
Campur tangan Rusia di Ukraine ketika negara itu terhimpit dalam krisis politik memburukkan lagi keadaan hingga negara jajahan Soviet itu terjerumus ke ambang perang.
Perdana Menteri sementara Ukraine, Arseniy Yatsenyuk menuduh Rusia mengisytiharkan perang ke atas negaranya selepas tentera Rusia ‘menakluki’ wilayah autonomi Crimea, sejak empat hari lalu.
Pada kejadian itu, sekumpulan lelaki bersenjata pro-Rusia lengkap berpakaian perang dilapor menawan Parlimen dengan menembak pintu kaca dan mengarahkan pengawal keselamatan meninggalkan premis itu sebelum mengibarkan bendera Rusia.
“Ini bukan satu ancaman, ini deklarasi perang. Kami menggesa Presiden Rusia Vladimir Putin menarik balik tentera mereka di sana. Kami memberi amaran, Ukraine kini di ambang kejatuhan jika Moscow tidak menarik tenteranya keluar,” kata Yatsenyuk.
Menteri Pertahanan sementara Ukraine, Igor Tenyukh memberitahu, Rusia menghantar 30 kenderaan perisai serta 6,000 tentera memasuki wilayah itu untuk membantu militan yang memihak kepada Rusia bagi mendapatkan kebebasan daripada pemimpin negara ini.
“Lebih 12 trak tentera membawa tentera, dua ambulans dan kenderaan bersenjatakan mesingan meluncur di jalan raya Sevastopol, pusat pentadbiran Crimea,” katanya.
Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) pula menggesa Rusia menghentikan aktiviti ketenteraan ke atas Ukraine selepas Putin mendapat kelulusan Parlimennya.
