sahabat-sahabat APJ

t.kasih sahabat-sahabat,jom follow

Monday, 9 February 2015

TUN M Rasmi Muzium 3D Langkawi


LANGKAWI - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini merasmikan Muzium 3D Art of Paradise Langkawi yang merupakan muzium seni tiga dimensi yang kedua terbesar di dunia.

Terletak di Oriental Village, muzium yang memiliki keluasan ruang pameran hampir 2,000 meter persegi dalam bangunan tiga tingkat, terbahagi kepada sembilan zon yang meliputi ilusi optik, akuarium, safari, interaktif 1 dan 2, fantasi, klasik, zon tema Mesir, istana lama dan pemandangan serta zon Malaysia.

Muzium yang mendapat pengikitirafan sebagai muzium terbesar seumpamanya itu oleh Malaysian Book of Records mempamerkan lebih 100 buah lukisan besar tiga dimensi yang dihasilkan 23 orang pelukis pakar dari Korea dengan kerjasama pelukis tempatan.

Bercakap kepada media selepas majlis itu, Dr Mahathir menyifatkan muzium itu sebagai satu kejayaan baharu untuk mempromosikan aktiviti pelancongan khususnya di Oriental Village, di mana terletaknya perkhidmatan kereta kabel yang begitu popular dalam kalangan pelancong.



"Sementara menunggu giliran (untuk menaiki kereta kabel), maka dia (pengunjung) boleh pergi melihat bermacam-macam pertunjukan (seni 3D) yang ada di sini," katanya.

Semasa berucap di majlis perasmian itu, Dr Mahathir yang juga penasihat Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) berkata kejayaan yang dicapai industri pelancongan Malaysia adalah hasil dari penciptaan produk yang dapat menarik pengunjung ke negara ini.

Katanya Malaysia tidak mempunyai tamadun lama terkenal seperti di Mesir yang dapat menarik ramai pelancong, namun kebolehan mencipta produk pelancongan unik
telah menjadikan negara ini antara destinasi pelancongan utama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lada, Tan Sri Khalid Ramli berkata projek Muzium 3D itu telah mengambil masa hanya lima bulan untuk disiapkan dan telah mulai dibuka kepada orang ramai bermula 31 Jan lepas.

Menurutnya Lada juga sedang berusaha untuk membina sebuah muzium coklat selain menambahkan aktiviti rekreasi lain di kawasan Oriental Village yang telah berjaya menarik kira-kira 1.5 juta orang pengunjung tahun lepas. - Bernama

No comments:

POSTING PALING HOT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive