sahabat-sahabat APJ

t.kasih sahabat-sahabat,jom follow

Monday 15 September 2014

#HAJI1435H : LAPOR JIKA KHIDMAT SYARIKAT SWASTA TIDAK MEMUASKAN



Jemaah haji yang tidak berpuashati dengan syarikat swasta yang mengendalikan perkhidmatan ibadah haji mereka perlu membuat laporan kepada Tabung Haji (TH) di Tanah Suci.

Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji TH, Mat Admara Alang Azizdin berkata ia bertujuan bagi memastikan badan itu dapat menjalankan siasatan serta merta ke atas aduan dan mengambil tindakan terhadap syarikat terbabit jika didapati melanggar peraturan yang ditetapkan.

"TH memang serius (dalam menangani isu syarikat swasta yang melanggar terma dan syarat perjanjian)," katanya kepada media Malaysia di Makkah, Ahad.

Mat Admara berkata enam tahun lepas sebanyak 30 syarikat swasta diberikan lesen untuk mengendalikan jemaah haji, tetapi tahun ini hanya 18 syarikat sahaja yang mengendalikan kira-kira 3,000 jemaah haji.

Tahun lepas 19 syarikat telah diberikan lesen, dan tahun ini salah satu daripada syarikat itu telah gagal dalam laporan penyata kewangan yang dikemukakannya kepada TH, katanya.

Mat Admara berkata TH sentiasa memantau pakej haji swasta bagi memastikan jemaah haji mendapat apa yang dijanjikan, termasuk mengukur jarak hotel dengan Masjidilharam seperti yang diiklankan oleh syarikat swasta.

Beliau berkata jemaah haji dan juga mereka yang ingin melakukan ibadah umrah dengan syarikat swasta perlu memastikan syarikat yang mereka pilih telah mendapat lesen daripada TH, kerana syarikat-syarikat ini telah disaring oleh TH.

Syarikat-syarikat swasta ini mengenakan bayaran untuk ibadah haji lebih tinggi daripada perkhidmatan muassasah TH iaitu antara RM18,000 hingga RM169,000 seorang, kerana beberapa penambahbaikan iaitu tempat penginapan lebih dekat dengan Masjidilharam, makan dan minum secara buffet, dan menyediakan lebih ramai petugas, katanya.

Pasukan pemantau TH, termasuk Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci (PITAS) akan menilai petugas-petugas haji syarikat swasta itu dan nilai perkhidmatan yang diberikan, selain mendapatkan maklum balas daripada jemaah haji syarikat swasta menerusi borang soal selidik yang diedarkan, kata Mat Admara.

Beliau berkata pihaknya akan mengkategorikan kesalahan yang dilakukan oleh syarikat swasta dalam tiga kategori iaitu sederhana, serius dan sangat serius di mana syarikat itu boleh ambil tindakan sama ada diberikan amaran, denda atau tidak diperbaharui lesen.

Kesalahan serius lain yang dilakukan oleh syarikat haji swasta ini ialah menempatkan jemaah haji di bangunan penginapan melebihi had yang ditetapkan dan menempatkan tujuh orang dalam bilik yang hanya boleh memuatkan tiga orang.

Beliau berkata ada syarikat yang mengutip bayaran tambahan setibanya jemaah di Tanah Suci dan ini melanggar peraturan TH yang tidak membenarkan syarikat swasta mengutip wang tambahan selepas tiba di Tanah Suci.

TH membuka permohonan untuk syarikat swasta mendapat lesen mengendalikan jemaah haji sepanjang tahun, dan hanya mereka yang lulus lebih 80 peratus daripada peraturan yang ditetapkan akan mendapat lesen, katanya.

--BERNAMA

No comments:

POSTING PALING HOT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive