Pages

Saturday, 15 August 2015

'Dana RM2.6 bilion, 1MDB bukan lagi isu remeh' - Muhyiddin


KEMAMAN: Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu berkaitan derma dana politik RM2.6 bilion kini bukan lagi isu remeh sebaliknya memberi kesan besar kepada parti dan negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden UMNO perlu segera menjelaskan kepada anggota parti dan seluruh rakyat berhubung beberapa isu yang dibangkitkan ketika ini, kata Timbalan Presiden UMNO itu.

Muhyiddin berkata langkah itu wajar dilakukan sebelum imej kerajaan dan negara terus tercalar.

Menurutnya, terserah kepada Perdana Menteri untuk menjawab pelbagai persoalan kerana bimbang kesannya terhadap kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Kita tahu pihak Peguam Negara yang lalu telah pun mengambil langkah dengan menubuhkan apa yang dipanggil task force (pasukan petugas khas). Di bawah itu ada pihak polis, pihak Gabenor Bank Negara dan juga ketua SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) bersama-sama membuat siasatan secara telus.

"Saya anggap itu langkah yang bijak, tetapi yang penting bukan penubuhan pasukan itu. Yang penting ialah untuk mencari apakah masalah atau pun isu-isu yang dihadapi oleh syarikat ini dapat dikenal pasti samada ia menyalahi undang-undang tertentu atau pun sebaliknya... dan mengenal pasti siapa yang dianggap bertanggungjawab.

"Sebagaimana yang disebutkan Perdana Menteri, tindakan dari sudut undang-undang mesti diambil terhadap mereka ini kerana mereka telah membawa Malaysia dan juga syarikat ini khususnya dalam keadaan kerugian yang besar… tanggungan yang agak luar biasa," kata Muhyiddin ketika berucap pada majlis perasmian mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kemaman pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Kemaman Datuk Seri Ahmad Said yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga Ahli Parlimen Kemaman dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga bekas timbalan perdana menteri, mengulangi kesetiaannya kepada perjuangan UMNO kerana ia adalah amanah rakyat dalam memperjuangkan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Beliau berkata soal integriti dalam parti perlu menjadi keutamaan dan sebagai pemimpin dalam UMNO, amanah itu perlu dijaga dan dipikul dengan sebaiknya.

Katanya walaupun pada suatu ketika beliau berbeza pendapat dalam beberapa dasar dengan Najib, namun itu semua adalah atas prinsip setiap masalah harus menjadi tanggungjawab dan dibincang bersama.

Menurutnya, sebagai orang nombor dua dalam parti, beliau rasa bertanggungjawab untuk memastikan isu terbabit dapat diselesaikan secepat mungkin.

No comments:

Post a Comment