Salam Sejahtera
Salam Kedah Aman Makmur
Negeri Kedah Serata Rata
1. Alhamdulillah, marilah kita panjatkan setinggi-tinggi pujian dan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinanNya, Majlis Graduasi dan Khatam Hafazan Al-Quran untuk para graduan lepasan Maahad Tahfiz Al-Quran Yayasan Islam Negeri Kedah bagi tahun 1435H/2014M berjaya diadakan dengan penuh istiadat pada pagi yang berbahagia ini.
Hadirin sekalian.
2. Manusia adalah makhluk pilihan Allah SWT yang memiliki potensi dan kemampuan yang begitu besar. Kekuatan pemikiran manusia merupakan salah satu keistimewaan yang membezakan manusia dengan makhluk yang lain. Dengan kekuatan pemikiran ia boleh menemukan dan menciptakan inovasi atau perkara-perkara baru dan kreativiti bagi memperbaiki taraf hidup dan tamadun mereka
3. Sejarah mencatatkan bahawa Islam telah mencapai zaman kegemilangan di zaman pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin di Madinah, zaman pemerintahan Umawi di Damsyik dan zaman kerajaan Abbasiyah di Bahgdad. Kerajaan-kerajaan ini menjalankan dasar Islam sebagai agama pembawa rahmat dan menyebarkan Islam sehingga dapat menguasai satu pertiga dunia yang meliputi Semenanjung Tanah Arab, Parsi, sebahagian Empayar Rom, Afrika Utara, Sepanyol, Perancis dan Turki.
4. Namun, kita berasa amat sedih, kerana kegemilangan Islam yang kita bangga-banggakan suatu masa dahulu hanya tinggal kenangan. Keadaan inilah yang membawa seorang pemikir Islam masa kini iaitu Profesor Dr Mahmoud Hamdi Zaqzuq dari Mesir menyifatkan umat Islam hari ini sebagai umat dilema dalam dunia yang penuh misteri dan beliau melontarkan pertanyaan seperti berikut, “Bagaimana perkara ini boleh terjadi kepada satu umat di mana kitab suci merekalah sejak awal-awal lagi menekankan arahan membaca, menggesa mencari ilmu dan sebagainya tetapi mereka menjadi umat yang ketinggalan?”
Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah SWT,
5. Sepertimana yang kita semua sedia maklum, dunia Islam suatu ketika dahulu pernah berbangga dengan lahirnya para cendekiawan hebat daripada umat Nabi Muhammad SAW seperti Ibnu Sina dan al-Khawarizmi dengan ilmu Sains dan Teknologinya; Ibnu Khaldun dengan ilmu Matematiknya; Ibnu Battuta dengan ilmu Geografi dan Pelayarannya dan ramai lagi yang tidak mampu untuk disebut semua nama dan kehebatan mereka di sini.
6. Malah, apa yang lebih membanggakan kita sebagai umat Islam ialah mereka ini bukan sahaja menguasai ilmu pengetahuan bahkan seorang huffaz atau penghafal al-Quran yang memahami isi kandungan al-Quran itu sendiri. Namun persoalannya adakah nama-nama agung ini hanya sekadar nama yang dikenang dalam lipatan sejarah dan gambar-gambar mereka ini tergantung di dinding perpustakaan atau dewan seminar untuk tatap?
7. Di dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW sendiri pernah melahirkan kebimbangan baginda sejak 1400 tahun yang lampau, bahawa suatu masa nanti jumlah umat Islam ramai tetapi keadaan mereka pada waktu itu seperti buih di lautan kerana lemah dan tidak berdaya saing. Oleh yang demikian, selari dengan peringatan Islam bahawa umat Islam adalah sebaik-baik umat, maka marilah kita berusaha mengembalikan hak-hak umat Islam yang telah hilang atau terlepas dari genggaman tangan umat Islam suatu ketika dahulu.
8. Salah seorang Tokoh Pemikir Islam, Malik bin Nabi pernah berkata: “Kemunduran yang dideritai oleh umat Islam hari ini bukan sebab agama yang mereka sedang anuti ini, tetapi ia adalah satu hukuman ke atas umatnya kerana meninggalkan Islam”.
9. Menyedari hakikat inilah, maka sejak beberapa tahun ini, Kerajaan Pusat telah meluluskan satu sistem yang menggabungkan di antara aliran akademik dan aliran tahfiz al-Quran di sekolah-sekolah menengah kebangsaan agama di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang dinamakan sistem ‘Ulul Albab’. Sistem ini bagi melahirkan generasi yang di dalam dada mereka bukan hanya terisi dengan ilmu-ilmu duniawi bahkan diterangi lagi dengan nur daripada al-Quran sebagai panduan hidup mereka.
10. Hasilnya, sistem yang sebenarnya telah lama dianjurkan di dalam Islam ini telah berjaya melonjakkan pencapaian sekolah-sekolah berteraskan tahfiz al-Quran ini setanding dengan sekolah-sekolah berasrama penuh yang lain yang terdapat di dalam negara kita.
Hadirin sekalian.
11. Tidak dapat dinafikan lagi sejak zaman berzaman, al-Quran adalah pencetus inovasi yang boleh menyinari kembali keagungan umat Nabi Muhammad SAW. Maka, apabila lahirnya generasi Ulul Albab yang diterapkan dengan ilmu al-Quran ini untuk negeri kita khususnya dan negara kita amnya maka kita akan dapat melihat para pemimpin dan ahli cerdik pandai masa depan.
12. Golongan ini bukan hanya berpendidikan malah mereka mempunyai asas kukuh dalam bidang al-Quran, ilmu pengetahuan yang luas dan pelbagai, mampu berfikir dan memerhati kejadian ciptaan Tuhan melalui mata hati dan akal yang tajam. Yang lebih penting, mereka sentiasa meyakini bahawa apa sahaja yang mereka lakukan di dalam kehidupan mereka sedang diperhatikan oleh Allah SWT.
13. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT tentang kehebatan al-Quran di dalam Surah al-Isra’ ayat 82 maksudnya: “Dan telah Kami turunkan Al-Quran yang menjadi ubat atau penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya.."
Hadirin sekalian,
14. Saya berasa amat bangga kerana di Kedah khususnya, kita dapat melihat institusi-institusi tahfiz ini tumbuh bagai cendawan di seluruh pelusuk negeri yang kita cintai ini sejak turun temurun. Kerajaan negeri juga tidak mahu melepaskan peluang untuk membela para pencinta kalam Allah ini dengan melaksanakan pelbagai inisiatif demi melihat al-Quran sentiasa di hati umat Islam khususnya rakyat negeri Kedah Darul Aman kerana kita semua memahami mereka inilah sebenarnya yang akan menyelamatkan umat secara umum dan ibu bapa mereka secara khusus.
15. Ini bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud; Sesiapa membaca al-Quran dan mengamalkan isinya, Allah akan memakaikan pada kedua orang tuanya di hari kiamat suatu mahkota yang sinarnya lebih bersinar daripada sinar matahari yang menembusi masuk ke dalam rumah sewaktu di dunia.
16. Maka, di bawah pengurusan Yayasan Islam Negeri Kedah kita telah memerah keringat agar diperkasakan Maahad Tahfiz Al-Quran Yayasan Islam Negeri Kedah ini dengan apa cara sekalipun sama ada perkara yang bersifat jasmani apa lagi yang melibatkan rohani.
17. Hasilnya, bagi melihat Maahad Tahfiz al-Quran di bawah kerajaan negeri ini berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan institusi-institusi yang sama di negara kita maka saya mencadangkan nama Maahad Tahfiz Al-Quran Yayasan Islam Negeri Kedah ditukar kepada Institut Al-Quran Negeri Kedah.
18. Sebagai institut, maka fungsinya akan diperluaskan dan tidak terbatas hanya kepada hafazan Al- Quran. Kemampuan para pelajar menghafal 30 juzuk Al-Quran adalah anugerah yang amat hebat daripada Allah Subhanahuwataala, dan saya amat yakin para pelajar mampu meneroka Al-Quran sedalam-dalamnya dengan memahami setiap kalam dan makna yang tersirat di dalamnya.
19. Oleh itu pengajian di Institut Al Quran Negeri Kedah di perkasakan lagi dengan penambahan subjek sains dalam Islam. Sains dan Islam memang tidak dapat dipisahkan. Hal ini disebabkan umat Islam disuruh Allah untuk mengkaji rahsia alam semesta secara sistematik.
20. Dalam Surah Al-Ghasiyah ayat 17 hingga 20, Allah menyatakan, “ Apakah mereka tidak melihat kepada unta bagaimana ia diciptakan. Dan langit bagaimana ia ditinggikan. Dan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan. Dan bumi bagaimana ia dihamparkan.”
21. Malah lebih daripada itu, Allah memuliakan golongan yang suka mengkaji alam dan menggelarkan mereka sebagai ulul albab. Dalam Surah Ali Imram ayat 190 hingga 191 Allah menjelaskan yang bermaksud, “ Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi ulul albab. (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri ataupun duduk ataupun dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi kemudian berkata, ‘ Wahai Tuhan kami, Kamu tidak menciptakan ini dengan sia-sia. Maha suci engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka”.
22. Ulul Albab ialah golongan yang menggunakan akal dengan sempurna untuk mengkaji sehingga mampu meletakkan segala perkara pada perspektifnya yang betul.
23. Ransangan daripada ayat-ayat ini dan lebih kurang 16 lagi ayat-ayat yang seumpamanya berjaya melahirkan ramai saintis daripada kalangan umat Islam. Malah sains moden tidak akan berkembang tanpa saintis-saintis beragama Islam ini.
24. Berhubungan dengan ini, Philip K. Haiti di dalam buku History of the Arabs telah menulis, “ Orang-orang Islam Sepanyol mengukir sejarah intelektual yang gilang-gemilang di zaman pertengahan Eropah. Antara abad kelapan dan ketiga belas, golongan ini membawa obor budaya dan tamadun ke seluruh dunia. Inilah sebenarnya yang menjadi pemangkin kepada arus kemodenan di Eropah”.
Hadirin yang dihormati,
25. Saya ingin membawa kepada firman Allah dalam Surah Fusilat ayat 53 yang bermaksud, “ Akan kami tunjukkan kepada mereka bukti-bukti kebenaran kami di segenap penjuru dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas kepada mereka bahawa Al- Quran itu benar”:
i) Al-Quran menyatakan bahawa langit dan bumi bercantum padu sebelum dipisahkan dalam bentuk yang kita lihat sekarang ini. Dengan lahirnya teori Big Bang pada abad dua puluh terbukti kebenaran kenyataan ini;
ii) Al-Quran juga menyatakan langit dan bumi lahir daripada asap atau dukhan. Saintis telah mengesahkan bumi serta objek-objek di langit lahir daripada gumpalan asap raksasa yang didominasi oleh gas hidrogen dan helium; dan
iii) Al-Quran juga menyatakan antara langit dan bumi wujud ruang yang memisahkan antara kedua-duanya. Penemuan interstellar dan dark matter mengesahkan kebenaran kenyataan ini.
26. Oleh itu saya berpendapat amat tepat pada masanya dan sangat wajar Institut Al-Quran Negeri Kedah memperkenalkan pengajaran sains dalam Islam supaya banyak lagi khazanah yang tersembunyi di dalam Al-Quran dapat diteroka dan digunakan untuk faedah manusia sejagat.
Para hadirin sekalian yang dihormati,
27. Allahyarham Dato' Haji Ismail bin Hashim dan Dato’ Haji Abdul Ghani bin Abdullah telah memahatkan nama sebagai Johan Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa Tilawah Al-Quran dan mereka berdua adalah kebanggaan rakyat negeri Kedah. Sudah terlalu lama Negeri Kedah tiada pengganti kepada mereka berdua. Telah sekian lama Negeri Kedah tidak memenangi Tilawah Al-Quran di Peringkat Kebangsaan.
28. Saya menyambut baik langkah Yayasan Islam Negeri Kedah mengadakan Akademi Taranum Al Quran. Saya menyarankan Institut Al Quran Negeri Kedah juga dijadikan pusat akedemi taranum al Quran dengan penyertaan terbuka kepada seluruh rakyat negeri Kedah bagi melahirkan bakal-bakal qari dan qariah yang terbaik di peringkat negara.
Hadirin sekalian.
29. Sebenarnya, untuk melahirkan generasi seperti para graduan yang kita raikan pada hari ini bukanlah suatu perkara yang mudah. Saya yakin dan percaya bermula dari peringkat diri graduan tersebut, ibubapa, para pensyarah, para pegawai Yayasan Islam Negeri Kedah dan semua mereka yang terlibat dalam pembikinan generasi ini pasti telah banyak menitiskan air mata dan keringat demi melihat mukjizat Nabi Muhammad SAW yang makin ditinggalkan ini berada di tempat yang sepatutnya.
30. Sewaktu remaja yang seusia dengan para graduan ini bersuka ria dengan aktiviti-aktiviti yang melalaikan, mereka pula dengan penuh kepayahan dan keletihan memerah segala kudrat yang ada untuk menghafaz kalam Allah SWT Yang Maha Suci ini demi melihat ianya terpelihara seperti ia mula-mula diturunkan kepada manusia.
31. Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Kedah juga amat berharap jika selama ini kita hanya berprasangka mereka yang menceburi bidang al-Quran hanya mampu duduk di masjid-masjid dan surau-surau atau berceramah dan berforum semata-mata tetapi pada hari ini semua kita perlu melakukan perubahan dengan memikirkan sesuatu yang luar daripada kotak pemikiran biasa.
32. Allah SWT sentiasa menyarankan supaya dilakukan perubahan baik untuk diri sendiri dan umat amnya. Firman Allah SWT di dalam al-Quran maksudnya : “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri..”
33. Saya menyarankan supaya satu kerjasama atau koloborasi perlu diwujudkan oleh Institut Al Quran Negeri Kedah dengan pusat-pusat pengajian awam di negara ini. Kerjasama yang melibatkan penerimaan pelajar Institut Al Quran Negeri Kedah untuk menyambung pengajian dalam bidang profesional seperti kejuruteraan, perakaunan dan sebagainya.
34. Perkara ini boleh dilaksanakan dengan memperkenalkan beberapa subjek teras seperti fizik, metametik tambahan, perakaunan, bahasa inggeris sebagainya yang kemudiannya boleh dipindah kredit bila menyambung pengajian di peringkat ijazah. Saya dimaklumkan bahawa pada masa kini Institut Al Quran Negeri Kedah sedang berkerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dalam bidang pengajian kenegaraan.
35. Sekiranya ini dapat dilaksanakan, dapat direalisasikan, dan pelajar lepasan Institut Al Quran Negeri Kedah dapat menyambung pengajian di peringkat ijazah dalam bidang kejuteraan, perakauanan dan sebagainya, Insya Allah akan ada golongan professional yang terdiri daripada huffaz.
36. Alangkah bertuahnya negeri ini dan negara ini jika ramai di kalangan professional terdiri dari kalangan huffaz. Tentunya segala perancangan dan kerja buat kita senantiasa dalam bimbingan Allah jua.
Hadirin sekalian,
37. Kepada para graduan, jika kita mengimbau kembali titik permulaan kita menempuh jalan yang kita pilih ini sudah pasti banyak yang menyakitkan. Oleh yang demikian, ubatnya di dunia kita akan sampaikan pada hari ini iaitu segulung sijil khatam hafazan al-Quran 30 juzu’. Walaubagaimanapun, sijil ini hanya ubat yang bersifat sementara. Ubat yang paling ampuh dan berkesan adalah apabila kita dapat terus mempertahankan al-Quran yang ada di dalam dada kita sehingga kita pergi bertemu dengan Allah SWT kelak.
38. Kepada para ibubapa, hargailah anak-anak yang berharga ini. Peluang dan anugerah ini tidak akan datang buat kali kedua jika kita mengabaikan mereka. Sedaya upaya yang boleh, sediakanlah dana untuk mereka meneruskan perjuangan ke peringkat yang seterusnya. Tahniah dan syabas saya ucapkan kerana telah berjaya memiliki harta yang paling berharga dari harta dunia dan seisinya.
39. Kepada para pensyarah dan pegawai Yayasan Islam Negeri Kedah dan kepada semua yang terlibat, berbanggalah kalian kerana telah mempunyai bekalan untuk dibawa bersama sewaktu bertemu dengan Allah SWT nanti iaitu ilmu yang dimanfaatkan dan perkhidmatan yang baik yang pernah diberikan kepada para graduan ini yang Insya Allah, pahala kebaikan mereka juga kita turut merasainya.
Hadirin sekalian,
40. Akhir sekali, saya sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang telah terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam usaha menjayakan majlis yang penuh gilang gemilang pada kali ini. Hanya Allah SWT sahajalah yang mampu membalasnya.
41. Sekian. Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment