KEBENARAN DAN KETUANAN MELAYU
Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengisytiharkan perang untuk menghapuskan konsep “ketuanan melayu”. Umpama meludah ke langit terkena ke muka sendiri, begitulah perumpamaan paling tepat untuk mendefinisi tokoh-tokoh utama PKR yang melaungkan semboyan perang itu. Masakan tidak, Datin Seri Presiden PKR adalah isteri kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan bekas Timbalan Presiden Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Manakala, Timbalan Presiden PKR yang baru ditabal pula adalah setiausaha kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan bekas Timbalan Presiden UMNO. Tidakkah ia suatu tindakan yang paradoks, manusia sama yang dahulunya melaungkan keprihatinan kepada konsep “ketuanan melayu” malah pernah pada satu Mesyuarat Agung UMNO bersama-sama pemimpin UMNO yang lain bersumpah darah untuk memperjuangkan konsep “ketuanan melayu”, kini orang yang sama membunyikan semboyan untuk menghapuskan konsep ciptaan mereka.
GMP mahu menyeru kepada rakan-rakan bangsa Cina dan India di Malaysia supaya duduk dan berfikir sejenak. Ya, betul sekarang pemimpin-pemimpin ini nampak agresif memperjuangkan nasib bangsa anda. Namun, cuba anda semua fikir jika mereka sanggup menderhaka terhadap perjuangan bangsa sendiri, tidak mustahil mereka meninggalkan pula bangsa anda demi mengejar kuasa dan impian yang lain.
Khalayak terutama bangsa Cina dan India harus faham bahawa tidak boleh dinafikan Ketua Umum PKR mempunyai karisma tersendiri apabila berucap di atas pentas-pentas politik. Beliau begitu menguasai teknik dan taktik perhubungan awam. Bayangkan jika pemimpin-pemimpin Yahudi Amerika Syarikat yang menguasai jalinan kerjasama global dan begitu sofistikated pun terkasima dan termakan bicara beliau, inikan pula kita marhaen Malaysia yang hidup secara sederhana.
Hakikatnya seorang pemimpin hebat bukan disukat dari segi persembahan beliau berucap di atas pentas politik. Ianya bukan disukat dari segi kebolehan beliau mengucapkan janji-janji kosong. Ianya juga bukan disukat dari segi gaya yang anggun. Itu bukan asas-asas pemimpin hebat, itu adalah asas seorang kasanova. Seorang pemimpin hebat terutama di dalam sebuah negara seperti Malaysia yang berbilang bangsa perlu wajib bercakap benar berdasarkan Undang-Undang yang diterimapakai negara ini. Ini adalah kerana jika pemimpin Malaysia bersikap seolah-olah seperti sesumpah seperti Ketua Umum PKR, maka hubungan di antara bangsa-bangsa di Malaysia akan menjadi tegang dan mengancam keselamatan kita semua.
Apakah yang dimaksudkan dengan pemimpin wajib bercakap benar ? Bercakap benar dalam konteks kenegaraan Malaysia adalah menjunjung bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah Undang-Undang tertinggi negara dan wajib bagi pemimpin-pemimpin ini mempertahankan Perlembagaan Persekutuan selagi nyawa dikandung badan sehingga ke titisan darah terakhir.
Apakah kandungan Perlembagaan Persekutuan ? Di antara asas penting Perlembagaan Persekutuan ialah di bawah Perkara 3, bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Di bawah Perkara 32 (1) bahawa Kepala Utama Persekutuan adalah Yang Di-Pertuan Agung yang dilantik di antara Sultan-Sultan yang menganggotai Majlis Raja-Raja. Di bawah Perkara 152, bahawa Bahasa Melayu adalah Bahasa Rasmi Malaysia. Dan, di bawah Perkara 153, bahawa orang-orang Melayu di beri hak keistimewaan berbanding bangsa Cina dan India. Di samping itu, di bawah Perkara 89, terdapat peruntukan mengenai tanah Rezab Melayu dan lain-lain peruntukan yang melindungi orang-orang Melayu.
Jika diperhatikan kesemua Perkara-Perkara yang membentuk teras Perlembagaan seperti yang tersebut di atas adalah bertunjangkan bangsa Melayu. Dan, ianya tidak boleh dipinda walaupun dengan undi 2/3 parlimen kerana menurut Perkara 159 (5) ianya memerlukan kebenaran Majlis Raja-Raja Melayu.
Mengapakah terdapat peruntukan yang bertujuan untuk melindungi hak-hak Melayu? Perkara ini terjadi kerana semasa pembentukan Persekutuan Tanah Melayu (sebelum ditukar nama kepada Malaysia), Suruhanjaya Reid iaitu pihak yang bertanggungjawab menulis Perlembagaan Persekutuan, mengakui bahawa Semenanjung Tanah Melayu adalah milik bangsa Melayu. Kerana itulah juga namanya disebut sebagai Semenanjung Tanah Melayu. Keseluruhan perkara-perkara yang diperincikan oleh Suruhanjaya Reid melalui Perlembagaan Persekutuan bagi melindungi orang-orang Melayu sebenarnya adalah sebagai timbal balas kepada kesanggupan Raja-Raja Melayu memberikan kewarganegaraan secara jus soli kepada sejuta orang bangsa Cina dan India yang diambil sebagai pekerja oleh pihak British.
Secara dasarnya, para pekerja ini apabila habis kontrak bekerja maka mereka wajib dibawa balik oleh British ke negara masing-masing. Namun oleh kerana pada waktu itu, perang dunia kedua baru tamat dan negara-negara asal mereka tidak mahu menerima para pekerja ini kembali akibat kegawatan ekonomi selepas perang, maka pihak British mencari jalan untuk meninggalkan mereka di Tanah Melayu. Sepatutnya, pihak British membawa kesemua pekerja ini ke England dan memberi kerakyatan British. Namun, hakikatnya British tidak mampu berbuat demikian kerana negara mereka juga rosak teruk akibat perang. Niat British di dalam perkara ini adalah jelas apabila mereka menderaf Malayan Union sebaik sahaja perang dunia kedua tamat. Melalui Malayan Union British memaksa penduduk Tanah Melayu menerima bulat-bulat para pekerja berbangsa Cina dan India sebagai warganegara tanpa apa-apa balasan. Orang-orang Melayu membantah sekeras-kerasnya.
Akhirnya, apabila rundingan kemerdekaan di adakan dan orang-orang Melayu melalui UMNO memberikan syarat-syarat yang tertentu maka barulah para pekerja ini dapat diterima sebagai warganegara Tanah Melayu. Proses ini boleh didapati melalui Perjanjian Kemerdekaan 1957, di mana Raja-Raja Melayu menyerahkan kuasa de legist mereka kepada pihak British yang menjajah melalui kuasa de facto. Seterusnya, British menyerahkan pula kuasa ini kepada rakyat Tanah Melayu untuk membentuk kerajaan dan pentadbiran Tanah Melayu . Kuasa-kuasa ini adalah termasuk kuasa memberi kerakyatan. Tanpa penyerahan kuasa oleh Raja-Raja Melayu, kewarganegaraan ini adalah mustahil diberi kepada para pekerja berbangsa Cina dan India.
Kami di GMP melakar kembali kenangan ini bukanlah kerana sengaja mahu mengapi atau mengeruhkan suasana harmoni di antara kaum Melayu, Cina dan India. Kami menulis perkara ini kerana ianya adalah kebenaran. Kebenaran inilah yang dipegang oleh para pejuang ketiga-tiga bangsa semasa sama-sama membuat rundingan kemerdekaan. Dan, ianya adalah muktamad. Ini adalah kedudukannya selagi ada bulan dan bintang dan selagi ada manusia yang dikenali sebagai melayu di bumi bertuah ini.
Rakan-rakan bangsa Cina dan India. Apabila nenek moyang anda bersama-sama orang-orang Melayu melakukan rundingan kemerdekaan. Mereka juga sudah melakukan rundingan bagi pihak anda. Iaitu antara lain jika mereka bersetuju untuk menjadi warganegara Tanah Melayu maka orang-orang Melayu wajib menerima kewarganegaraan mereka seolah-olah mereka dilahirkan di Tanah Melayu atau di dalam bahasa latin di sebut jus soli . Secara asasnya, apabila kewarganegaraan secara jus soli diberi maka secara otomatik anda mempunyai hak untuk mengundi dan hak untuk mempunyai harta termasuk tanah kecuali tanah-tanah yang diwasiatkan oleh Raja-Raja Melayu direzabkan untuk orang-orang Melayu sahaja.
Nenek moyang anda juga telah mensyaratkan bahawa untuk mereka menerima menjadi warganegara Tanah Melayu bahasa ibunda masing-masing hendaklah dikekalkan. Begitu juga dengan agama asal anda berserta dengan beberapa syarat lagi untuk melindungi hak-hak anda disebuah negara asing jauh dari tempat kelahiran nenek moyang anda.
Rakan-rakan sekalian, kesemua perkara-perkara yang disyaratkan oleh nenek moyang anda sebelum mereka menerima kewarganegaraan Tanah Melayu adalah juga diperihalkan di dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 3, 8, 11, 13 dan 152 dan ianya juga adalah bersifat muktamad. Dan inilah juga adalah kebenaran. Orang-orang Melayu tidak pernah sedikit pun cuba meminda kedudukan dan hak-hak anda sepertimana yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Konsep ketuanan melayu adalah suatu slogan yang diperkenalkan oleh Tengku Razaliegh Hamzah semasa Pemilihan Umno tahun 1987 untuk memberi semangat kepada orang-orang melayu memajukan bangsa mereka. Ianya juga adalah sebagai kata-kata hikmat untuk orang-orang Melayu sedar dan melindungi hak-hak mereka yang telah terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ianya tiada kena mengena dengan tuan dan hamba. Ianya adalah suatu slogan yang tidak memberi apa-apa kesan dari segi perundangan sehingga anda semua dihamba abdikan di Tanah Melayu. Ini adalah kerana hak-hak anda telah dikunci kemas di dalam Perlembagaan Persekutuan. Inilah kebenarannya.
Oleh yang demikian, apabila PKR mahu berjuang untuk menghapuskan ketuanan melayu maka mereka berbohong kepada anda semua kerana ianya tidak wujud melainkan hanya sebagai motto. Kecualilah jika sekiranya PKR berazam mahu menghapuskan hak-hak orang melayu sepertimana yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Secara jujur, adakah anda merasa ianya adil kepada orang-orang Melayu jika sekiranya hak-hak mereka dihapuskan sedangkan hak-hak anda masih tersemat kemas. Adakah anda semua merasa yakin sebagai orang Melayu tokoh-tokoh PKR yang melaungkan semboyan itu akan melakukannya. Secara jujurnya lagi, melalui penerangan yang tertulis tadi adakah anda semua merasa yakin ianya boleh dihapuskan dengan sebegitu senang mudah tanpa apa-apa bantahan dari orang melayu. GMP merasa yakin jika ianya mahu dilakukan maka suatu pertumpahan darah akan berlaku dan kita semua akan hilang kedamaian yang selama ini kita kecapi. Semua kemajuan yang telah dicapai sekarang akan hilang dan sekali lagi kita semua akan mengambil masa yang lama untuk saling mempercayai sesama kaum seperti yang berlaku pada 13hb Mei, 1969.
Ini semua hanyalah suatu retorik ahli politik terdesak. Ianya bukan sesuatu yang benar dan apabila ianya datang dari seorang pemimpin utama maka kita semua semua wajar mempersoal kewarasan pemimpin itu seterusnya menolak ideologi melampau itu. Hakikatnya, kaum-kaum di Malaysia telah sekian lama hidup harmoni berteraskan hak-hak mereka yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Jangan biarkan keharmonian ini tergugat hanya kerana ada orang-orang tertentu mahu merebut kuasa.
No comments:
Post a Comment