sahabat-sahabat APJ

t.kasih sahabat-sahabat,jom follow

Tuesday, 28 July 2015

Perjuangan Selama Ini Untuk Rakyat - Ds Shafie Apdal



"Pandangan yang saya berikan adalah demi untuk menguatkan Umno dan niat ini bertujuan untuk meletakkan negara di landasan yang sepatutnya,” demikian ujar bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Berkata menerusi kenyataan pada hari ini, jelas beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hak untuk merombak kabinet sekiranya perjuangannya tidak selari dengan pendirian pemimpin negara ini.

“Selama ini saya telah memperjuangkan kepentingan rakyat dan sentimen akar umbi.

“Sekiranya ia dianggap tidak selari dengan pendirian, maka itu adalah hak beliau sebagai perdana menteri untuk membuat rombakan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini dalam satu sidang media mengumumkan barisan Kabinet baharunya yang antara lain menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Jawatan Muhyiddin digantikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut memegang portfolio Menteri Dalam Negeri.

Mengulas lanjut, Shafie berkata, beliau telah menjalankan tanggungjawabnya sebaik mungkin semasa memegang jawatan Kabinet.

“Sejak memegang jawatan Kabinet, saya telah menjalankan amanah dan tanggungjawab yang terbaik untuk memastikan kesejahteraan rakyat terutamanya masyarakat di luar bandar,” katanya lagi.

Saya Redha Digugurkan Kerana 1MDB - TS Muhyiddin



KENYATAAN MEDIA
YBHG TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

Bismillahirrahmanirrahim.


Alhamdulillah, saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana telah memberikan peluang kepada saya untuk berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan persekutuan sebagai Timbalan Perdana Menteri bermula 10 April 2009.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan semua pihak yang telah menyokong saya sepanjang saya menjalankan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Saya menerima keputusan YAB Perdana Menteri untuk menggugurkan saya daripada kabinet dengan hati yang terbuka. Saya menghormati kuasa prerogatif YAB Perdana Menteri untuk melantik dan menggugurkan mana-mana anggota kabinet.

Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya telah terlibat secara langsung dalam pembuatan dasar-dasar kerajaan dan melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepada saya dengan penuh amanah. Selama saya berkhidmat, saya sentiasa mendokong semua dasar kerajaan dan menyokong kepimpinan YAB Perdana Menteri.

Kecuali dalam isu 1MDB, saya mempunyai prinsip dan pendirian saya sendiri dalam mempertahankan hak rakyat, namai baik parti dan kepentingan negara. Jika kerana pendirian saya dalam isu ini menyebabkan saya digugurkan daripada kabinet maka saya redha.

Saya akan sentiasa setia kepada perjuangan UMNO. Sebagai Timbalan Presiden UMNO, saya akan terus melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada saya dan mencurahkan khidmat bakti saya demi memperkukuhkan parti serta mengembalikan keyakinan orang Melayu dan rakyat kepada UMNO.

Kepada Allah saya berserah.

TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

27 Julai 2015

Video : Kerana Berani Bersuara TS Muhyiddin Tumbang Di Tangan PM



Sidang Media Khas Rombakan Kabinet Yang Diumumkan Oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak-Video Ihsan RTM
Posted by Perak Today on Monday, 27 July 2015

#1MDB: Sokong Kenyataan TPM - @azwanbro



Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

PETALING JAYA : Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kontroversi 1MDB mampu mengurangkan kepercayaan rakyat terhadap parti.

Katanya, sama seperti Muhyiddin, ahli dan pucuk pimpinan juga mahukan kebenaran serta mempunyai kewajipan untuk menjaga amanah yang diberi oleh rakyat.

“Dari amanah inilah kita warisi kuasa politik yang digunakan untuk memajukan agama, bangsa dan tanah air. Jangan sampai warisan kita tergadai begitu sahaja.

“Kita harus berani, berani kerana benar maka beranilah mencari kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya.

Berhubung penggantungan akhbar The Edge, dia yang dikenali sebagai Azwan Bro berkata, tindakan itu tidak akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap isu dan tuduhan yang dikenakan terhadap 1MDB.

“Ya memang The Edge mengaku menipu Xavier Alexander Justo dalam mendapatkan data yang dicuri, namun kesalahan ini adalah antara dua penyangak yang mencuri antara satu sama lain.

“Ia tiada kena mengena dengan persoalan dan isu yang ditimbulkan mahupun menerangkan keadaan sebenar dalam semua transaksi 1MDB. Bagi saya biarlah siasatan oleh pihak berkuasa muktamad dan tindakan undang-undang diambil,” katanya.

Katanya, sekiranya benar semua emel dan dokumen itu telah diubah dan tuduhan yang dilemparkan adalah fitnah semata-mata, akhbar berkenaan bukan sahaja perlu digantung permitnya tetapi boleh ditutup terus dengan alasan yang kukuh.

Sumber : http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2015/07/27/naib-ketua-pemuda-umno-sokong-kenyataan-muhyiddin/

Monday, 27 July 2015

Berhenti Hentam Tun M - TPM


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan kepada ahli-ahli UMNO supaya berhenti menghentam bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Muhyiddin, tindakan sedemikian hanya mengakibatkan kedudukan Barisan Nasional (BN) menjadi semakin lemah.

"Lagi anda hentam lagi populariti beliau melonjak sehingga mencecah bumbung dan kedudukan kita pula jatuh," kata Muhyiddin semasa ucapan penggulungan mesyuarat UMNO Bahagian Cheras di Kuala Lumpur pada Ahad malam.

"Saya setuju Dr Mahathir ibarat bapa kita, beliau bekas perdana menteri ada banyak idea," ujar Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO.

Tambahnya, Tun Dr Mahathir yang bersikap kritikal dan lantang terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana beliau menyayangi Najib.

"Dia (Dr Mahathir) bimbang dengan kedudukan Najib sebab dia sayang Najib...pasal mengenang sejarah Tun (Abdul) Razak (Hussein)."

"Dia hanya beri pandangan dan saya tak fikir ia melampau," kata Muhyiddin.

#1MDB : Kalau The Edge Tak Betul Jadi Apa Yang Betul ? - TPM



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui sukar untuk memahami mengenai syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Justeru itu, beliau tertanya-tanya mengenai sumber mana yang boleh dipercayai sekiranya laporan The Edge tidak boleh dipercayai.

"Orang cakap dekat saya laporan The Edge tidak betul, jadi beritahu saya apa yang betul, tidak juga diberitahu sampai sekarang," kata Muhyiddin semasa berucap pada majlis penutup mesyuarat UMNO Bahagian Cheras di Kuala Lumpur pada Ahad malam.

Tambahnya, beliau juga terpaksa membaca The Edge untuk mendapatkan maklumat mengenai 1MDB.

"Kita tidak boleh menyalahkan orang yang dahagakan pengetahuan (mengenai 1MDB) kerana tiada kenyataan dari pihak kita untuk menjelaskan inilah situasi yang sebenar," tegas Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO.

BACA: Jika PRU esok, BN akan kalah - Muhyiddin Yassin

Kementerian Dalam Negeri menggantung permit The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan bermula Isnin (27 Julai) atas tiga sebab.

Pertama, tajuk dan cara pelaporan serta pemberitaan kedua-dua penerbitannya menimbulkan persoalan dan persepsi negatif kepada masyarakat terhadap syarikat 1MDB yang seterusnya berkait dengan kerajaan serta kepimpinan negara.

Kedua, laporan yang diterbitkan memetik sumber maklumat yang diragukan dan belum ditentukan kesahihannya, dan yang mungkin memberi kemudaratan kepada ketenteraman awam serta kepentingan negara.

Ketiga, isu berkaitan 1MDB ini sedang disiasat oleh pasukan penyiasat yang telah ditubuhkan.

Saturday, 25 July 2015

Penggantungan permit: The Edge akan ambil tindakan undang-undang


Kumpulan Media The Edge akan berusaha untuk menarik balik status penggantungan dua penerbitannya The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily dengan mengunakan saluran undang-undang termasuk dengan membawa kes itu ke mahkamah.

Tindakan itu diambil susulan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menggantung permit kedua-dua penerbitan itu untuk tempoh tiga bulan berkuatkuasa dari 27 Julai ini.

“The Edge akan membawa kes itu ke mahkamah untuk menarik balik penggantungan tersebut,” kata ketua pegawai eksekutif Kumpulan Media The Edge, Ho Kay Tat dalam satu kenyataan hari ini.

Di dalam kenyataan yang sama, The Edge memaklumkan bahawa KDN, menerusi sepucuk surat, telah menyatakan laporan mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh kedua-dua penerbitan tersebut ‘memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan atau mungkin menimbulkan keresahan umum atau mungkin memudaratkan kepentingan awam dan negara.’

KDN turut memberi amaran bahawa sekiranya ia gagal untuk menghentikan penerbitan selama tiga bulan, ia akan menyebabkan permit penerbitannya ditarik balik.

Melalui kenyataan yang sama, Ho berkata beliau kecewa dengan keputusan itu.

"Kami tidak melihat bagaimana mendedahkan kes penipuan untuk menipu rakyat Malaysia berbilion Ringgit boleh ditafsirkan sebagai sesuatu yang menjejaskan kepentingan awam dan negara.

“Ini adalah satu usaha untuk menutup operasi kami dengan menutup mulut kami," katanya lagi.

Reaksi Nazir Razak Terhadap Penggantungan Permit The Edge #1MDB



Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak hari ini menyifatkan akhbar The Edge Financial dan The Edge Weekly yang digantung permit penerbitannya buat sementara oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Jumaat, berperanan besar sebagai tunjang menyalurkan maklumat kepada komuniti perniagaan.

"The Edge adalah tunjang kepada komuniti perniagaan - peranan dalam memastikan kami mendapat maklumat, jujur dan kompetitif," kata Nazir dalam posting terbaru di laman Instagram.

Tambahnya, liputan akhbar berkenaan mengenai kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah luar biasa namun jika terdapat kesilapan, pihak terlibat perlu memperbetulkannya atau mengambil tindakan undang-undang.


Nazir mengulas penggantungan permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial selama tiga bulan oleh KDN.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika dihubungi Astro Awani mengesahkan penggantungan tersebut dibuat kerana penerbitan akhbar itu mempunyai motif-motif tertentu.

astro awani 

Meh Baca Isu Mengenai Sarawak Report - @azwanbro


Baru-baru ni Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairul Azwan Harun membuat kenyataan mengenai sekatan terhadap laman portal berita Sarawak Report dan ada beberapa pihak yang marah dan kritik beliau kerana dikatakan melawan arus, 

Dalam satu kenyataan balas melalui laman facebook beliau , Khairul Azwan Harun menjelaskan mengenai isu itu. 


Ada pihak yang marah dan kritik saya kerana kenyataan saya mengenai Sarawak Report konon saya melawan arus atau memulakan gerakan sebagainya.

Itu semua karut, sebagai pemimpin kita mesti mempunyai pendapat dan perbezaan pendapat itu perkara biasa.


Sudut saya pandang mudah sahaja, bukan saya sokong Sarawak Report atau pembangkang, malah kalau diikutkan Pemuda UMNO yang mula-mula dahulu membuat laporan polis terhadap laman web ini.

Tapi kita harus konsisten, dahulu Sarawak report banyak menabur fitnah dan tuduhan kepada Ketua Menteri Sarawak tapi kita biarkan sahaja mereka beroperasi.

Apabila tiba-tiba kita menyekat kerana isu 1MDB ini muncul rakyat nampak seolah-olah kita takut, hendak lari dan menyorok. Ini menimbulkan persepsi yang salah.

Apa yang kita nak ialah kebenaran, kita hendak buktikan bahawa fitnah dan tuduhan wajib diambil tindakan.

Sebab itu kita bawa isu ini ke PAC dalam parlimen, ditubuhkan pula jawatankuasa khas untuk menyiasat perkara ini yang melibatkan PDRM, SPRM, Bank Negara dan Jabatan Peguam Negara.

UMNO mahukan integriti dan UMNO juga teguh memegang amanah rakyat kepada kita.

Tapi kalau kita sekat sebelum sebarang tindakan undang-undang dibuat atau siasatan yang lengkap dijalankan maka rosaklah persepsi kita.

Niat kerajaan yang baik ini habis rosak jadinya hanya kerapa persepsi ini.

Pemuda UMNO sokong kepada kebebasan maklumat, perdebatan dan perbezaan pendapat tapi kita tolak fitnah dan penipuan.

Berani kerana benar dan kita berani kerana kita mahukan kebenaran.

Itulah pendirian saya selaku Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang saya yakin selari dengan parti.

Tak usahlah kita ikut sangat pengadu domba dan punahsihat-punahsihat yang tak habis-habis nak melagakan kita.

Thursday, 23 July 2015

Cerita Panas Seminggu Mengenai Isu 1MDB

Ikuti rentetan insiden yang menjadi inti pati rangkuman peristiwa melibatkan 1MDB sepanjang minggu ini. -Gambar fail

Sorotan seminggu isu 1MDB

KUALA LUMPUR: Kes melibatkan syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus menjadi tumpuan ramai sejak beberapa bulan lalu.

Peristiwa penangkapan beberapa individu, penyerahan bahan bukti oleh sebuah akhbar, selain penutupan akses kepada sebuah portal yang didakwa boleh mengganggu-gugat kestabilan negara menjadi inti pati rangkuman peristiwa melibatkan 1MDB sepanjang minggu ini:

15 JULAI: Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata terdapat bukti kukuh termasuk pengakuan video dalam satu laporan polis oleh individu tertentu.

Individu tersebut akhirnya didedahkan sebagai salah seorang pengarangSarawak Report, Lester Melanyi.

Dalam video berkenaan, individu itu menamakan beberapa pemimpin pembangkang.


15 JULAI: Abdul Rahman mendakwa terdapat bukti kukuh termasuk sebuah video pengakuan (oleh Melanyi) disertakan bersama satu laporan polis dibuat Presiden sebuah NGO iaitu Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao Krishnan Naidu.


Abdul Rahman menyokong dakwaan Melanyi yang ada pemimpin pembangkang bekerjasama dengan Sarawak Report untuk memalsukan dokumen berhubung 1MDB. - Gambar fail

16 JULAI: Sarawak Report melalui pengasas dan pengarang laman web itu Clare Rewcastle-Brown menafikan dakwaan Melanyi bahawa dia salah seorang pengarang yang bekerja dengan portal berita itu.

Wednesday, 22 July 2015

#1MDB : Datuk Ditahan Polis, Reman Lima Hari



Seorang pengarah urusan sebuah syarikat yang bergelar Datuk direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Perintah reman terhadap lelaki berusia 54 tahun itu dikeluarkan Majistret Lau Eric di Mahkamah Majistret Putrajaya padi tadi.

Kes berkenaan disiasat menikut Seksyen 17 (a), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Ini merupakan tangkapan kedua selepas semalam sorang ahli lembaga pengarah sebuah syarikat yang berusia 39 tahun direman empat hari dipercayai berkaitan kes sama.

Suspek berkenaan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa ketika hendak mengambil penerbangan ke Taiwan.

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan pelantikan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dilantik menganggotai pembentukan pasukan petugas khas untuk menyiasat dakwaan mengenai 1MDB.

#1MDB : PANAS!!! Singapura Beku Dua Akaun



Polis Singapura telah membekukan dua akaun bank bagi membantu siasatan berhubung syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kerana salah urus kewangan dan rasuah.

Memetik laporan Reuters, pada5 Julai 2015, mereka telah mengeluarkan arahan di bawah Kanun Prosedur Jenayah untuk melarang mana-mana urusan berkenaan dengan wang dalam dua akaun bank yang berkaitan dengan penyiasatan itu.

“Siasatan masih dilakukan,” kata polis Singapura dalam satu kenyataan hari ini.

#1MDB : 'Kami Tak Boleh Lari Daripada Dedahkan Kebenaran' - Penerbit The Edge




Daripada mengabaikan suatu perkara dan meninggalkannya, The Edge memilih untuk melakukan segalanya supaya kebenaran boleh didedahkan.

Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media The Edge, Ho Kay Tat berkata demikian dalam sebuah kenyataan rasmi hari ini bagi menjelaskan pendirian mereka dalam penyiaran siri laporan berkaitan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Ketika itu, kami boleh memilih satu daripada dua pilihan iaitu sama ada mengabaikan sahaja perkara tersebut dan meninggalkannya, ataupun melakukan segalanya demi mendedahkan kebanaran.

“Kami membuat keputusan untuk meneruskan usaha mencari kebenaran,” katanya.

Menurut Ho, pada tahun 2013 dan 2014 The Edge telah menyiarkan laporan menyeluruh mengenai 1MDB ketika entiti kerajaan itu berdepan kesulitan kewangan.

Bagaimanapun, usaha melaporkan itu menghadapi kesukaran kerana bukan sahaja maklumat yang diperoleh adalah terhad walaupun wartawan The Edgeterpaksa berhubung dengan banyak sumber, malah laporan kewangan tahunan juga lambat dikeluarkan.

"Pada awal tahun ini, ada seseorang yang mahu berkongsi maklumat tentang usahasama 1MDB dengan PetroSaudi International. Kami tidak mengetahui siapa orang itu sebelum kami dibawa bertemu dengannya.

"Orang tersebut, yang kami tidak akan namakan, menunjukkan kepada kami ribuan emel dan lampiran dokumen. Setelah melihatnya, kami yakin akan ketulenannya. Malah kami juga merujuk kepada pakar forensik teknologi maklumat untuk memastikan semua dokumen itu asli," jelasnya.

Tambah Ho, semua yang dilihat itu mengejutkan pihaknya.

"Apa yang sepatutnya sebuah usahasama yang akan memacu manfaat ekonomi kepada negara telah bertukar menjadi sindiket penipuan berbilion-bilion ringgit dari Malaysia oleh sebuah kumpulan kecil warga Malaysia serta rakan warga asing mereka," katanya.

Ho juga menyatakan, dalam mencari kebenaran, tokoh-tokoh politik seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah pernah berkata bahawa sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat perlu tampil bersuara.

Malah menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mahu kebenaran ditunjukkan.

"Maka sebagai kumpulan media, kami mempunyai tanggungjawab umum walaupun ia sukar dan berbahaya.

"Kami tidak terlibat dalam pencurian (maklumat), tidak membayar sesiapa, dan tidak mengubah suai semua emel dan dokumen yang diberikan. Tiada juga agenda atau konspirasi politik terlibat," jelasnya yang percaya artikel yang mereka siarkan telah membantu banyak agensi kerajaan meneliti isu 1MDB.

The Edge sudahpun menyerahkan semua dokumen, emel yang dicetak dan cakera keras kepada Bank Negara dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Komersial Polis Diraja Malaysia, manakala Ho sendiri telah memberi keterangan kepada Ketua JSJ.

"Difahamkan bahawa beberapa badan penyiasat, Ketua Audit Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Bank Negara, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Peguam Negara telah memberi komitmen untuk mencari kebenaran," ujarnya.

VIDEO BIADAP !!! Peniaga OPPO Low Yat Buat Hal LAGI !!!!!


* Menteri JPM, Joseph Kulut melawat booth Oppo. Betapa kurang ajarnya Cina ini. Bukan sahaja tidak mahu sambut salam pegawai / orang Melayu yang pakai songkok, malah ditamparnya tangan yang dihulurkan itu (atau cina tersebut ada alasan bertindak demikian). Insiden ini telah dirakamkan semasa lawatan Menteri JPM yang jaga Perpaduan dan disiarkan dalam News (Berita) TV.


Apa macam...? Lagi Melayu mau hormat mereka? Lagi mau kasi muka?* Menteri JPM, Joseph Kulut melawat booth Oppo. Betapa...
Posted by Bro Zaini on Tuesday, 21 July 2015

#1MDB : PANAS !!! The Edge Serah Dokumen Kepada Bank Negara


The Edge Media Group telah menyerahkan dokumen, e-mel bercetak dan cakera keras yang dimilikinya mengenai isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kepada Bank Negara.

Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Ho Kay Tat berkata bahan-bahan itu diserahkan semalam (Isnin).

"Hari ini, satu set (dokumen) yang serupa diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Polis.

"Saya juga beri kenyataan kepada CCID," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam kenyataan itu, beliau berkata: "Kami rasa selesa bila pelbagai badan penyiasat, Ketua Audit Negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Bank Negara, Polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) dan Peguam Negara telah memberikan komitmen mereka untuk mendedahkan kebenaran tanpa bimbang atau pilih kasih".

"Sesungguhnya, tanggungjawab dan tugas mereka kepada rakyat Malaysia semata-mata untuk melakukan itu. Sebagaimana tugas kami mencari berita," tambah beliau.

The Edge semalam menerbitkan artikel empat halaman mendakwa bahawa 1MDB dan rakan usaha samanya, PetroSaudi International, telah menipu Malaysia berbilion ringgit.

Dalam respons segera, 1MDB dalam satu kenyataan menyelar The Edge Financial Daily berhubung laporan itu dengan mengatakan bahawa ia "sudah lapuk, tidak berasas dan dikitar semula."

"Kami terkejut dengan dakwaan tidak berasas ini, dikitar semula sekali lagi, sedangkan pelbagai rupa siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa yang sah mengenai isu-isu yang ditimbulkan berkaitan urusan 1MDB.

Kementerian Dalam Negeri pada 1 Jun mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada The Edge berhubung laporan itu. - Bernama

Dakwaan Jatuhkan Kerajaan : Pihak Berkuasa Harus Bertindak - Pemuda Umno


Pemuda UMNO mahu pihak berkuasa segera mengambil tindakan sekiranya terbukti ada cubaan untuk menganggu-gugat kestabilan politik dan keamanan negara.

Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun berkata pihaknya memandang serius perkara itu kerana ia bukan sahaja membabitkan keamanan negara tetapi memberi kesan terhadap ekonomi negara dan rakyat.

"Sebab itu Pergerakan Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) memandang serius akan hal ini, dan sekiranya ada bukti pihak berkuasa jangan tunggu, segera ambil tindakan kerana ini akan menggugat kestabilan politik dan keamanan negara.

"Jangan berdolak-dalik, ini bukan soal Datuk Seri Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) atau soal mana-mana individu. Ini kestabilan politik negara dan juga keamanan negara. Pihak berkuasa jangan berdolak-dalik, ada bukti segera buat penahanan dan siasatan," katanya kepada pemberita pada majlis mesra Aidilfitri di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan mengenai cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dengan cara mewujudkan keadaan tidak stabil dalam negara dan menjejaskan keselamatan nasional.

Laporan menyebut bahawa pemimpin pembangkang telah mengadakan pertemuan dengan bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi) Xavier Andre Justo untuk membeli maklumat daripadanya bagi memburuk-burukkan kerajaan Malaysia.

Khairul Azwan juga turut menggesa pihak berkuasa menahan individu di belakang The Sarawak Report serta memulakan siasatan, dan bukan hanya setakat menyekat laman sesawang berkenaan.

"Untuk itu saya secara peribadi sekiranya terbukti Sarawak Report menipu, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan untuk tahan atau siasat mereka, bukan semata-mata sekat portal tersebut," katanya.

Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memutuskan untuk menyekat laman sesawang The Sarawak Report http://www.sarawakreport.org kerana ia didapati boleh mengganggu-gugat keselamatan negara.

SKMM dalam kenyataan berkata tindakan itu dibuat susulan maklumat dan aduan yang diterima daripada orang ramai bahawa laman sesawang itu telah memaparkan kandungan yang masih tidak dapat dipastikan kesahihannya dan sedang dalam siasatan.

#1MDB: 'Reman Pengarah Syarikat Dapat Kembalikan Keyakinan Rakyat' - @AzwanBro



Perintah reman Majistret Lau Eric di Mahkamah Majistret Putrajaya ke atas seorang pengarah sebuah syarikat swasta untuk membantu siasatan membabitkan akaun syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dapat membersihkan nama kepimpinan negara daripada kemelut isu berkenaan.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, penahanan individu berkenaan diharap dapat memberi lebih maklumat untuk merungkai pelbagai persoalan rakyat berkaitan 1MDB.

"Kita harap penahanan seseorang berkaitan siasatan petugas khas terhadap 1MDB dapat beri lebih maklumat untuk bersihkan nama kepimpinan negara.

"Selain itu ia dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan selain harapan agar semua tuduhan dan tohmahan boleh ditangani segera," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Khairul Azwan mengulas penahanan reman seorang pengarah sebuah syarikat swasta bagi membantu siasatan membabitkan akaun syarikat 1MDB.

Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek berusia 39 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kira-kira jam 1 petang pada Isnin oleh Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan untuk menyiasat 1MDB.

Dalam pada itu, Khairul Azwan berharap semua pihak dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan penyiasat agar kes dapat diselesaikan dengan segera.

Menurut sumber, permohonan reman suspek itu dipercayai bagi membantu siasatan mengenai dakwaan menerima rasuah bernilai RM5 juta.

Bernama pada Selasa melaporkan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu pemberita bahawa SPRM memohon perintah tahanan reman selama tujuh hari tetapi majistret hanya membenarkan empat hari.

Peguam itu berkata beliau tidak tahu sebab anak guamnya ditahan tetapi diberitahu bahawa ia adalah "siasatan atas kepentingan negara."

Tuesday, 14 July 2015

Peguam @azwanbro Hantar 'Letter Of Demand' Kepada @rafiziramli Angkara Fitnah



untuk makluman semua , petikan dari page facebook khairul azwan harun Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia.

Pada 8hb Julai 2015 saya telah membuat satu laporan polis terhadap ahli Parlimen Pandan YB Mohd Rafizi Ramli atas kenyataan beliau yang berbaur fitnah dengan mengaitkan saya kepada isu transaksi hartanah di Melbourne.

Bukan itu sahaja, peguam saya juga telah menghantar ‘letter of demand’ kepada Rafizi yang memberi tempoh sehingga 7 hari untuk dia memperbetulkan keadaan sama ada dengan menarik balik kenyataan atau memohon maaf atas kenyataan berbaur fitnah beliau terhadap saya. Sekiranya dia gagal berbuat demikian maka tindakan undang-undang akan diambil (saman).

Kebebasan bersuara itu bukanlah lesen untuk memfitnah. Saya sokong perbezaan pendapat dan percambahan idea namun budaya kotor seperti ini harus dicegah.

Pada pandangan aku, langkah yang di buat Naib Ketua Pumuda Umno Malaysia terhadap fitnah jahat lagi jijik dari Rafizi adalah tepat untuk mengajar perangai kaki fitnah seperti Rafizi dan puak pakatan rakyat. 

Seharusnya pemimpin-pemimpin Barisan Nasional mengambil langkah sama seperti Khairul Azwan ini, berani kerana benar , bukan jadi pengecut . 

Nukilan sedih TUN M Di Hari Lahirnya Ke 90


Nukilan berbentuk puisi ini tertera di bawahnya di mana ia ditulis pada hari kelahirannya yang ke-90 tahun (10 Julai 2015).

Negara-ku Malaysia, Tanahair-ku, Tanah di mana sembilan puluh tahun dahulu

Darah tumpah dan aku dilahir
Di lahir sebagai anak bangsa yang dijajah
Aku membesar mempertuankan orang asing
Terhina dan dihina
Bangsa yang serba kekurangan
Tinggal dipondok berbumbung atap nipah
Berdinding, berlantai kayu
Namun aku lebih bahagia dari ramai bangsaku
Mereka tinggal di pondok robek, tiris apabila hujan
Tanpa pili air tanpa lampu letrik
Anak mereka berkaki ayam, berkudis
Demam panas dan kadang-kadang meninggal
Aku survive, aku ke sekolah, aku ke universiti
Nasib aku lebih baik
Allah Subhanahu Wataala kesian kepada aku
Setelah dijajah oleh satu bangsa, dijajah pula oleh dua bangsa lagi

Aku bertanya akan bangsaku selalunya dijajah orangkah?
Alhamdullilah, berkat kesedaran, berkat perjuangan, berkat perpaduan

Bangsaku dibebas, merdeka
Apakah merdeka hanya bermakna tidak dijajah orang
Apakah merdeka bermakna terus merana
Tidak, tidak, tidak
Merdeka bermakna kemajuan
Kemajuan sehingga berdiri sama tinggi
Duduk sama rendah dengan bekas penjajah dan bangsa lain
Bahkan mungkin lebih tinggi
Politik yang menyelamat dahulu
Terus membela bangsa
Negara dibangun, bangsa dibangun, agama di muliakan
Kemudian…
Malang dan sedih,
Bangsa yang berjiwa kental, bersemangat besi
Diserang oleh nafsu dan perasaan tamak
Aku dapat apa dari kemerdekaan tanya mereka?
Mana bahagian aku?
Dan semangat pun menjadi luntur, tidak terdaya mengawal nafsu

Apa makna senang jika untuk mendapat sesuatu begitu susah
Dan nafsu dan perasaan tamak pun di peralat dan disogok oleh orang-orang politik dan orang kaya

Bangsa yang merdeka
Bangsa yang mulia
Sekarang sanggup menjual hak yang sedikit
Hak memilih, hak mengundi
Untuk mendapat kesenangan tanpa usaha, kesenangan yang sedikit

Maruah dijual
Bangsa dijual
Tanahair dijual
Segalanya dijual
Untuk nikmat yang tidak kekal, nikmat yang sementara yang sedikit sahaja

Politik yang menyelamat
Menjadi politik yang menghancur
Pemimpin semakin tamak
Untuk tempat dan kedudukan tinggi
Perbuatan yang haram dihalalkan
Nama ALLAH diperalatkan, dijual untuk nikmat yang sementara di dunia

Akan kembalikah bangsaku
Menjadi bangsa yang dijajah, dihina dan diperhambakan
Wahai bangsaku
Begitu mudahkah kamu lupa
Aku akan pergi tidak lama lagi
Dapatkah aku pejam mata dan hembus nafas terakhir
Kerana bangsaku
Negaraku
Masih mulia
Masih bermaruah
Masih dipandang tinggi
Atau mataku terbeliak
Nafasku tersesak, terhenti, kerana segala yang diperjuangkan luput ditelan nafsu

Ya ALLAH lindungilah bangsaku
Sedarkanlah mereka
Sedarkan mereka bahawa Engkau tidak akan mengubah nasib bangsa

Melainkan bangsa itu sendiri cuba mengubahnya
Mengubah sendiri, membendung nafsu
Kerana ALLAH
Kerana agama
Kerana bangsa
Kerana negara
Biarlah aku pergi
Mata terpejam rapat
Nafas perlahan berhenti…


TUN DR MAHATHIR MOHAMED
BEKAS PERDANA MENTERI MALAYSIA

POSTING PALING HOT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive