BAJET 2015
NEGERI KEDAH DARUL AMAN
“EKONOMI MODAL MEMAKMURKAN RAKYAT”
UCAPAN
YANG AMAT BERHORMAT
DATO’ SERI HAJI MUKHRIZ TUN MAHATHIR
MENTERI BESAR KEDAH DARUL AMAN
PADA HARI ISNIN, 17 NOVEMBER 2014
Assalamualaikum w.b.t.
Salam Sejahtera. Salam Kedah Aman Makmur.
Segala puji-pujian ke hadrat Allah S.W.T., selawat serta salam ke atas Junjungan Besar,Nabi Muhammad S.A.W., kaum keluarga baginda dan para sahabat.
Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
1. Kedah Darul Aman kebanggaan kita. Ribuan tahun usia tamadunnya. Negerinya berdaulat, penuh beradat. Sejarahnya gemilang, tinggi pula martabatnya. Rakyatnya, pedagang terbilang. Adil memerintah, Islam dijunjung. Orangnya ramah, Raja memayung.
2. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. atas segala limpah, rahmat dan kurniaNya. Hari ini, kita dapat berkumpul di Dewan Yang Mulia ini bagi merencana pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah. Kita berkumpul bagi melaksanakan tanggungjawab kita sebagai wakil-wakil rakyat dengan berbekalkan amanah besar. Sekali lagi, kita akan berbahas bagi meluluskan satu perbelanjaan Kerajaan Negeri bagi tahun 2015.
3. Izinkan saya memulakan pembentangan Bajet Negeri Kedah Darul Aman bagi tahun 2015 ini dengan memetik ayat suci Al-Quran, Surah Ibrahim, Ayat 7, bilamana Allah S.W.T. berfirman, yang bermaksud :
“ Dan apabila Tuhan kamu mengingatkan, sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepada kamu, dan sesungguhnya jika kamu mengingkari nikmat-Ku maka sesungguhnya azabKu sangat pedih.
4.Manakala dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 152, Allah S.W.T. berfirman dengan maksudnya:
“ Maka ingatlah kepada-Ku, nescaya Aku pun akan ingat kepadamu, bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu mengingkari nikmat-Ku. ”
Semoga dua potong ayat yang dibacakan tadi menjadi pegangan dan panduan kepada kita semua untuk sentiasa bersyukur akan nikmat kemakmuran yang dilimpahkan kepada kita dan semoga Allah S.W.T. akan menambahkan lagi nikmatNya kepada negeri yang bertuah ini.
5. Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang yang diletakkan amanah oleh rakyat untuk menunaikan kewajipan bagi memakmurkan negeri Kedah Darul Aman yang tercinta ini demi kemaslahatan kita bersama. Semestinya kita semua di Dewan Yang Mulia ini haruslah bersama-sama berganding bahu dan mengembleng tenaga dalam melaksanakan amanah ini supaya nikmat kemakmuran yang diperolehi sekarang akan terus berkekalan hendaknya.
6. Bajet 2015 ini adalah sebagai penyambung tradisi kepada keupayaan Kerajaan Barisan Nasional dalam memakmurkan Negeri Kedah dan membawa kemajuan kepada semua lapisan rakyat. Ianya adalah juga sebagai tanda terima kasih Kerajaan Negeri kepada semua rakyat Kedah kerana memberikan mandat untuk meneruskan agenda transformasi yang direncanakan. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan sentiasa memberikan yang terbaik kepada seluruh rakyat Negeri Kedah dengan memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan supaya lebih efisien, efektif dan berimpak tinggi. Amanah yang diberikan dan kepercayaan yang disandarkan ini akan dipikul oleh saya bersama semua barisan kepimpinan negeri ini dengan penuh dedikasi dan berintegriti, Inshaa-Allah.
Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
7. Sehingga Oktober 2014, kutipan sebenar hasil Kerajaan Negeri telah mencapai RM450 juta berbanding jumlah yang diunjurkan sepanjang tahun 2014 sebanyak RM731.4 juta. Kerajaan berharap perbezaan ini dapat dikecilkan menjelang akhir tahun ini jika sekiranya semua pihak dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing di dalam usaha menambah hasil negeri. Dalam masa yang sama, pengurusan kewangan hendaklah dilaksanakan dengan penuh berintegriti, berhemah, tepat dan cepat bagi mencapai keseimbangan antara pertambahan hasil dan peningkatan perbelanjaan.
8. Sehingga Oktober 2014 juga Kerajaan Negeri membelanjakan sebanyak RM410 juta untuk pengurusan berbanding jumlah yang dibajetkan bagi keseluruhan tahun 2014 sebanyak RM776 juta. Perbelanjaan yang dibuat oleh Kerajaan perlu seiring dengan pendapatan supaya kedudukan kewangan negeri sentiasa berada di dalam keadaan seimbang.
9. Kerajaan telah mengamalkan pendekatan perbelanjaan secara berhemah sepanjang tahun ini bagi memastikan ianya tidak melebihi keupayaan. Dalam masa yang sama, Kerajaan mesti merangka program dan projek pembangunan yang mampu membina semula kegemilangan Negeri Kedah. Untuk tujuan itu, perancangan jangka panjang disusun dengan penuh rapi. Disamping itu, semua perancangan projek berbentuk katilistik yang telah dibuat dengan teliti akan dimulakan secara agresif pada tahun 2015. Kerajaan yakin, ini akan melonjakkan kedudukan ekonomi Negeri dan akan sekaligus menambah pendapatan sebahagian besar rakyat.
10. Bajet 2015 yang dibentangkan ini merupakan bajet terakhir dalam Rancangan Malaysia ke-10. Oleh itu bajet pada kali ini lebih menumpukan kepada penyelesaian projek-projek dan program-program yang telah dirancang dalam Rancangan Malaysia Ke-10 selaras dengan empat teras pembangunan negeri yang ditetapkan iaitu:
i. Menjamin kemakmuran dan kelangsungan kesejahteraan rakyat;
ii. Merangsang pertumbuhan ekonomi dalam negeri;
iii. Memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan awam; dan
iiii. Mengupaya modal insan dan keusahawanan
11. Keempat-empat teras ini menjadi paksi kepada falsafah ekonomi modal dan ekonomi rakyat (capital economy and people’s economy), sebagaimana yang ditegaskan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan semasa membentangkan Bajet Nasional 2015. Penyediaan bajet tahun ini menitikberatkan penyeimbangan antara ekonomi makro dan ekonomi mikro. Kekayaan dan kemakmuran negeri melalui pertambahan jumlah pelaburan yang tinggi serta dasar kewangan fiskal akan dapat membawa pertumbuhan yang pesat yang akhirnya melimpah untuk dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat di negeri ini.
RANCANGAN MEMACU PEMBANGUNAN
Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
12. Dalam merangka strategi pembangunan yang lebih efisien dan mampan, Kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia telah mengadakan satu Pemukiman Rancangan Malaysia ke-11 pada bulan September tahun ini yang melibatkan semua agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan bersama-sama agensi swasta serta pertubuhan bukan kerajaan bagi menyumbangsaran (brainstorming) dan berbincang bagi menentukan projek-projek dan program-program yang akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 nanti. Melalui Pemukiman berkenaan juga, kita telah menentukan projek-projek utama yang akan memacu pembangunan dan kemajuan negeri kita. Meskipun perlaksanaannya dijangka bermula dengan RMK – 11, tetapi Kerajaan Negeri mengambil tindakan awal untuk menyiapkan prasarana mulai tahun hadapan.
Projek-projekkatilistikyang dikenalpasti adalah:
Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim atau KXP
13. Walaupun Negeri Kedah sudah mempunyai dua lapangan terbang iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, namun pembinaan lapangan terbang ketiga ini dilihat amat penting untuk memainkan peranan sebagai pintu masuk dan keluar aktiviti perdagangan wilayah utara. Ini dikuatkan lagi dengan justifikasi yang diterima ramai.
14. Kesesakan trafik di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang diakui akan menjadi lebih kritikal dalam masa beberapa tahun lagi. Ini disokong lagi dengan hujah bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bakal mengalami pertumbuhan semakin pesat dalam masa tiga tahun akan datang dalam hal pengendalian penumpang. Maka ianya semakin kurang mampu untuk memainkan peranan sebagai lapangan terbang bagi pengangkutan kargo. Peranan inilah yang akan diambilalih oleh KXP.
15. Keperluan membina lapangan terbang antarabangsa yang mempunyai dua landasan bagi memudahkan pergerakan ketibaan dan pelepasan serta kemudahan kawalan trafik tidak dapat dipertingkatkan di mana-mana lapangan terbang berdekatan. Maka sekali lagi, fakta ini menjadi justifikasi utama kebolehwujudan KXP. Kebanyakan penerbangan tambang murah sentiasa memberi penekanan kepada operasi pantas apabila tiba di sesuatu destinasi. Justeru, dua landasan berkembar yang dirancang untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dapat menarik syarikat tambang murah dengan serta-merta, malah diharap akan ada syarikat penerbangan tambang murah domestik dan antarabangsa yang akan menjadikan KXP sebagai hub operasi bagi rantau ini.
Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
14.Bayangkanlah jika impian ini menjadi kenyataan hasil daripada usaha kuat kerajaan yang ada sekarang dengan sokongan penuh daripada Kerajaan Persekutuan, seluruh Negeri Kedah akan menerima limpahan yang amat besar dari segi peluang perniagaan, peluang perkhidmatan dan peluang pekerjaan. Inilah yang dikatakan ekonomi modal (capital economy) menyumbang kepada ekonomi rakyat (people’s economy).
Bandaraya Aero Kedah (Kedah Aerocity)
15.Malaysia sudah terkenal sebagai pengeluar komponen dan alat pesawat kapal terbang. Syarikat-syarikat yang terletak di Melaka, Selangor dan Kedah ini menyumbang kepada pembinaan pesawat jenama besar seperti Boeing dan Airbus.Pengeluar komponen pesawat dan perkhidmatan penyelenggaraan pembaikan dan “overhaul”, atau MRO, memerlukan akses kepada landasan kapal terbang di lapangan terbang.
16.Oleh itu, kerajaan merancang untuk menyediakan sebidang tanah sebesar tidak kurang dari 100 ekar di KXP untuk menempatkan syarikat-syarikat pengeluar komponen dan perkhidmatan MRO pesawat. Taman industri ini dinamakan Kedah Aerocity.
Projek utama yang ketiga ialah Lebuhraya Sungai Petani-Kedah Inner Expressway (SPIKE)
17. Rancangan Kerajaan Negeri untuk mewujudkan sebuah lebuhraya baharu yang akan menghubungkan Changkat Jering di Perak ke Sungai Petani melalui Kulim sepanjang 133kilometer bermatlamat merancakkan pembangunan kawasan luar bandar di Negeri Kedah. Dalam masa yang sama lebuhraya ini akan dapat memendekkan masa perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan kerana ianya akan menjadi lencongan daripada kesesakan yang berlaku di Seberang Perai, Pulau Pinang. Di masa akan datang, Kerajaan mempunyai pilihan untuk menyambungkan lebuhraya ini sehingga ke Bukit Kayu Hitam sejauh 83 kilometer.
18. Secara tidak langsung, dengan adanya hubungan jalan yang baik, ianya akan dapat menarik para pelabur dan meningkatkan nilai hartanah di sepanjang jajaran yang dirancangkan. Cadangan jajaran ini kemudiannya akan menjadi satu pakej yang lengkap kepada wujudnya Taman Teknologi Tinggi Kulim dan KXP. Sekali lagi sumbangan ekonomi modal (capital economy) memanfaatkan ekonomi rakyat (people’s economy).
Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
Projek berikutnya, Bandaraya Getah Kedah (Kedah Rubber City)
19. Sebagaimana kita sedia maklum, negeri Kedah adalah negeri pertanian dan getah merupakan satu komoditi utama. Negeri Kedah dan Wilayah Selatan Thailand dikenali sebagai antara pengeluar getah yang terbesar di dunia. Kelebihan ini harus diambil kesempatan oleh Kerajaan Negeri bagi mewujudkan satu bandaraya getah yang akan menjadi pengeluar utama produk berasaskan getah, selain bertindak sebagai pusat penyelidikan getah.
20. Kita percaya pengwujudan Bandaraya Getah yang dikelilingi oleh sumber bahan mentah yang begitu banyak akan menarik minat pengeluar-pengeluar barangan berasaskan getah melalui penggunaan teknologi tinggi, umpamanya barangan keperluan industri automotif, perubatan dan lain-lain. Cadangan tapak yang sesuai adalah di Ladang Bukit Ketapang, Daerah Padang Terap. Sebagai respon kepada penguncupan harga getah akhir-akhir ini, pembangunan yang dicadangkan bakal memberi satu nafas baharu kepada pekebun-pekebun kecil di seluruh Negeri Kedah.
21. Sementara menanti rancangan itu direalisasikan, keperitan hidup dan rintihan para pekebun dan penoreh getah mutakhir ini tidak dipandang sepi. Sebagai langkah awal, dengan serta-merta kerajaan negeri Kedah telah memulakan pemberian bantuan bahan keperluan harian kepada dua ribu pekebun kecil yang layak di seluruh negeri Kedah. Bantuan ini diberi secara berperingkat mulai November 2014. Sungguhpun nilainya tidaklah begitu besar, tetapi setidak-tidaknya bantuan ini akan dapat meringankan bebanan sementara menunggu usaha-usaha laindalam menangani keperitan hidup yang dialami oleh penoreh-penoreh getah. Masalah kejatuhan harga getah bukannya sesuatu di bawah kawalan Kerajaan. Namun atas rasa tanggungjawab dan keprihatinan Kerajaan ke atas nasib rakyat, maka bantuan makanan asas ini diusahakan
Satu lagi projek utama ialah Taman Sains & Teknologi Kedah (Kedah Science and Technology Park)
22. Kelebihan geo-ekonomi yang dimiliki oleh rantau ASEAN kerana sumber asas industrinya yang murah dan pasaran yang besar dengan kuasa beli yang meningkat menjadikan ianya pilihan utama kepada pelabur-pelabur di dalam industri pengeluaran automobil Thailand, Malaysia dan Indonesia. Faktorini telah mencetuskan ilham kepada Kerajaan Negeri untuk mewujudkan sebuah Taman Sains dan Teknologi yang menempatkan pusat-pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) sepertimana yang dikehendaki oleh pelabur-pelabur di dalam industri automotif dan lain-lain yang akan menjadi pelengkap kepada keperluan industri berat.
23. Bagi mempercepatkan pelaksanaan taman ini, Kerajaan Negeri mencadangkan supaya disediakan sebidang tanah seluas 1,695 ekar di Bukit Kayu Hitam, dalam Daerah Kubang Pasu, yang mana sebahagian besarnya dimiliki oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK). Sudah pun ada pelabur daripada luar negara yang telah menunjukkan minat untuk menyertai projek ini. Sekali lagi, ekonomi modal (capital economy)ini juga yang akan membawa manfaat yang besar kepada ekonomi rakyat (people’s economy), terutama kepada penduduk Negeri Kedah.
Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
Turut diutamakan ialah projek Bandaraya Sains Perubatan Kedah ( Kedah Medical Science City).
24. Bagi merebut peluang untuk menjemput seramai mungkin pelabur ke negeri Kedah, kerajaan telah membuka tawaran kepada mana-mana pihak yang berminat untuk membangunkan sebidang tanah kerajaan seluas 660 ekar di Bandar Baharu. Dari beberapa cadangan yang diterima oleh kerajaan, yang paling menarik adalah cadangan projek Bandaraya Sains Perubatan Kedah atau Kedah Medical Science City, dengan izin.
25. Pengeluar-pengeluar utama barangan perubatan dari seluruh dunia umpamanya daripada Australia, Amerika Syarikat, Jerman dan Itali berhasrat untuk menjadikan Bandaraya Sains Perubatan sebagai pusat cawangan di rantau ini. Faktor tarikan kepada pelabur ini adalah wujudnya begitu banyak syarikat kecil dan sederhana dari sektor elektronik di Koridor Utara ini yang akan menjadi pembekal kepada industri teknologi pembuatan.
26. Bilamana projek-projek utama ini dilaksanakan seperti yang dirancang, ianya bakal merobah lanskap ekonomi negeri. Kek ekonomi yang akan dikongsi pelbagai lapisan rakyat di negeri Kedah akan menjadi lebih besar. Maka sudah tentulah pengagihan yang saksama serta inklusif dapat diusahakan.
PROGRAM PEMBANGUNAN KEDA
Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
27. Dalam usaha membangunkan Negeri Kedah, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) turut memainkan peranan penting, terutamanya dalam usaha membangunkan wilayah, seterusnya membasmi kemiskinan. Fokus utama KEDA adalah untuk meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar menerusi strategi mempelbagaikan sumber ekonomi rakyat dengan program pembangunan yang dilaksanakan secara bersepadu yang meliputi skop menyedia dan menaiktaraf keperluan infrastruktur serta program pembangunan modal insan.
28. Kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan pembangunan KEDA adalah kawasan terpencil yang memerlukan perhatian khusus, yang meliputi kawasan Bagan Samak dan Serdang di Daerah Bandar Baharu, kawasan Pengkalan Batu Lintang di Daerah Kuala Muda, kawasan Rambong di Daerah Baling, kawasan Belantik dan Gulau di Daerah Sik dan kawasan Padang Sanai di Daerah Padang Terap.
29. Bagi mencapai tujuan peningkatan pendapatan peladang, KEDA telah mengambil inisiatif memperkenalkan projek-projek baharu dalam bidang ternakan dan tanaman. Projek-projekini akan diteruskan dengan mewujudkan industri hiliran berkaitan dengannya. Melalui program Pembangunan Insan, KEDA telah menubuhkan Kolej KEDA di Daerah Sik yang menawarkan peluang latihan vokasional kepada 720 pelatih. Dalam menangani isu kumpulan termiskin, KEDA telah menubuhkan Tabung Khas untuk mengumpul dana yang akan diagihkan kepada golongan sasaran. Sebahagian daripada keuntungan daripada projek-projek yang dibantu oleh KEDA akan dimasukkan ke dalam tabung tersebut.
30. Bagi tahun 2015, Kerajaan Negeri amat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah memperuntukkan sebanyak RM40.2 juta kepada KEDA bagi tujuan pembangunan wilayah dan membasmi kemiskinan di seluruh negeri Kedah.
PRESTASI DAN PROSPEK EKONOMI
Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
31. Meninjau pencapaian ekonomi negeri pada ketika ini, Kerajaan merasakan sesuatu harus dilakukan bilamana pendapatan per kapita Negeri Kedah kini berada di kedudukan ke-14 iaitu kedua terbawah sebelum Kelantan. Ini bermakna pendapatan rakyat Negeri Kedah tidak setanding pendapatan rakyat di negeri-negeri lain.
32. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, lebih 50 peratus daripada isirumah di Negeri Kedah mempunyai pendapatan antara RM2,000 hingga RM6,000. Ini menunjukkan bahawa majoriti rakyat Negeri Kedah berada pada tahap pendapatan yang sederhana. Yang berpendapatan isirumah di bawah RM2,000 pula adalah sebanyak 25 peratus.
33. Pertumbuhan ekonomi haruslah seiring dengan pengagihannya. Tetapi usaha untuk melaksanakan pengagihan menghadapi masalah kerana terdapatnya jurang di antara golongan yang berpendapatan tinggi dengan golongan yang berpendapatan rendah. Oleh itu, Kerajaan berpendapat tumpuan haruslah diberikan kepada pertumbuhan kek ekonomi ke tahap yang lebih besar. Pengagihan yang kita harapkan tidak akan berlaku selagi tiada pertumbuhan.
34. Jumlah penduduk di Negeri Kedah kini mencecah 2.02 juta orang. Namun kadar kemiskinan telah menurun sejak tahun 2014 di mana 36.79 peratus rakyat yang sebelum ini tersenarai sebagai rakyat miskin telah terkeluar dari belenggu kemiskinan, sekaligus membuktikan bahawa senario ekonomi di negeri ini semakin pulih sejak tahun lalu. Sepanjang tempoh dua tahun Kerajaan Barisan Nasional mengambilalih pentadbiran Kerajaan Negeri, kita telah banyak menjalankan program dan aktiviti memulihkan keadaan ekonomi rakyat. Kerajaan telah membuka ruang kepada pelabur-pelabur luar untuk melabur di negeri ini yang menyumbang kepada kewujudan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
35. Selain sumbangan pelabur-pelabur, kerajaan juga menyediakan pelbagai inisiatif kepada rakyat yang ingin menceburi bidang keusahawanan. Pada 10 November yang lalu, Unit Pembangunan Usahawan Kedah atau singkatannya UPUK yang bertempat di Pusat Transformasi Bandar Kedah (UTC Kedah) telah dirasmikan. Tujuan utama pengwujudan unit ini adalah untuk melahirkan usahawan-usahawan baharu terutamanya usahawan muda, usahanita termasuk usahawan dari kalangan ibu tunggal dan usahawan dari golongan orang kelainan upaya (OKU). Unit ini akan menjadi pusat rujukan kepada usahawan-usahawan baharu untuk mengetahui peluang-peluang serta insentif yang ditawarkan oleh agensi Kerajaan Negeri dan agensi Kerajaan Pusat yang membimbing usahawan.
36. UPUK juga bertindak sebagai pusat mikrokredit Kedah yang menyediakan dana permulaan kepada usahawan-usahawan mikro dengan kadar faedah yang lebih rendah daripada agensi atau institusi kewangan komersial. Sukacita diumumkan, skim mikrokredit ini akan mula dilancarkan oleh UPUK pada suku pertama tahun 2015. Bagi membiayai skim mikrokredit di bawak UPUK, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM 2 Juta.Tambahan dana untuk tujuan ini sedang dipohon dari Kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi berkaitan seperti Teraju.
PERUMAHAN
Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
37. Prestasi pembangunan perumahan yang berkembang pesat di Negeri Kedah adalah didorong oleh komitmen tinggi dari semua pihak yang terlibat seperti Jabatan Perumahan Negara (JPN), Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Syarikat-syarikat Berkepentingan Kerajaan (GLC) Negeri dan Persatuan Pemaju-Pemaju Perumahan (REHDA) Negeri Kedah.
38. Pembangunan perumahan di Negeri Kedah,khususnya dalam menyediakan Rumah Mampu Milik (RMM) untuk Tahun 2013 dan 2014 telah mencapai sasaran seperti yang dihasratkan oleh Kerajaan iaitu untuk menyediakan 6,000 unit Rumah Mampu Milik setahun.
39. Untuk tahun 2013, sejumlah 4,801 Rumah Mampu Milik telah mendapat kelulusan pembinaan di bawah Jabatan Perumahan Negara. Sejumlah 812 unit pula adalah melalui Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Kilat dan Kampung Naga manakala melalui Skim Pinjaman Perumahan (SPP) sejumlah 126 unit diluluskan di seluruh Negeri Kedah. Penawaran bagi rumah kos rendah oleh pemaju-pemaju swasta adalah berjumlah 1,019 unit. Di Sungai Petani, Kerajaan telah meluluskan pembinaan sejumlah 1,349 unit rumah oleh pihak PR1MA.
40. Bagi tahun 2014 pula, prestasi pembangunan perumahan semakin rancak dengan kelulusan pembinaan kepada pihak PR1MA yang berjumlah 6,373 unit Rumah Mampu Milik di Sungai Petani, Kulim dan Pulau Langkawi. Di samping itu, sejumlah 2,505 unit pembinaan rumah melalui pelbagai program termasuk Program Rumah Mesra Rakyat telah mendapat kelulusan. Bagi program Generasi Kedua Felda, sejumlah 640 unit rumah telah diluluskan pembinaan di Felda Sungai Tiang, Laluan Selatan dan Teloi Kanan, Baling.
41. Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melalui Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah menyumbang sebanyak 221 unit rumah menerusi Program Bina Rumah dan Kampung Tradisional.
42. Kerajaan amat menitikberat keperluan rakyat untuk memiliki rumah. Namun, kita tidak melupakan golongan yang masih belum mampu membeli rumah dan terpaksa menyewa. Oleh itu, Kerajaan masih meneruskan Program Rumah Transit dengan bayaran sewaan yang amat rendah. Kemampuan Kerajaan terbatas dan tidak dapat membina lebih banyak Rumah Transit di seluruh Negeri Kedah. Bagi meringankan beban khususnya golongan rakyat yang berpendapatan rendah, Kerajaan dengan sukacitanya mengumumkan satu Program Bantuan Subsidi Sewa Rumah. Program ini akan dimulakan dengan secepat mungkin setelah menyenaraikan mereka yang berkelayakan. Kerajaan percaya Bantuan Subsidi Sewa Rumah ini akan dapat meringankan beban rakyat dengan fokus kepada yang amat memerlukan.
PERUNTUKAN BAJET 2015
Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
43. Bajet 2015 menganggarkan hasil sebanyak RM743,656,021.00. Penyediaan anggaran hasil negeri bagi tahun 2015 mengambilkira hasil yang berhak dikutip. Sebagai contoh :
i. Anggaran hasil tanah berdasarkan jumlah yang patut dikutip;
ii. Anggaran kutipan tunggakan hasil tanah adalah berdasarkan jumlah tunggakan sebenar;
iii. Anggaran premium tanah berdasarkan jumlah Notis 5A yang telah dikeluarkan tetapi belum dijelaskan oleh pemohon; dan
iiii. Lain-lain punca hasil yang masih tertunggak (hasil air, dividen, pelaburan, dan cukai tertunggak)
44. Bajet 2015 memperuntukkan sebanyak RM804,616,981.00 untuk perbelanjaan mengurus dan sebanyak RM276,980,046 untuk perbelanjaan pembangunan. Daripada jumlah peruntukan perbelanjaan mengurus, sebanyak RM194 juta diperuntukkan bagi menampung defisit pembangunan di bawah Kumpulanwang Pembangunan Negeri di mana perbelanjaan bagi pembangunan yang dirancang tidak dapat ditampung oleh sumber pendapatan di bawah Kumpulanwang tersebut.
INFRASTRUKTUR
Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
45. Infrastruktur yang baik dan berkualiti merupakan faktor utama sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negeri. Ianya merupakan asas utama untuk menarik kemasukan pelaburan sama ada dari dalam mahupun luar negeri. Justeru, Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker, bagi menjamin kemakmuran dan kelangsungan kesejahteraan rakyat, kerajaan memperuntukkan RM52.4 juta melalui Jabatan Kerja Raya bagi menyediakan kemudahan infrastruktur jalan dan kemudahan-kemudahan lain yang akan dinikmati oleh sesiapa sahaja yang berhajat untuk melabur di Negeri Kedah. Bagi tahun 2015, Kerajaan akan memulakan projek pembinaan jalan Pendang Bypass di Daerah Pendang dan pembinaan jalan dan jambatan Alor Merah dari Lebuhraya Darul Aman ke Jalan Suka Menanti. Selain itu, peruntukan sebanyak RM24 juta disediakan bagi menaiktaraf dan menggantikan jalan dan jambatan di seluruh Negeri Kedah mengikut keutamaan.
46. Bagi mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam negeri, Bajet 2015 memperuntukkan sebanyak RM36 juta bagi membina dan menaiktaraf bangunan-bangunan Kerajaan Negeri. Melalui kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, institusi keagamaan dapat dipertingkatkan dengan perkongsian kos pembinaan Kompleks Pejabat Agama dan Mahkamah Syariah Daerah Yan dan Padang Terap. Projek ini akan dimulakan pada tahun 2015 dengan anggaran kos pembinaan berjumlah RM20 juta.
47. Di kesempatan ini juga saya ingin memaklumkan kepada Dewan Yang Mulia ini bahawa Masjid Zahir akan menyambut ulangtahun ke-100 pada tahun 2015. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah membuat perancangan bagi membaikpulih dan menaiktaraf kemudahan di Masjid Zahir dengan peruntukan sebanyak RM2.2 juta. Kerajaan juga merancang untuk membina sebuah Kompleks Agama Islam yang akan menempatkan Mahkamah Syariah, Pejabat Mufti dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah di Suka Menanti. Kerja-kerja awalan seperti kerja-kerja tapak dan merekabentuk akan dimulakan pada tahun 2015.
PENDIDIKAN, AGAMA DAN MODAL INSAN
Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
48. Dalam bajet yang lalu, kita telah meletakkan sasaran untuk berada pada kedudukan lima terbaik dalam pencapaian peperiksaan utama persekolahan. Oleh itu, kerajaan tetap komited bagi merangka program pendidikan dalam usaha meletakkan Negeri Kedah di tempat teratas. Dengan sebab itulah, pada tahun 2015, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM18 jutasebagai permulaan bagi menyediakan pelbagai program dan strategi untuk membantu para pelajar meningkatkan prestasi akademik. Kerajaan menjangka program pendidikan ini akan dapat memanfaatkan sekurang-kurangnya 340 ribu pelajar di seluruh Negeri Kedah. Pelaburan yang besar ini akhirnya akan dapat membantu menempatkan tenaga kerja di pelbagai sektor yang telah diletak sebagai projek-projek keutamaan negeri.
49. Pada bulan September yang lalu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah mencapai persetujuan untuk menyerahkan 10 buah Maktab Mahmud sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Persekutuan (SABK) mulai tahun 2015. Namun begitu, Kerajaan Negeri masih bertanggungjawab dalam pembayaran emolumen guru-guru yang terlibat sehingga proses pengambilalihan itu selesai. Peruntukan sebanyak RM45 juta didahulukan bagi melunaskan pembayaran emolumen kepada guru-guru yang terlibat dengan pengambilalihan ini. Pendahuluan ini akan dibayar balik kepada Kerajaan Negeri pada tahun 2016 setelah tanggungjawab ini diambilalih sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.
50. Kerajaan juga ingin melihat lebih banyak interaksi positif berlaku di antara sekolah-sekolah pelbagai aliran agar dapat memupuk hubungan yang lebih baik. Sekolah Kebangsaan,Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Menengah Cina (Persendirian) dan lain-lain akan disatukan dalam beberapa acara integrasi bagi tujuan ini. Peruntukan untuk program seperti ini akan disalurkan melalui portfolio perhubungan kaum.
Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
51. Kerajaan Negeri yang berusia dua tahun di bawah pimpinan saya terpaksa menanggung bebanan hutang sebanyak RM45 juta setahun, selama 15 tahun bagi menyelesaikan kos pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil. Ini tidak termasuk pemberian tahunan sebanyak RM12 juta bagi menguruskan perbelanjaan pentadbiran yang tidak pernah cukup dan dijangka ianya akan berterusan sehingga lebih daripada lima tahun akan datang. Bayangkanlah betapa beratnya bebanan yang terpaksa ditanggung berbanding jumlah hasil negeri. Demi menjaga maruah para perancang terdahulu dan masa depan para pelajar, maka Kerajaan Negeri terpaksa memikul tanggungjawab ini.
52. Sekiranya bebanan jumlah yang besar ini dapat dibebaskan daripada Kerajaan Negeri, wang sebanyak itu dapat digunakan untuk projek-projek lain yang dapat memberi impak besar kepada masyarakat. Dengan demikian, Kerajaan Negeri memulakan usaha untuk mendapatkan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan bebanan hutang KUINini. Proses ini sudah tentu mengambil masa dan diharap akan berhasil pada tahun hadapan.
53. Menyedari hakikat perlunya modal insan berkualitiyang dibentuk berlandaskan keseimbangan agama dan duniawi, Bajet 2015 telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi meneruskan pembinaan Maahad Tahfiz Sains Darulaman di Kulim. Tahun 2015 merupakan tahun ketiga ia beroperasi dengan jumlah pelajar telah meningkat kepada 150 orang. Mudah-mudahan kumpulan pertama yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) akan menjadi tanda aras kepada keberkesanan program pendidikan seperti ini. Seratus peratus pengambilan pelajar Maahad Tahfiz Sains Darulaman ini adalah merupakan anak-anak Kedah, sama ada pelajar dilahirkan di Negeri Kedah ataupun salah seorang ibu atau bapa dilahirkan di Kedah.
PERTANIAN
Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
54. Sektor pertanian memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi Negeri Kedah sekian lama. Pelbagai program dirangka untuk memperkasakan sektor pertanian, khususnya dalam penanaman padi. Inisiatif-inisiatif untuk meningkatkan dayamaju sektor ini kebanyakannya diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan. Umpamanya, menaiktaraf sistem pengairan dan saliran bagi kawasan MADA. Bagaimanapun, Kerajaan Negeri tetap memperuntukkan sebanyak RM24.7 juta bagi melaksanakan pembangunan pertanian melalui Jabatan Pertanian, Veterinar dan Jabatan Pengairan dan Saliran. Peruntukan ini adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan peruntukan yang telah dan akandisalurkan oleh Kerajaan Persekutuan, namun Kerajaan Negeripercaya ianya akan memberi manfaat yang besar kepada peningkatan pendapatan penduduk luar bandar. Peruntukan yang diberi ini adalah bagi melengkapi atau menampung sedikit sebanyak kemudahan yang tidak diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan.
55. Bagi memperlengkapkan kemudahan infrastruktur pertanian di luar kawasan MADA, sebanyak RM14.79 juta diperuntukkan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran. Peruntukan ini meliputi program pemulihan, pengindahan dan pemuliharaan sungai, program tebatan banjir, program pemulihan kerosakan akibat banjir, program peningkatan sistem pengairan dan saliran dan lain-lain program pembangunan bagi menyokong projek pembangunan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan. Di kesempatan ini, saya mewakili seluruh rakyat Negeri Kedah mengucapkan setinggi penghargaan kepada pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang telah meluluskan projek menaiktaraf saliran air estet-estet MADA yang bernilai RM2.2 bilion untuk meningkatkan hasil pertanian.
Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
56. Kerajaan tetap meneruskan program pembangunan industri padi dengan memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta untuk membantu meningkatkan hasil tanaman padi melalui perluasan Program Sawah Gemilang dan peningkatan kemudahan jalan ladang. Selain itu, Kerajaan Negeri juga komited dalam membantu pembangunan industri asas tani dan buah-buahan di mana sebanyak RM1.4 juta telah diperuntukkan bagi tujuan ini. Sebahagian besar daripada manfaat peruntukan ini akan dapat dinikmati oleh golongan petani tradisional.
57. Setiap tahun kita terpaksa mengimport beribu ternakan yang bernilai jutaan ringgit daripada luar negeri dan luar negara bagi menampung permintaan yang semakin meningkat. Bagi mengatasi masalah ini, sebanyak RM4.4 juta telah diperuntukkan kepada Jabatan Veterinar bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan haiwan ternakan, pengeluaran bahan makanan dan industri ternakan ruminan.
PELANCONGAN DAN SUKAN
Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
58. Industri pelancongan merupakan salah satu kegiatan ekonomi yang memberi pulangan kepada pemandu teksi, restoran, pusat beli belah, industri perhotelan dan lain-lain lagi. Kerajaan Negeri juga bercadang menjadikan tahun 2016 sebagai Tahun Melawat Kedah sebagai menyusuli kepada Tahun Melawat Malaysia 2014 dan Tahun Festival 2015. Pada tahun lalu, Negeri Kedah telah menerima kunjungan lebih 3.5 juta pelancong. Sehubungan itu, bagi menyemarakkan lagi sektor pelancongan di Negeri Kedah, Bajet 2015 telah memperuntukkan sebanyak RM8 juta untuk mempersiap dan memperkemas pelbagai produk pelancongan negeri ke arah Tahun Melawat Kedah 2016. Kerjasama dengan Kementerian Pelancongan akan menguatkan lagi azam kita untuk menjadikan Negeri Kedah secara keseluruhannya dan tidak hanya Langkawi, sebagai destinasi pelancongan utama negara.
59. Sukan merupakan suatu arena yang mampu meningkatkan imej negeri. Justeru, Kerajaan memberi pengiktirafan terhadap kepentingan sukan di dalam mewujudkan satu masyarakat yang mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa. Bagi memajukan sukan dalam negeri dengan usaha untuk mempertingkatkan prestasi atlit-atlit dari peringkat akar umbi, kerajaan meneruskan pemberian tahunan kepada setiap Majlis Sukan Daerah di Negeri Kedah berjumlah RM1.2 juta. Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM6.6 juta bagi membangunkan kemudahan sukan di Negeri Kedah, yang meliputi projek menaiktaraf Kompleks Sukan Sultan Abdul Halim, Stadium Darulaman dan lain-lain kemudahan infrastruktur dan prasarana sukan. Bagi mengembalikan kegemilangan Negeri Kedah dalam arena sukan, sebanyak RM16.4 juta diperuntukkan bagi pelbagai program pembangunan sukan teras termasuk memperkasa peranan dan memastikan kelangsungan fungsi Majlis Sukan Negeri dan Perbadanan Stadium Negeri Kedah.
SOSIAL DAN ICT
Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
60. Bajet 2015 juga tidak melupakan tumpuan kepada program pembangunan sosial yang akan memberi impak terus kepada golongan sasaran. Dalam tahun 2014, Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri telah mengaktifkan kembali peranan “focus group”, dengan izin, di setiap pejabat daerah untuk memperkasa program pembasmian kemiskinan negeri supaya tiada rakyat miskin yang tercicir daripada menerima manfaat yang telah diatur. Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM21.5 juta bagi meneruskan pelbagai projek pembangunan sosial termasuk program pembasmian kemiskinan, projek kecil kemajuan luar bandar serta menaiktaraf projek-projek perumahan rakyat melalui fungsi pelbagai jabatan negeri.
61. Pada 01 Mei 2014, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan cadangan pembinaan 960 unit rumah Penjawat Awam 1 Malaysia di Bukit Pinang, Daerah Kota Setar. Selaras dengan objektif pelaksanaan projek PPA1M ini untuk membantu penjawat awam yang berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman yang mampu dimiliki, selesa dan berkualiti, Kerajaan Negeri akan memulakan projek ini pada tahun 2015 dengan peruntukan fasa pertama sebanyak RM6 juta. Jumlah itu adalah bagi penyediaan tapak dan kemudahan jalan yang menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri.
62. Kerajaan sedar sejak kebelakangan ini banyak indikator yang menunjukkan keadaan ekonomi yang tidak menentu seperti kenaikan kos sara hidup yang bertambah buruk dengankejatuhan harga komoditi getah. Menyedari hakikat berkenaan, kerajaan turut merasai kesusahan yang dialami rakyat negeri ini khususnya golongan berpendapatan rendah. Oleh itu kerajaan dengan penuh rasa tanggungjawab menyediakan bantuan sewa rumah kepada mereka yang layak. Bantuan ini adalah terhad kepada golongan miskin tegar luar bandar kerana peruntukan yang disediakan tidaklah begitu besar angkanya. Namun sekiranya Kerajaan Negeri dapat melepaskan tanggungan ke atas Kolej Universiti Insaniah yang berjumlah RM57 juta setahun, dengan izin Allah S.W.T., kita akan menambah lebih banyak peruntukan untuk tujuan ini.
63. Kepentingan komuniti minoriti di Negeri Kedah juga tidak diabaikan. Kerajaan Negeri telah menubuhkan portfolio perhubungan kaum dan menyediakan peruntukan untuk aktiviti-aktiviti sosio-budaya komuniti Cina, India dan Siam. Kebelakangan ini kita melihat banyak acara-acara kebudayaan satu-satu kaum melibatkan kaum-kaum lain. Aktiviti-aktiviti seperti ini perlu digalakkan lagi. Oleh itu, Kerajaan akan terus menyumbang kepada penajaan acara-acara tersebut.
64. Pada tahun 2014, Kerajaan telah membina Pusat Pemulihan Bencana Negeri (State Disaster Recovery Centre) di Pejabat Daerah Kubang Pasu, bernilai RM1.6 juta. Bagi tahun 2015, kerajaan meneruskan program pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi dengan peruntukan berjumlah RM4.0 juta bagi menyediakan prasarana E-Kerajaan, projek mengurangkan jurang digital dan aplikasi E-Kerajaan melalui peranan dan fungsi Pusat Teknologi Maklumat Negeri Kedah dan pelbagai jabatan negeri.
PENTADBIRAN DAN LAIN-LAIN
Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
65. Kerajaan peka kepada aduan dan cadangan daripada semua pihak. Samada ianya datang dari seorang petani kecil atau seorang ketua eksekutif syarikat gergasi, Kerajaan Negeri sentiasa mendengar dan mengambil maklum setiap perkara yang dibawa kepengetahuan. Kerajaan juga mahu tindakan segera diambil, terutama sekali jika ianya melibatkan kebajikan rakyat dan perihal kemajuan ekonomi rakyat. Maka, dengan sukacitanya, saya ingin mengumumkan penubuhan Majlis Ekonomi Negeri (State Economic Council) bagi mempercepatkan sesuatu keputusan atau proses kelulusan. Majlis ini akan dianggotai oleh ahli-ahli tetap yang akan membuat keputusan segera tanpa perlu terikat dengan kerenah birokrasi. Kerajaan Negeri percaya, dengan penubuhan Majlis Ekonomi Negeri ini, pertumbuhan ekonomi Negeri dapat dirancakkan pada kadar yang maksimum.
66. Dalam usaha untuk memperkasa sistem penyampaian perkhidmatam awam, sebanyak RM16.8 juta diperuntukkan bagi pembelian aset pelbagai jabatan negeri bagi memastikan kelangsungan fungsi setiap jabatan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Bagi tahun 2015, sejumlah RM242 juta disediakan bagi menampung pembayaran emolumen untuk seluruh penjawat awam negeri termasuk kenaikan gaji dan lain-lain bayaran tahunan mengikut dasar yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan. Manakala bagi menampung pelbagai kos perkhidmatan dan bekalan, KerajaanNegeri telah memperuntukkan sebanyak RM157 juta berbanding RM132 juta bagi tahun 2014 berikutan kenaikan kos utiliti.
67. Pada ucapan bajet yang lalu, saya telah mengumumkan penghapusan bayaran lesen penjaja bermula Januari 2014. Sehubungan itu, Bajet 2015 memperuntukkan pemberian bantuan kekurangan hasil kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan Negeri (PBT) berjumlah RM5 juta kerana telah kehilangan punca hasil daripada bayaran lesen penjaja bagi tahun 2014. Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk menyambung kembali Caruman Membantu Kadar Hartanah Kerajaan Negeri kepada semua PBT berjumlah RM724 ribu. Sejumlah RM3 juta pula disediakan bagi melaksanakan projek naiktaraf dan membina ruang niaga di kawasan-kawasan PBT terpilih. Dengan peruntukan ini, Kerajaan berharap semua PBT dapat terus memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat setempat.
Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
68. Tahun 2014 telah menyaksikan pelbagai pencapaian yang berjaya dicatat oleh pelbagai jabatan negeri. Sebanyak 11 jabatan dan agensi Negeri Kedah telah mencapai pengiktirafan empat bintang, iaitu tahap sangat baik di dalam Pengauditan Indeks Akauntabiliti dalam pengurusan kewangan tahun 2013 olehJabatan Audit Negara. Jabatan dan agensi yang terlibat adalah Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Pejabat Perbendaharaan Negeri Kedah, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Pejabat Tanah Daerah Kuala Muda, Majlis Bandaraya Alor Setar, Pejabat Tanah Daerah Kulim, Pejabat Daerah dan Tanah Yan, Majlis Perbandaran Kulim, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah dan Pejabat Daerah Kota Setar.
69. Pihak MAMPU pula telah memberikan penarafan lima bintang iaitu sangat baik kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dalam penilaian Star Rating tahun 2013 bagi menggredkan tahap prestasi peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan.
70. Selain itu, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian juga telah melaksanakan program penilaian penarafan bintang agensi sektor awam bagi enam pejabat tanah yang terpilih. Bagi tahun 2012, Pejabat Tanah Daerah Kulim telah mencapai lima bintang (sangat baik) dan Pejabat Daerah dan Tanah Sik pula telah berjaya mencapai penarafan empat bintang (baik).
71. Dengan adanya anugerah-anugerah seperti ini, Kerajaan berharap ianya dapat menggalakkan persaingan yang sihat di kalangan Agensi Sektor Awam dalam mengamalkan pengurusan organisasi dan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan.
72. Sepertimana yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Kerajaan Negeri juga dengan ini mengisytiharkan pemberian bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam dengan bayaran minimum RM500 dengan harapan sedikit sebanyak ianya dapat meringankan beban kenaikan kos sara hidup dan menjaga kebajikan para penjawat awam Negeri Kedah, terutamanya kepada keluarga untuk persediaan musim awal persekolahan tahun 2015.
Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker dan Ahli-AhliYang Berhormat sekalian,
73. Tanggungjawab yang kita pikul sebagai Ahli di Dewan Yang Mulia ini untuk membincangkan bajet adalah merupakan ibadah fardu kifayah. Kita harus tumpukan sepenuh perhatian kita dan lakukan segala tindakan serta membuat keputusan demi kepentingan rakyat yang kita wakili. Marilah kita menghayati satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RardhiAllah Anhu, katanya:
Baginda Rasullullah S.A.W pernah bersabda:
“ Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan diaakan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Manakala seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga, suami dan anak-anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia juga akan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Ingatlah, kamu semua adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. ”
[Bukhari & Muslim]
74. Natijahnya, apa yang telah direncana dan akan dilaksanakan pada tahun hadapan merupakan visi bagi memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat. Rakyat telah memberi mandat kepada Kerajaan Barisan Nasional untuk terus memimpin dan kita mahu pastikan agenda pembangunan dapat terus diperkasakan dan sekaligus meningkatkan lagi taraf dan kualiti kehidupan rakyat Negeri Kedah keseluruhannya.
75. Saya percaya dengan kekuatan barisan kepimpinan serta tenaga kerja yang ada sekarang, kita mampu melangkah lebih jauh, sekaligus membawa negeri ini ke tingkat yang lebih tinggi dari yang sedia ada.
76. Pepatah Melayu ada mengatakan :
“ Enak lauk dikunyah-kunyah, enak kata diulang-ulang”
77. Oleh itu, sekali lagi saya ingin mengajak semua yang berada di Dewan Yang Mulia ini untuk sama-sama bergandingan dalam memacu kemajuan Negeri Kedah demi kemakmuran rakyat.
78. Akhir kalam, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada semua rakyat Negeri Kedah atas kepercayaan dan sokongan serta sumbangan yang diberikan kepada Kerajaan Barisan Nasional untuk terus menerajui Negeri Kedah. Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua anggota perkhidmatan awam, GLC, anggota-anggota keselamatan dan individu-individu yang telah berkhidmat dengan gigih dan penuh bertanggungjawab untuk menjamin kestabilan, keamanan, kemajuan dan kemakmuran negeri secara berterusan.
79. Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker, sekian sahaja pembentangan Bajet Negeri Kedah Darul Aman bagi tahun 2015. Saya mohon mencadangkan.
2 comments:
Saya Husnah dan saya sedang mengambil masa saya keluar untuk memberi keterangan Puan Amanda kerana dia akhirnya menawarkan saya.
Saya dan suami saya mendapat ke dalam hutang yang sangat besar dengan Bank dan kami memohon pinjaman daripada syarikat pinjaman yang berbeza tetapi semua datang tidak berjaya. sebaliknya mereka mendapat kita ke dalam hutang lebih meninggalkan kita bankrap sehingga saya datang dalam hubungan dengan Puan Amanda, yang menawarkan saya pinjaman. Sekarang kita telah akhirnya menetap hutang kami dan memulakan perniagaan baru dengan wang kiri dari pinjaman. Anda boleh menghubungi beliau hari ini untuk pinjaman dalam apa jua bentuk dan jumlah.
Hubungi Puan Amanda melalui mana-mana e-mel yang berikut. amandarichardssonloanfirm@gmail.com atau amandarichardson686@gmail.com atau anda boleh menghubungi saya melalui e-mel saya untuk arahan lanjut ikmahusnah@gmail.com
Halo, nama saya Sulis Susanti dari Indonesia, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua pencari pinjaman sangat berhati-hati karena banyak perusahaan pinjaman penipuan di sini di internet, tetapi mereka masih yang asli di perusahaan pinjaman palsu.
Beberapa bulan yang lalu saya tegang finansial dan putus asa, aku jatuh korban penipuan oleh beberapa perusahaan pinjaman online, karena saya perlu sebuah perusahaan pinjaman yang jujur.
Aku hampir menyerah, tidak sampai saya mencari nasihat dari seorang teman yang kemudian mengarahkan saya untuk pemberi pinjaman pinjaman yang sangat handal JOY WILSON LOAN FIRM, yang meminjamkan pinjaman tanpa jaminan dari 750 juta rupiah dalam waktu kurang dari 24 jam tanpa tekanan atau stres pada tingkat bunga rendah dari 2%. Saya sangat terkejut ketika saya memeriksa rekening bank saya dan menemukan bahwa jumlah pinjaman yang saya diterapkan langsung ditransfer ke rekening bank saya tanpa penundaan atau kekecewaan, karena saya berjanji bahwa saya akan berbagi kabar baik sehingga orang bisa mendapatkan pinjaman dengan mudah tanpa stres.
Saya ingin Anda yakin dan percaya diri bahwa ini adalah asli karena saya memiliki semua bukti pengolahan pinjaman ini termasuk kartu id, dokumen perjanjian pinjaman dan semua kertas kerja. Saya percaya Ibu Joy Wilson sepenuh hati karena dia telah benar-benar membantu dalam hidup saya. Anda sangat beruntung memiliki kesempatan untuk membaca kesaksian ini hari ini. Jadi, jika Anda membutuhkan pinjaman apapun, silahkan hubungi perusahaan melalui email: (joywilsonloanfirm@gmail.com)
Anda juga dapat menghubungi saya melalui email saya di (sulissusanti971@gmail.com) jika Anda merasa sulit atau ingin prosedur untuk memperoleh pinjaman
Post a Comment