Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyelar Pemuda Umno yang bertembung sehingga menyebabkan kekecohan dengan anggotanya di ibu negara hari ini.
“Budaya samseng dan Umno berpisah tiada. Nak hantar surat jemputan pun salah.
“Balas dengan hujah, bukan tumbukan,” katanya.
Suasana di PWTC tegang hari ini selepas sekumpulan anggota pemuda Umno menghalang rombongan Pemuda BERSATU (ARMADA) yang mahu menghantar undangan debat kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.
Dalam kekecohan itu, Ketua Penerangan ARMADA Ashraf Mustaqim mendakwa ditumbuk. Bagaimanapun Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Razlan Rafii yang turut hadir menafikan dakwaan itu.

