Insaniah kekal milik Kedah
Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, perkara itu tidak pernah dibangkitkan dalam mana-mana mesyuarat sebelum ini, sebaliknya menegaskan Insaniah akan kekal menjadi milik kerajaan negeri selama-lamanya.
“Tidak ada cadangan untuk swastakan Insaniah setakat ini, walaupun umum mengetahui ia berdepan pelbagai masalah yang berlarutan sejak bawah pentadbiran PR,” katanya.
Menurutnya, pihaknya turut menafikan kerajaan negeri sudah membuat tawaran kepada Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Aimst dan Universiti Antarabangsa Al-Bukhary (AiU) yang berminat untuk mengambil alih Insaniah.
“Mungkin ia sekadar cakap kosong atau khabar angin yang timbul ekoran kebimbangan staf atau pelajar yang risau jika kolej universiti itu ditutup,” katanya.
Tajul Urus berkata, selepas beberapa perjumpaan dengan pihak pengurusan dan pentadbiran Insaniah, pihaknya sudah merangka penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang untuk tindakan.
“Kita akan fokus untuk jangka pendek terlebih dahulu, antaranya isu gaji, asrama pelajar dan kebajikan staf. Dua perkara utama yang dikenal pasti untuk tindakan segera ialah atasi kelemahan pentadbiran dan pengurusan serta kekangan kewangan,” katanya.
Menurutnya, bagi tujuan itu, sebuah pasukan khas diwujudkan untuk transformasi Insaniah ke arah lebih baik dalam usaha menentukan hala tuju kolej universiti itu.
“Mesyuarat Exco telah bersetuju untuk wujudkan pasukan khas ini. Langkah pertama ialah melantik Timbalan Rektor, Datuk Che Barni Mohd Noh sebagai pemangku Rektor bermula Jun,” katanya.
Tajul Urus berkata, lantikan itu berkuat kuasa selama enam bulan, sehingga lantikan baru bagi jawatan Rektor dibuat.
“Dalam tempoh transisi seperti ini, kita wajar beri keutamaan kepada perkara penting terlebih dahulu. Ia memerlukan masa untuk selesaikan semua isu berbangkit, saya akan cuba teliti satu persatu ikut kepentingan,” katanya.
Menurutnya, kos operasi Insaniah antara perkara yang diberi tumpuan, dan tidak menolak kemungkinan akan dibuat beberapa rombakan membabitkan jawatan pengurusan tertinggi.
“Perkara yang berkaitan dengan kos operasi akan dinilai, mana-mana yang tidak memberi manfaat kepada Insaniah akan dimansuhkan, selain keutamaan terhadap kebajikan pelajar. Kita akan cuba jimatkan kos dengan buat beberapa perubahan,” katanya.
Tajul Urus turut membangkitkan keperluan memiliki dua kampus iaitu di Mergong dan Kuala Ketil yang akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang.
“Sekarang ada dua kampus, ia libatkan kos yang banyak. Kita wajar nilai keperluan miliki dua kampus pada masa akan datang. Ianya masih dalam perbincangan dan saya harap pasukan khas itu akan kemuka beberapa cadangan sebagai panduan,” katanya.
Menurutnya, pihaknya turut mencadangkan agar dilantik konsultan untuk memberi penambahbaikan kepada Insaniah agar lebih cemerlang, sebagai langkah jangka panjang.
“Saya percaya dengan adanya pasukan itu termasuk konsultan, kita akan hasilkan satu penyelesaian terbaik tangani kemelut di Insaniah,” katanya.
Kelmarin, sumber-sumber mendakwa Insaniah bakal diswastakan apabila timbul desas-desus kerajaan negeri menawarkan penjualan kolej itu kepada beberapa buah IPT yang berminat untuk mengambil alih Insaniah. SINAR
Kkismec , kerajaan negeri x nk rombak ke?
ReplyDeleteBaguih jgk klu rombak kismec..hehe
ReplyDelete