AGAMA ISLAM DAN
PENYATUAN ORANG MELAYU
Sebelum kedatangan Islam ke
Semenanjung Tanah Melayu, suku-suku Melayu yang mendiami Semenanjung Tanah
Melayu secara dasarnya menganut agama ketamadunan lain yang datang berdagang ke
sini. Namun, agama-agama ini tidak berupaya menyatupadukan suku-suku Melayu
yang mempunyai latar belakang keturunan yang berbagai-bagai seperti Bugis,
Mendeling, Banjar, Jawa dan sebagainya.
Apabila Kesultanan Melayu Melaka
yang berpusat di Semenanjung Tanah Melayu mengisytiharkan mereka memeluk Agama
Islam maka hampir keseluruhan penduduk yang berada di dalam Empayar Melaka juga
mula memeluk Agama Islam. Agama Islam menjadi agama rasmi Empayar Melaka di mana
saiz Empayar ini adalah sama besar dengan alam nusantara melayu itu sendiri. Melalui Agama Islam, suku-suku Melayu yang
berbagai-bagai tadi mula menyatukan identiti mereka kecuali di dalam hal-hal
yang berkaitan dengan adat-istiadat setempat.
Persamaan identiti ini
menyebabkan Empayar Melaka menjadi harmoni, sejahtera, senang dikawal dan
kurang pergolakan dalaman. Keadaan ini
memberi pimpinan utama Empayar Kesultanan Melayu Melaka ruang dan masa yang
luas untuk membina keupayaan ekonomi dan mempromosi pelabuhan mereka dengan
melakukan pelayaran-pelayaran penting ke Empayar-Empayar Asia yang lain
disamping mengukuhkan hubungan diplomatik di antara Empayar mereka dan
Empayar-Empayar ini.
Dek kerana keharmonian dan
keamanan yang dicapai melalui Agama Islam, kuasa-kuasa Eropah merasa irihati
dan mula mencari jalan untuk menjajah seterusnya merampas kekayaan yang
dimiliki oleh Empayar Melaka. Jika dilihat dari sudut perspektif politik
keagamaan, keputusan kuasa-kuasa Eropah ini bolehlah dianggap sebagai perluasan
operasi Perang Salib. Kuasa-kuasa Eropah merasakan gerakan Agama Islam di
rantau nusantara perlu dikekang memandangkan rantau nusantara mempunyai
keupayaan modal insan dan timbunan sumber asli yang mencukupi untuk menjadi
pemain utama dunia.
Akhirnya, Empayar Kesultanan
Melayu Melaka yang beragama Islam jatuh pada tahun 1511. Dari saat itu satu
demi satu kuasa Eropah berjaya menguasai serpihan Empayar Melaka yang
bertaburan di keseluruhan alam nusantara. Kemuncak kepada kejayaan operasi
Perang Salib ini adalah kejayaan mereka bertapak dan mengkristiankan keturunan
Melayu di Filipina dan Pulau Borneo. Kejayaan ini juga disempurnakan apabila
Perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824 termeterai. Kesan dari Perjanjian
ini, satu-satunya potensi negara Islam terbesar dunia bukan sahaja dari segi
keluasan malah dari segi kepadatan penduduk berjaya dipisahkan menjadi dua
negara yang lebih kecil. Pada hari ini Negara-negara yang lebih kecil ini
dikenali sebagai Indonesia dan Malaysia.
Melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824,
Empayar Inggeris yang menguasai Semenanjung Tanah Melayu sedaya upaya cuba
memisahkan suku-suku Melayu yang mendiami Semenanjung ini. Oleh kerana itu, suku-suku ini di zaman pasca
kemerdekaan lebih dikenali melalui negeri-negeri yang mereka diami seperti
Orang Melayu Perak, Orang Melayu Selangor, Orang Melayu Johor dan seterusnya. Mereka
juga lebih gemar berinteraksi dan berkahwin sesama keturunan mereka sahaja
seperti Bugis berkahwin dengan Bugis,
Jawa dengan Jawa dan seterusnya. Ketidakupayaan suku-suku Melayu tadi bersatu
padu menyebabkan aspirasi politik mereka mudah dikawal oleh orang-orang
Inggeris.
Suku-suku ini tidak pernah
menjenguk keluar lebih jauh dari keturunan mereka, jauh sekali cuba
mempertahankan hak-hak kaum serumpun mereka yang lain. Oleh yang demikian,
tentangan-tentangan yang dihadapi oleh orang-orang Inggeris pada waktu itu
adalah lebih berbentuk kepentingan setempat seperti perjuangan Datuk Bahaman
dan Mat Kilau adalah untuk daerah di Pahang khususnya kampung Tok Janggut
untuk daerah .di Kelantan dan sebagainya.
Tentangan-tentangan kecil ini
dengan mudah dimatikan oleh orang-orang Inggeris kerana suku-suku Melayu yang
lain merasakan tiada gunanya mereka mencampuri dan mempertahankan hak suku lain
yang tiada kena mengena dengan suku mereka. Ini mengakibatkan suku-suku Melayu
ini kekurangan keupayaan ekonomi, daya intelektual dan daya saing untuk
berperang dengaan orang-orang Inggeris yang menguasai satu pertiga dunia.Tidak
terdapat tokoh nasional yang menyatukan suku-suku itu tadi sehinggalah
orang-orang Inggeris cuba memperkenalkan Malayan Union pada tahun 1946.
Melalui Malayan Union suku-suku
Melayu tadi sedar bahawa kini orang-orang Inggeris mahu merampas hak-hak mereka
sebagai peribumi. Untuk mendepani cabaran ini suku-suku rumpun Melayu tadi
sedar bahawa mereka perlu bersatu dalam jangka waktu yang singkat. Satu-satunya
cara untuk mereka berbuat demikian ialah dengan melupakan ciri-ciri yang
mengasingkan mereka sebagai suku-suku yang berbeza seperti bahasa, adat dan
makanan serta mencari identiti yang menyatukan mereka. Satu-satunya persamaan
besar di antara suku-suku tadi adalah mereka semuanya beragama Islam.
Akhirnya, perjuangan menentang
Malayan Union ini berjaya menyatukan suku-suku Melayu serumpun tetapi terpisah
ini sehingga mencapai kemerdekaan tanpa perlu mengangkat senjata. Demi
memastikan suku-suku Melayu ini terus bersatu tokoh-tokoh Melayu melalui Parti
Kebangsaan Melayu Bersatu mencipta satu formula yang dimasukkan di dalam
Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 169. Melalui Perkara ini, orang-orang
Bugis, Mendeling, Banjar, Jawa dan lain-lain dilahirkan semula sebagai sebuah
bangsa super yang dikenali sebagai Melayu sahaja.
Untuk itu, adalah wajar untuk
kita mendalami apakah yang terkandung di dalam Perkara 169 Perlembagaan
Persekutuan. Perkara 169 pada dasarnya membuat interpretasi akan makna bangsa
Melayu iaitu untuk menjadi seorang
Melayu seseorang itu haruslah berbahasa Melayu, mengamalkan adat-istiadat
Melayu dan yang paling penting mesti beragama Islam. Jika dilihat dari sudut
perspektif yang lebih luas, untuk menjadi orang Melayu pada masa kini seseorang
itu tidak perlu lagi mewarisi genetik Melayu. Sesiapa sahaja dari keturunan
bangsa yang lain boleh menjadi seorang Melayu dan layak mendapat keistimewaan
sebagai orang Melayu asalkan mereka mahu berbahasa Melayu, mengamalkan adat
istiadat Melayu dan menganut agama Islam.
Untuk itu, pada hari ini kita
boleh dapati seseorang yang mempunyai asal keturunan arab diterima sebagai
Melayu, begitu juga seseorang yang mempunyai asal keturunan India dan Cina juga
diterima sebagai Melayu melalui definisi Perlembagaan Persekutuan. Kata kunci
utama di dalam perkara ini ialah Agama Islam. Ini adalah kerana agama Islam
begitu sinonim dengan orang-orang Melayu seumpama satu duit syiling, punyai
permukaan yang berbeza tetapi adalah duit syiling yang sama.
Mana-mana bangsa yang menganuti
Agama Islam di Malaysia tidak boleh lari dari melakukan proses asimilisasi
kepada budaya Melayu. Ini adalah kerana bahasa Agama Islam di sini adalah
bahasa Melayu. Di dalam hal perayaan-perayaan Islam pula kita dapati budaya
Melayu meresap jauh sehingga pemakaian pada hari-hari perayaan agama Islam juga
adalah bercirikan budaya Melayu. Lagipun Agama Islam itu sendiri bersifat pragmatik
di mana ianya tidak pernah menahan mana-mana bangsa dari mengamalkan
adat-istiadat mereka asalkan akidah Islam iaitu mempercayai bahawa tuhan yang
benar adalah Allah yang Esa, tidak beranak atau dipernakkan dan Nabi Muhammad
itu adalah pesuruh Allah dipertahankan.
Di samping itu, demi untuk
memastikan kelangsungan bangsa Melayu super itu tadi bersatu di bawah satu
panji-panji maka di formulakan pula supaya Agama Islam menjadi agama rasmi
Persekutuan di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan disamping itu dilantik pula
Yang Di-Pertuan Agong untuk menjadi Ketua Agama islam di mana Perkara 3 itu
sendiri tidak boleh dipinda walaupun dengan majoriti 2/3 di Parlimen tanpa
mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu terlebih dahulu.
Jelas, bahawa Agama Islam adalah kunci
penyatuan orang-orang Melayu di seluruh archipelago rumpun Melayu. Namun,
sebagai agama yang mempunyai konsep toleransi maka orang-orang Melayu yang
membentuk majoriti Malaysia tidak pernah menghalang bangsa-bangsa lain dari
mengamalkan adat-istiadat dan hal keagamaan bangsa mereka. Ianya dizahirkan
melalui Perlembagaan Persekutuan di bawah Fasal yang sama mendefinisi Islam
sebagai agama rasmi Persekutuan.
Oleh yang demikian kita dapati
agama lain selain dari Islam seperti Kristian, Buddha dan Hindu dengan bebas
dianuti dan diamalkan di Malaysia. Walaupun ianya bebas dianuti dan diamalkan
namun terdapat kekangan yang dimasukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu
agama-agama ini tidak dibenar untuk disebarkan kepada orang-orang Melayu. Ketetapan
ini bukanlah kerana orang-orang Melayu takut hilang identiti mereka tetapi
adalah kerana tugas mereka untuk mempertahankan Agama Islam sudah sebati di
dalam jati diri Melayu itu sendiri. Untuk mempertahankan Agama Islam
orang-orang Melayu tidak perlu menubuhkan parti politik yang khusus untuk
tujuan tersebut. Cukuplah sekadar menyatakan bahawa terdapat mubaligh agama
lain akan mengadakan upacara memurtadkan anak-anak Melayu kepada agama mereka,
percayalah pasti terdapat orang-orang Melayu setempat yang akan merusuh dan
menghalang upacara itu dari dilakukan.
Semasa peristiwa Natrah yang
berlaku di Singapura, orang-orang Melayu dari segenap pelusuk Semenanjung
datang dengan mengayuh basikal demi untuk menyelamatkan akidah Natrah. Itu
peristiwa yang berlaku berpuluhan tahun dahulu di zaman pemuda-pemudi Islam
rata-rata kurang fahaman Islam diketengah dengan revolusi mini skirt, pop yeh
yeh, hippies dan lain-lain budaya ciptaan barat. Namun, apabila tiba soal
akidah orang-orang Melayu tetap akan mempertahankannya.
Oleh yang demikian kita merasa gelihati apabila mengetahui terdapat cubaan ahli-ahli agama Kristian
untuk mengisytiharkan agama mereka sebagai Agama Rasmi Malaysia. Mereka ini
adalah dari jenis manusia yang tidak pernah belajar daripada imbasan sejarah.
Orang-orang Melayu terjajah hampir 500 tahun oleh kuasa Eropah yang datang
membawa mubaligh-mubaligh mereka. Pada waktu itu, orang-orang Melayu berada di
dalam kedaifan yang maha dasyat. Orang-Orang Melayu miskin, tidak mempunyai
pengetahuan teknologi, malah tidak ramai yang mampu untuk belajar di sekolah. Kuasa-Kuasa
Eropah ini pula datang dengan pengetahuan, kekayaan dan teknologi yang tinggi.
Mereka menjajah orang-orang Melayu melalui Undang-Undang dan cengkaman kuku
besi. Namun itu semua tidak berupaya merubah akidah orang-orang Melayu.
Maka itu, dengan penjelasan serba
sedikit tentang kedudukan undang-undang di Malaysia, adakah paderi-paderi
kristian ini fikir mereka berupaya untuk melaksana perubahan itu. Dan jika
sekiranya mereka berjaya merubah kedudukan undang-undang tersebut adakah mereka
berfikir akidah orang-orang Melayu dengan mudah akan berubah mengikut ketetapan
undang-undang tersebut. Empayar Inggeris penakluk 1/3 dunia tidak berupaya
melakukannya, inikan pula para paderi yang selama ini diberi peluang untuk
tinggal dan hidup di negara Islam ini. Perlu diperjelaskan di sini bahawa untuk
mempertahankan akidah Islam, orang-orang Melayu tidak perlukan Tok Guru Nik
Aziz atau Pak Sheikh Anwar Ibrahim atau mana-mana ulama besar dunia untuk mengetuai
kami, cukuplah dengan Allah, Rasulullah SAW dan Al-Quran sebagai penyuluh
jalan.
Akhir tulisan sekadar mengambil
frasa popular yang disebut oleh seorang politikus pembangkang “Langkah mayat
KAMI dahulu jika mahu menjadikan Kristian agama rasmi Malaysia”.
No comments:
Post a Comment