Jarang-jarang seumur hidup kita, kita berpeluang untuk perolehi pencapaian yang paling luar biasa. Tidak semua orang di dunia ini diberi peluang seperti itu. Kebanyakan dari kita hanya melalui hidup harian yang rutin - yang biasa-biasa saja. Tiada yang luar biasa dalam hidup kita.
Mungkin ada di kalangan kita tidak berminat atau takut kepada yang luar biasa. Seboleh-bolehnya hendak mengelak dari terpaksa melakukan sesuatu yang luar dari kebiasaan.
Namun sesungguhnya, selagi kita tidak keluar dari kepompong selesa, kita sebenarnya menidakkan peluang untuk mencapai kecemerlangan luar jangkaan.
Percayalah, kita sebenarnya dikurniakan Allah SWT untuk mencapai apa jua cita-cita kita meskipun ia setinggi langit. Apa yang diperlukan ialah iltizam dan semangat juang yang mencabar keyakinan diri kita sendiri.
Sebelum ini, siapa sangka sebuah negeri yang serba serbi kekurangan boleh mencapai sesuatu yang luar biasa, termasuk dalam arena sukan bolasepak. Dari beraksi dalam Liga Perdana, Kedah telah menongkah arus, menangkis segala persepsi apabila berjaya memenangi piala liga tersebut, sekaligus layak ke Liga Super. Tanggapan bahawa pasukan Kedah tidak perlu digeruni terus meleset sama sekali.
Kini sekali lagi, apa yang didakwa mustahil menjadi realiti. Kedah telah mara hingga ke pertandingan akhir piala yang paling berprestij - Piala Malaysia. Pasukan yang lebih hebat tumpas dalam saingan. Siapa yang pernah sangka Kedah dapat mengatasi pasukan-pasukan Liga Super untuk sampai keperingkat akhir Piala Malaysia?
Tapi cabaran yang getir dihadapan kita masih perlu diatasi.
-----------
Helang adalah raja di langit, yang berada paling atas dalam kalangan spesis burung. Helang dikaitkan dengan imej gagah berani, kuat, pantas, luas pemandangan, dan tajam tumpuannya.
Namun ramai tidak tahu bahawa pada usia 40 tahun, helang akan menghadapi cabaran yang menentukan hidup matinya. Pada ketika itu paruhnya sudah terlalu tumpul dan bengkok untuk mematuk makanan. Kuku kakinya juga sudah bengkok dan tidak boleh mencengkam mangsa. Bulunya terlalu tebal dan berat hingga menyusahkan ia terbang.
Kalau dibiar, tentu akan mati. Maka terbanglah ia ke puncak tertinggi di atas mana ia akan memecahkan paruhnya dengan mengetuk batu. Pecah setelah menanggung sakit yang teramat sangat, ia tunggu sehingga paruh baharu tumbuh.
Dengan paruh baharu, ia akan cabut kuku-kuku kakinya hingga berganti kuku baharu. Kemudian bulu pula dicabut satu persatu sehingga tumbuh bulu-bulu baharu. Setelah menahan sakit yang begitu perit itu, helang lahir semula sebagai pemangsa gagah perkasa, kembali menguasai langit.
Lang Merah Kedah juga telah melalui tempoh penuh duka, lara dan seksa. Esok 12/12/2015, kita sekali lagi dituntut melakukan sesuatu yang luar biasa. Kerana apa yang bakal dikecapi adalah kegemilangan yang juga sangat luar biasa.
Ayuh Lang Merah! Bara dalam genggaman usah dilepaskan. Barisan sudah tersusun, genderang perang sudah dipalu. Langkahlah dengan semangat yang membara. Harapan penyokong setia setinggi gunung usah dihampakan, pastikan Piala Malaysia milik kita. Ayuh Kedah! Sabtu ini, beraksilah gagah berani! Lusa kita lahir semula - disegani dan dihormati semua.