sahabat-sahabat APJ

t.kasih sahabat-sahabat,jom follow

Thursday 18 September 2014

#HAJI1435 : LAWATAN TH KE KAWASAN PENEMPATAN HAJI MALAYSIA DI ARAFAH , MUZALIFAH DAN MINA


Semalam , satu lawatan awal ke Kawasan penempatan jemaah haji Malaysia di Arafah, Muzdalifah dan Mina dan ianya hampir sama dengan lokasi penempatan pada musim haji tahun lepas.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata Tabung Haji (TH) baru saja menerima pelan tapak untuk jemaah haji Malaysia di ketiga-tiga lokasi berkenaan daripada Muassasah Asia Tenggara.

"Selalunya persiapan untuk jemaah haji akan siap dalam masa dua atau tiga hari sebelum jemaah haji bergerak dari Makkah ke Arafah (sehari sebelum Wukuf pada 8 Zulhijjah, yang dijangka bersamaan 2 Okt)," katanya.

Syed Saleh berkata tinjauan awal dilakukan bagi memastikan kawasan yang diperuntukkan untuk pelbagai perkhidmatan haji termasuk bilik operasi haji, kawasan media, warga emas, dapur dan klinik perubatan, dikenal pasti.

Menurut Syed Saleh, di Arafah khemah penginapan hanya dilengkapi dengan kipas kerana jemaah akan hanya tinggal semalaman sementara di Mina, khemah akan dilengkapi dengan pendingin hawa.

Beliau berkata sebanyak 22,320 jemaah haji Malaysia dijangka mula bergerak dalam tiga peringkat iaitu selepas solat Zuhur, Asar dan Maghrib ke Arafah yang terletak kira-kira 22km dari Masjidilharam.


Syed Saleh berkata selepas berwukuf di Arafah, jemaah haji kemudian bergerak ke Muzdalifah untuk mengutip anak-anak batu bagi keperluan melontar Jamarat di Mina dan menunggu seketika iaitu sehingga 11.45 malam, sebelum bergerak ke Mina secara berperingkat-peringkat.

"Kita akan menganjurkan untuk melontar di ketiga-tiga Jamrah selepas solat Isyak tiga hari berturut-turut pada 11,12 dan 13 Zulhijjah sebelum bergerak kembali ke Makkah," katanya.

Wukuf di Arafah merupakan kemuncak ibadah haji dengan jemaah haji mengunakan waktu ini untuk memperbanyakkan ibadah termasuk berdoa, membaca al-Quran, berzikir, tazkirah dan sebagainya. Di sini juga terletaknya Jabal Rahmah (Bukit Kasih Sayang).

Syed Saleh berkata kesemua jemaah haji, termasuk yang uzur dan sakit di hospital akan dibawa untuk berwukuf, yang merupakan rukun haji, walaupun untuk seketika.

Beliau juga berkata khemah jemaah Malaysia di Mina terletak berhampiran terowong untuk ke Jamarat, iaitu kira-kira 3.5 km ke tempat melontar dan di dalam terowong itu terdapat laluan bergerak bagi memudahkan para jemaah.

Menurut Syed Saleh, laluan bergerak itu yang menghubungkan kawasan penempatan jemaah Malaysia di Al-Muaisim ke tingkat tiga jambatan Jamarat telah digunakan pada musim haji tahun lepas.

No comments:

POSTING PALING HOT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive