Hijrah ke Madinah
Maka Rasulullah Saw memerintahkan para Sahabat berhijra ke Madinah. Jadi hijrah ke Madinah ini adalah perintah dari Rasulullah Saw, bukan lagi seperti hijrah ke Habsyah dImana Rasulullah Saw anjurkan dan izinkan kepada siapa yang tidak tahan berada di Mekah untuk berhijrah ke sana.
Maka pada kali ini perintah wajib kepada semua orang Islam di Mekah untuk berhijrah ke Madinah. Orang pertama hijrah ke Madinah ialah Abu Salamah dan isterinya Umu Salamah. Ketika itu mereka mebawa anak kecil mereka bernama Salamah. Bila Kafir Quraisy nampak, Kafir Quraisy Bani Makhzum tahan Umu Salamah. Bani Abdul Asad mengambil Salamah dan Abu Salamah terus ke Madinah meninggalkan isteri dan anaknya di Mekah.
Begitulah ujian yang ditanggung oelh keluarga Abu Salamah kerana Hijrah ini. Setahun selepas itu baru Umu Salamah dapat lepas ke Madinah dengan anak kecilnya Salamah. Selepas hijrah Abu Salamah ramai lagi para sahabat yang hijrah ke Madinah dalam senyap senyap. Bila Saidina Umar hendak berhijrah, dia siapkan kenderaannya, bekalannya dan pakainannya dan disiapkan juga senjatanya.
Kemudian dengan segala kelengkapan itu dia pergi ke Ka’bah. Kafir Quraisy dari jauh memerhatikan Saidina Umar. Setelah tawaf di Kaabah, Saidina Umar mengumumkan di situ, "Siapa yang mahu ibunya kehilangan anaknya , isterinya menjadi janda dan anak-anaknya menjadi yatim tunggulah aku di belakang bukit ini, aku akan berhijrah ke Madinah." Tidak ada seorang pun yang berani menghalangnya. Dialah satu satunya sahabat Rasulullah Saw yang berhijrah ke Madinah secara terbuka.
Hijrah terus berlaku, satu demi satu Sahabat Rasulullah Saw meninggalkan Mekah kecuali mereka yang ditahan oleh kaum masing-masing. Ketika itu datang Saidina Abu Bakar minta izin dari Rasulullah Saw untuk berhijrah. Kata Rasulullah Saw, "Wahai Abu Bakar, tangguhkan dulu hijrah kamu semoga Allah datangkan teman bersama kamu dalam hijrah." Saidina Abu Bakar taat dengan Rasulullah Saw.
Sejak itulah hatinya berdoa dan berharap teman itulah dia Rasulullah Saw sendiri. Begitu tajam rasa hati Saidina Abu Bakar ini terhadap Rasulullah Saw. Walaupun dia belum pasti tapi sejak hari itu juga dia persiapkan dua ekor unta sebagai kenderaan yang lengkap dengan keperluan safar untuk Rasulullah Saw. Moga moga temannya itu adalah Rasulullah Saw sendiri.
Selepas itu makin ramai Sahabat yang berhijrah, Saidina Abu Bakar datang lagi minta izin dari Rasulullah Saw. Jawapan Rasululah sama seperti yang pertama dulu, "Tunggu dulu wahai Abu Bakar semoga Allah jadikan teman dalam hijrah kamu." Lepas itu Saidina Abu Bakar datang lagi minta zizin kali ketiga untuk hijrah. Begitulah jawapan Rasulullah Saw tidak berubah.
Pada waktu itu semua Sahabat Rasulullah Saw sudah meninggalkan Mekah. Yang tinggal hanya Saidina Abu Bakar dengan Rasulullah Saw dan keluarga mereka. Setelah Rasulullah Saw memastikan semua Sahabat sudah berjaya hijrah ke Madinah datanglah perintah Allah kepada Baginda pula untuk berhijrah. Imam Bukhari meriwayatkan sabda Rasulullah Saw:
رأيت في المنام أني أهاجر من مكة إلى أرض بها نخل فذهب وهلى إلى أنها اليمامة أو هجر فإذا هي المدينة يثرب
Aku telah melihat dalam tidurku bahawa aku berhijrah dari Mekah ke satu tanah yang banyak pokok tamar. Pada mulanya aku sangka Yamamah atau Hajar rupanya dia Madinah, iaitu Yathrib.
Perancangan Kafir Quraisy untuk membunuh Rasulullah Saw
Firman Allah;
وإذ يمكر بك الذين كفروا ليثبتوك أو يقتلوك أو يخرجوك ويمكرون ويمكر الله
, والله خير الماكرين
الأنفال 30
Ketika mana Allah izinkan Rasulullah Saw berhijrah ke Madinah, orang Kafir Quraisy pula pada ketika itu merasakan bahaya besar yang akan menimpa mereka bila mana orang orang Islam sudah berkumpul di Madinah dan membina kekuatan di sana. Mereka kena berbuat sesuatu sebelum terlambat. Abu Jahal memanggil pembesar-pembesar Kafir Quraisy ke sidang tergempar di Darul Nadwah. Tapi Abu Jahal pesan pada semua, jangan panggil sorang pun dari Bani Abdul Mutalib, Bani Abdul Manaf dan Bani Hasyim begitu juga orang orang yang ada hubungan rapat dengan mereka dan dengan orang-orang Madinah.
Ketika mereka berkumpul itu, datang seorang tua yang berpakaian seperti pakaian orang Najd. Kata Rasulullah Saw, orang tua itu adalah iblis yang turut hadir dalam rupa manusia untuk membantu Kafir Quraisy menyelesaikan masalah mereka kali ini. Dalam perbincangan itu, kata Abul Buhturi, kita penjarakan Muhammad. Kata Abu Jahal dan orang tua itu, "Kalau kita penjara Muhammad, sahabat-sahabatnya akan terus berkumpul di Madinah. Lambat laun mereka akan datang juga membebaskan Muhammad dan memerangi kita."
Kata satu pandangan lagi, "Kita buang negeri ke tempat yang di luar Tanah Arab ini." Kata mereka, "Itupun tidak boleh, nanti Muhammad boleh datang ke Madinah." Masing masing buntu untuk mencari jalan penyelesaian sehinggalah Abu Jahal memberikan cadangannya. Kata Abu Jahal, "Kita bunuh Muhammad. Kita pilih dari setiap kabilah seorang pemuda yang gagah dan mereka nanti membunuh Muhammad secara beramai ramai. Kalau Bani Abdul Mutalib, Bani Abdul Manaf dan Bani Hastim ingin menuntut bela, mereka tidak akan mampu menghadapi kita semua." Kata lelaki tua tadi, "Benar, inilah pandangan yang paling tepat."
Begitulah Abu Jahal, dia ada idea yang syaitan pun tidak ada. Lebih jahat dari syaitan. Jadi Kafir Quraisy sudah sepakat tentang perkara ini. Dalam masa yang sama Rasulullah Saw sudah bersiap siap untuk berhijrah ke Madinah. Oleh kerana di rumah Rasulullah banyak harta dan barang-barang berharga yang disimpan oleh orang ramai kepada Rasulullah Saw.
Kalau mereka hendak musafir, barang-barang berharga ini mereka simpan di rumah Rasulullah Saw. Begitulah akhlak Rasulullah Saw, musuh pun menaruh kepercayaan kepadanya. Jadi Rasulullah Saw taklimatkan kepada Saidina Ali semua barang barang itu untuk dikembalikan kepada tuannya dan Rasulullah meminta Saidina Ali supaya tidur di tempat Baginda pada mlam itu.
Pada malam itu semua pemuda yang dipilih tadi telah siap mengepung rumah Rasulullah Saw. Waktu itu Rasulullah Saw masih berada di dalam rumah. Mereka tunggu di luar. Mereka tidak berani merempuh kerana di dalam rumah Rasulullah Saw juga ada kaum wanita. Bagi mereka aib besar merempuh masuk ke dalam rumah yang ada wanita..
Setelah Rasulullah Saw meninggalkan Saidina Ali ditempat tidurnya, Rasulullah Saw keluar dari pintu rumahnya berjalan di tepi-tepi pemuda-pemuda itu semua tapi mereka tidak dapat melihat Rasulullah Saw. Rasulullah Saw keluar sambil membaca surah Yasin, bila sampai pada ayat :
وجعلنا من بيت أيديهم سدا ومن خلفهم سدا فأغشيناهم فهم لا يبصرون
يس 9 Rasulullah Saw mengambil segenggam pasir dan ditaburkan ke atas kepala kepala mereka semua. Rasulullah Saw berjalan menuju ke rumah Saidina Abu Bakar yang belum tahu lagi tentang hijrah pada malam itu.