Pages

Monday, 27 April 2015

'Rakyat Mahu Wakil Rakyat, Bukan Wakil Suami' #PRKPermatangPauh



Kehendak masyarakat dalam PRK Permatang Pauh ialah memilih ahli Parlimen untuk mampu menjaga kebajikan mereka.

Pengerusi Umno Pulau Pinang, Zainal Abidin Osman berkata, rakyat Permatang Pauh sedang membuat pertimbangan untuk memilih wakil rakyat dan bukan wakil suami.

Beliau berkata, masyarakat memerlukan pemimpin yang mampu membela mereka selain memberi fokus khusus untuk pembangunan kawasan.

"Calon yang perlu dipilih adalah wakil yang boleh bersama dengan rakyat, berkhidmat untuk rakyat dan bantu rakyat sepenuh masa. Namun PKR menampilkan calon yang diragui kewibawaannya sama ada wakil rakyat atau wakil suami?

"Mampukah calon PKR memberi tumpuan kepada penduduk Permatang Pauh sedangkan dia juga Adun di Kajang,Selangor dan terpaksa menanggung beban dengan beberapa jawatan lain," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang ditampilkan PKR sebelum ini sudah dibebani tanggungjawab dan persoalan mampukan dia memberi fokus kepada rakyat di Permatang Pauh jika dipilih kelak.

Selain menggalas tanggungjawab sebagai Adun Kajang dan Presiden PKR, adakah Wan Azizah yang lebih dikenali dengan nama Kak Wan mampu menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang Parlimen kelak.

Menurutnya, keadaan ini berbeza dengan calon yang ditampilkan BN adalah anak tempatan Permatang Pauh.

"Suhaimi Sabudin yang mewakili BN bukan sahaja boleh menfokuskan kepada penduduk di Permatang Pauh sepenuh masa malah mampu memberi harapan baharu kepada penduduk selain membawa pembangunan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Dun Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid berkata, mengikut logik adakah Dr Wan Azizah mampu membahagikan masa dengan baik seterusnya memberi pembelaan sewajarnya kepada penduduk Permatang Pauh.

"Sebagai manusia kita mempunyai had keupayaan, masa dan tenaga.

"Beliau (Wan Azizah) terpaksa menguruskan dua kawasan yang berjauhan dan dari segi logik ia akan menghadkan keupayaannya. Kita tidak mahu seperti pepatah Melayu iaitu 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong kerciciran," katanya.

Beliau berkata, rakyat di Kajang sudah semestinya mempunyai harapan tinggi terhadap pemimpin mereka dan mahu penuh perhatian Dr Wan Azizah.

"Namun jika dia dipilih, sudah pasti akan membataskan fokus terhadap rakyat di Kajang untuk melaksanakan tugas dengan baik," katanya.

Sinar 

No comments:

Post a Comment