SURAT TUN M KEPADA NIK AZIZ
Beberapa bloggers yang hadir hairan kerana Nik Aziz mengaitkan pelaksanaan hudud dengan Mageran (Majlis Gerakan Negara). Mageran di Kelantan pada 1977-78 adalah untuk menyelamatkan negeri itu yang dilanda sengketa politik. Ia bertujuan mententeramkan keadaan dan memulihkan pentadbiran sivil. Selepas reda, kuasa diberi semula kepada kerajaan pilihan rakyat untuk berfungsi. Mageran tidak ada kena mengena dengan hudud.
Dalam kempen pilihan raya, pemimpin Pas sering beri alasan bahawa perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad menentang pelaksanaan hudud. Mereka ulang-ulang kenyataan Nik Aziz yang takut Mageran dikenakan di Kelantan jika hudud dilaksanakan. Padahal Tun Dr Mahathir hanya memberi ingatan secara umum agar pelaksanaan hudud tidak sebabkan kekecohan, tetapi pemimpin Pas telah memutar belit dan mengaitkan kegagalan dan ketidaksediaan kerajaan negeri dengan kenyataan bekas perdana menteri itu.
Surat Tun Dr Mahathir bertarikh 8 Jun 1994 tidak langsung menyebut Mageran atau sebarang tindakan khusus terhadap mana-mana pemimpin Pas. Dalam suratnya, Tun Dr Mahathir menyatakan bahawa kerajaan Pusat akan berpandukan kaedah Islam dalam tindakannya, iaitu menjaga kepentingan ramai. Beliau menekankan perlunya kerajaan bertindak secara adil untuk mengelak berlakunya kezaliman dan huru-hara.
