
Gesaan ini dibuat oleh Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke, yang juga Ahli Parlimen Seremban.
Berikut adalah kenyataan penuh beliau yang dikeluarkan semalam.
Sekali lagi isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan menjadi polemik yang hangat dalam media massa arus perdana. Isu ini timbul semula selepas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyatakan di Parlimen kesediaan kerajaan Pusat yang ditunjangi oleh Umno untuk membantu Pas melaksanakan undang-undang tersebut di Kelantan.
Isu pelaksanaan hudud sebenarnya bukan satu isu baru dalam persada politik Malaysia. Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) telah diluluskan di Dun Kelantan pada 1993 dan di Dun Terengganu pada 2002.
Namun, enakmen ini tidak dapat dilaksanakan kerana undang-undang yang melibatkan jenayah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan dan hanya boleh diluluskan melalui Parlimen. Jadi, itulah sebabnya dikatakan bahawa pelaksanaan hudud adalah tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.
Semua pihak mengetahui pendirian DAP dalam isu ini iaitu DAP tidak pernah dan tidak akan bersetuju dengan pelaksanaan undang-undang tersebut kerana ia tidak praktikal dan tidak sesuai dalam keadaan masyarakat majmuk di Malaysia.

Bagaimanakah penguatkuasaan undang-undang jenayah dapat dijalankan dengan berkesan sekiranya ada dua set undang-undang yang diaplikasikan secara berlainan kepada orang yang beragama Islam dan bukan Islam. Jenayah tidak ada sempadan warna kulit dan agama dan adalah mustahil penjenayah hanya melakukan jenayah ke atas mangsa dari kalangan agamanya sendiri sahaja.
DAP tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud tidak sama sekali bersamaan dengan DAP menentang agama Islam ataupun anti-Islam. DAP tidak pernah mempersendakan hukum Islam untuk menimbulkan ketakutan ataupun fobia di kalangan orang bukan Islam terhadap agama Islam seperti yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin MCA.
Malah, saya sendiri pernah mempertahankan (Mursydul Am Pas dan belas Menteri Besar Kelantan) Tok Guru (Datuk) Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat) di Parlimen apabila pemimpin MCA mendakwa kononnya Tok Guru mengizinkan wanita yang tidak menutup aurat dirogol. Saya juga pernah mengatakan kepada masyarakat bukan Islam bahawa tidak ada apa yang perlu ditakuti sekiranya kita tidak mencuri dan merompak.