KENYATAAN MEDIA Y.A.BHG TUN ABDULLAH HAJI AHMAD BADAWI

Sejak dua tiga hari yang lepas, banyak berita diterbit mengenai 'buku Pak Lah'. Isu ini juga mendapat liputan luas dalam media sosial dengan pelbagai reaksi dan komen. Sebelum saya memberi apa-apa komen, mungkin saya perlu memberi sedikit penjelasan tentang buku tersebut.
Pertamanya, buku tersebut tidak ditulis oleh saya. Buku ini disusun oleh dua ahli akademik, James Chin dan Bridget Welsh, dengan memuatkan beberapa rencana oleh pelbagai penulis yang telah menyumbangkan tulisan masing-masing mengenai pentadbiran saya sebagai Perdana Menteri. Ada yang dikhabarkan positif dan banyak juga yang negatif dan kritikal.