Pages

Thursday, 4 September 2014

#HAJI1435H : SAFA DAN MARWAH MEMPERINGATI PERGORBANAN SAIDATINA HAJAR


Ibadat Saie sempena memperingati kisah Siti Hajar

Syeikh Sya’rawi di dalam tafsirnya menyebut: Dua bukit Safa mengingatkan nostalgia lama bagaimana Saidatina Hajar iaitu ibu Ismail berulang alik antara kedua-duanya mencari air untuk anaknya selepas ditinggalkan Ibrahim di sisi Baitullah al-Haram.

Bagaimana fikiran seorang perempuan ketika ditinggalkan suaminya bersama dengan anak yang masih kecil di tempat yang tidak mempunyai makanan dan sumber air?

Di sinilah ucapan Hajar yang masyhur. Kepada siapa kamu serahkan kami, adakah Allah yang perintahkan kamu demikian itu? Lantas jawab Ibrahim: Ya. Dengan penuh yakin. Isteri solehah berkata: Kalau begitu Allah s.w.t tidak akan mengabaikan kami. Justeru ia terkaya dengan khalik daripada makhluk.

Firman Allah: Sesungguhnya Bukit al-Safa dan al-Marwa itu adalah dari syiar-syiar Allah. Oleh itu, sesiapa yang mengerjakan haji atau mengerjakan umrah, maka tiada apa-apa kesalahan baginya untuk berkeliling pada keduanya dan sesiapa yang mengerjakan dengan sukarela amalan yang baik, maka sesungguhnya Allah berterima kasih dan Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 158)

Sebab nuzulnya ayat ini:

Riwayat yang paling dekat dengan logik kejiwaan yang diambil daripada tabiat kefahaman dan pemikiran yang telah ditanam oleh Islam dalam jiwa angkatan pemeluk Islam yang pertama dari golongan Muhajirin dan golongan Ansar, ialah riwayat yang mengatakan bahawa setengah-setengah kaum Muslimin itu merasa segan dan keberatan untuk berkeliling di Safa dan Marwa ketika mengerjakan ibadat haji dan umrah. Ia disebabkan berhala Asaf dan Na`ilah diletakkan di atas dua bukit itu.

Orang-orang Islam tidak suka dan keberatan untuk berkeliling di situ sebagaimana mereka berkeliling di zaman jahiliah.

Ujar al-Bukhari: Kami telah diceritakan oleh Muhammad Ibn Yusuf, kami telah diceritakan oleh Suffian daripada `Asim Ibn Sulaiman katanya: Aku telah bertanya Anas tentang (berkeliling) di Safa dan Marwah, dia menjawab: Kami melihat kedua-duanya dari upacara (ibadat) di zaman jahiliah. Apabila datang Islam kami menahan diri kami dari berkeliling pada keduanya. Kemudian Allah s.w.t menurunkan ayat yang bermaksud: Sesungguhnya Bukit al-Safa dan al-Marwa itu adalah dari syiar-syiar Allah.




Ujar al-Sya’bi: Berhala Asaf terletak di atas bukit Safa, dan berhala Na`ilah terletak di atas Bukit Marwa. Mereka (orang-orang Arab di zaman jahiliah) menyentuh berhala-berhala itu dengan tangan mereka. Oleh sebab itulah (selepas kedatangan Islam) mereka merasa segan mengelilingi di antara kedua bukit itu lalu turun ayat tadi.

Pendapat seperti di atas juga diutarakan oleh Ibn Jauzi di dalam tafsirnya Zad al-Masir.

Firman Allah s.w.t., Sesungguhnya Bukit al-Safa dan al-Marwa itu adalah daripada syiar-syiar Allah. Ibrahim bin al-Sari berkata: Safa pada bahasa ialah batu yang keras dan kental. Sebatang pohon pun tidak tumbuh. Ia adalah kata jamak (banyak). Sedangkan Marwa pula ialah batu yang lembut. Kedua-dua tempat ini daripada syiar Allah untuk didirikan salah satu daripada rukun haji iaitu bersaie. Syiar pula ialah yang terdiri daripada mauqif (tempat wukuf), mas`a (tempat saie) atau zabh (iaitu sembelihan).

Oleh itu, ditakrifkan syiar sebagai setiap apa yang kita diperintahkan ibadat kepada Allah dengannya dari segala urusan agama seperti tawaf, saie, azan dan lain-lain.

Sayid Qutub berkata: Oleh itu sesiapa yang berkeliling di dua bukit, maka bererti dia telah menunaikan salah satu syiar-syiar Allah dan bererti bahawa tujuan dia berkeliling di situ adalah semata-mata untuk Allah, kerana hubungan di antara perkelilingan baru dengan perkelilingan lama yang diwarisi turun temurun itu telah terputus.

Perkelilingan itu kini hanya mempunyai hubungan dengan Allah s.w.t. bukan lagi dengan berhala-berhala Asaf, Na`ilah dan lain-lain berhala di zaman jahiliah. Oleh sebab itu tiada sesuatu sebab lagi yang patut disegani dan dirasa berdosa. Perkelilingan sekarang berlainan daripada perkelilingan dahulu dan tujuan sekarang berlainan dari tujuan dahulu.

Firman Allah s.w.t.: Oleh itu sesiapa yang mengerjakan haji atau mengerjakan umrah, maka tiada apa-apa kesalahan baginya untuk berkeliling pada keduanya. Islam telah mengekalkan kebanyakan syiar-syiar ibadat haji yang diamalkan oleh orang-orang Arab dahulu dan membuang segala syiar yang ada hubungan dengan berhala-berhala (yang disembah mereka) dan dengan kepercayaan-kepercayaan jahiliah yang karut.

Ia telah menghubungkan syiar-syiar ibadat haji yang dikekalkan itu dengan kefahaman dan kepercayaan Islam yang baru dengan sifatnya sebagai syiar-syiar Ibrahim a.s. yang diajarkan oleh Allah kepadanya (hal ini akan dihuraikan dengan terperinci ketika memperkatakan fardu haji di tempat pembicaraannya di dalam rangkaian ayat-ayat surah ini).

Syiar-syiar ibadat umrah sama dengan syiar-syiar ibadat haji kecuali wukuf di padang Arafah, dan ia tidak ditentukan waktunya dengan waktu-waktu haji.

Dan di dalam ibadat haji dan umrah, kewajipan berkeliling di antara dua Bukit Safa dan Marwa dijadikan syiar kedua-dua ibadat itu.

Firman Allah: Dan sesiapa yang mengerjakan dengan sukarela amalan yang baik, maka sesungguhnya Allah berterima kasih dan Maha Mengetahui.

Di sini secara halus Allah menyatakan bahawa amalan berkeliling di antara dua Bukit Safa dan Marwa itu adalah amalan yang baik dan dengan kenyataan ini terhapuslah dari hati mereka segala perasaan syak dan timbullah rasa senang hati terhadap syiar-syiar ini.

Ayat ini menenangkan hati mereka kerana Allah mengirakan syiar itu suatu syiar yang baik dan akan membalasnya dengan kebajikan, dan kerana Allah mengetahui segala niat dan segala perasaan yang tersemat di dalam hati.

Maka sesungguhnya Allah berterima kasih dan Maha Mengetahui. Maksud ungkapan ini ialah Allah meredakan perbuatan yang baik itu dan akan membalasnya dengan balasan yang baik. Tetapi kata-kata berterima kasih memberi satu bayangan yang lembut di sebalik maknanya yang mujarrad ini. Ia memberi bayangan kepada hamba.

Di sini kata-kata ini menyarankan satu adab sopan yang wajib yang harus wujud dari hamba terhadap Allah, kerana jika Allah berterima kasih kepada hamba-Nya kerana perbuatannya yang baik, maka apakah pula yang harus dibuat oleh seseorang hamba menunaikan kewajipan bersyukur terhadap Allah?

Itulah bayangan-bayangan dari ungkapan-ungkapan al-Quran yang menyentuh hati dengan saranan-saranannya yang lembut, halus dan indah.

Iktibar dan pengajaran ayat:

*Ibadat saie dalam al-Quran bermula dengan kisah Siti Hajar mencari sumber air bagi menyelamatkan anaknya Ismail a.s. Perbuatan berusaha dengan mengambil hukum sebab, apabila asbab duniawi telah lemah lantas dengan tawakal yang mutlak datang asbab samawiah (langit) hingga keluarnya air zamzam dan ibadat saie menjadi satu rukun dalam upacara haji dan umrah supaya manusia mengambil iktibar dengan asbab tersebut.

*Melaksanakan ibadat walaupun dalam kesukaran dengan adanya unsur-unsur syirik dan berhala atau hal yang lain kerana terpaksa dibolehkan dengan syarat nawaitu kerana Allah. Ini ketika peringkat tidak mampu melaksanakan amar maaruf dan nahi mungkar.

*Mengithbatkan dua sifat Allah iaitu syukur dan ilmu dengan segala sifat kamalat (kesempurnaan).

Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


Admin Apj kongsikan apa yang dituliskan oleh Dr Zulkifli buat tatapan kita semua , alhamdulillah admin masih lagi di tanah suci ketika ini sehingga pertengahan bulan 10 nanti . Apa yang menarik insyaAllah Admin akan kongsikan pada anda 

No comments:

Post a Comment