pastinya mengimbas kembali memori pahit seluruh rakyat Malaysia.

Beberapa golongan veteran ketika ditemui di sini turut melahirkan rasa sedih dan yakin seluruh rakyat pelbagai kaum dan agama di Malaysia ini, pastinya tidak mahu peristiwa hitam itu berulang.

Osman Khamis, 62, dari Ledang, Johor, berkata beliau berasa sedih apabila menonton tayangan video itu dan berharap ia akan membuka mata serta menyedarkan masyarakat terutama ahli UMNO mengenai kepentingan bersatu padu.

"Ia satu peristiwa yang sesiapa pun, apa kaum pun, tak mahu ulangi, walaupun tayangan itu sekejap sahaja. Pakcik harap ia beri kesedaran pada semua, jangan kita bergaduh dan berbalah," katanya kepada BERNAMA.

Video bertemakan 'Solidariti Melayu dan Bumiputera, Solidariti UMNO, Solidariti Malaysia', bukan sahaja membuatkan perwakilan sebak, malah orang awam yang menyaksikan siaran itu di luar dewan, turut sebak dan mengalir air mata.

Osman, ahli UMNO seumur hidup dan hadir setiap kali Perhimpunan Agung UMNO diadakan, turut melahirkan rasa gembira apabila perdana menteri mengumumkan Akta Hasutan 1948 dikekalkan.

Jaharah Saudin, 69, dari Bukit Sireh, Melaka pula berkata Peristiwa 13 Mei masih segar dalam ingatannya yang ketika itu berusia 24 tahun.

"Tengok video tu makcik terus teringat, masa tu mereka isytihar kawasan hitam, semua orang takut, lagi-lagi makcik masih muda.

"Anak muda sekarang tolonglah hargai perjuangan orang lama, susahnya untuk hidup aman macam sekarang," katanya yang hadir ditemani suami.

Nurul Asyikin Rushdan, 23, berkata walaupun belum dilahirkan ketika peristiwa itu berlaku, namun dia tahu akibatnya jika peristiwa itu kembali berulang.

"Sebak melihat emak saudara saya menangis, saya berharap negara kita terus aman supaya tidak ada peristiwa seperti itu berlaku," katanya.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Rozaidi Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi, berkata tayangan video itu dapat menimbulkan kesedaran kepada golongan muda.

"Ia diharap menguatkan lagi semangat perpaduan seluruh rakyat di negara ini," katanya.

Rakyat News 

No comments:

Post a Comment