
MAS dalam satu kenyataan hari ini berkata sebaik sahaja mendarat, pesawat itu telah diperiksa oleh jurutera bertugas.
Akibat kejadian itu, penutup lensa lampu mendarat pesawat itu telah pecah dan menafikan laporan yang mengatakan bahawa cermin hadapan pecah dalam insiden itu.
"Pesawat itu tidak dibenarkan terbang pada malam itu juga dan penutup lensa yang pecah itu telah diganti," kata kenyataan itu.
"Kejadian itu terdedah selepas seorang juruterbang Jet Airways, yang mendaratkan pesawatnya beberapa minit selepas pesawat MAS, memaklumkan kepada kami beliau ternampak serpihan kaca berselerak di landasan," kata seorang pegawai ATC yang enggan dikenali.
Para pegawai TIA yang membuat pemeriksaan menjumpai sekurang-kurangnya 10 bangkai itik serta kepingan kaca di landasan. Serpihan kaca itu kemudian dibuang dan lapangan terbang tersebut kembali beroperasi 30 minit kemudian.
Para pegawai menjumpai dua lagi bangkai itik ketika melakukan pemeriksaan rutin pada pagi Sabtu.
Ini kali pertama kami melihat begitu banyak itik di kawasan lapangan terbang ini," kata seorang pegawai yang mengesyaki unggas itu mungkin itik penghijrah.
MAS membatalkan penerbangannya ke Kuala Lumpur yang dijadualkan pada pukul 11 malam Jumaat.
Semua penumpang yang menempah penerbangan itu ditempatkan di hotel Soaltee, Annapurna dan Hyatt Regency. Pesawat berkenaan berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 3:30 petang Sabtu setelah dibaiki.
