"Saya sentiasa bertaubat selepas menunaikan solat, sebanyak 10 kali atas apa jua kesilapan yang dilakukan saya." Demikian menurut Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria menjawab kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib semalam, yang turut meminta beliau bertaubat.
Menurutnya, setiap manusia sentiasa melakukan kesalahan dan dengan bertaubat, umat Islam tidak akan terus berada dalam dosa di atas kesilapan yang dilakukan.
Harussani, antara pemimpin agama yang mendapat perhatian dana arena politik tempatan khususnya berkaitan idea kerjasama politik Pas-Umno menambah, "jadi, saya hanya meminta (Naib Presiden PKR) Nurul Izzah bertaubat apabila melakukan kesalahan."
Katanya, orang Islam pasa masa kini hanya berjuang atas kepentingan politik dan saling menabur fitnah sehingga mewujudkan perpecahan dikalangan umat Islam.
"Perjuangan orang Islam terutamanya pemimpin sekarang lebih kepada kepentingan politik sendiri.
"Mereka jauh terpesong, mereka tidak mengikut ajaran Islam dan tidak mengikut sunnah Rasulullah," kata beliau kepada Sinar Harian Online.
Pagi semalam, Harun meminta Harussani turut bertaubat kerana didakwa tidak menyokong perjuangan Islam.
Kenyataan Harun itu dibuat ketika mengulas komen Harussani yang meminta Nurul Izzah bertaubat kerana mengeluarkan kenyataan tidak selari mengenai kebebasan agama.
"Bertaubat kalau dia (Nurul Izzah) buat salah besar... Tan Sri Harussani harus bertaubat juga kerana tidak menyokong perjuangan Islam. Dia juga harus bertaubat," katanya selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat di Kota Bharu semalam.
Harussani juga berkata, semua parti politik yang menggunakan Islam tidak akan disokongnya kerana perjuangan mereka tidak sejajar dengan konsep Islam.
Harussani menambah, teguran sering dibuat kepada semua orang Islam sejak beliau menjadi kadi lagi untuk mengembalikan mereka ke jalan yang benar.
"Dulu apabila saya menjadi kadi, saya sering menegur orang Islam yang melakukan kesilapan dan kembali ke jalan yang benar.
"Sejak lebih kurang 50 tahun lebih negara merdeka, setiap parti yang dikatakan membawakan ajaran Islam hanya tahu berkempen untuk parti.
"Melalui kempen mereka sering membuat fitnah, memaki hamun dan di rumah ibadat juga telah wujud perpecahan, adakah dengan cara ini kita nak tonjolkan Islam kepada masyarakat?" katanya.
No comments:
Post a Comment