sahabat-sahabat APJ

t.kasih sahabat-sahabat,jom follow

Tuesday, 11 September 2012

PANAS!!!! BUKTI ANWAR PUNCA MESIR HANCUR???



Belum pun reda gelombang di Mesir, kini bangkit pula rakyat di Yaman dan Algeria. Demikian fenomena demonstrasi yang muncul di sana-sini seiring dengan berkobarnya fitnah akhir zaman sebagaimana banyak dikhabarkan dalam hadis-hadis Nabi.

Seruan-seruan demonstrasi ini bukanlah suatu yang lahir daripada anjuran sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sedikit pun. Tidak pula dianjurkan oleh para sahabat dan ulama yang mengikuti mereka dengan baik. Sebaliknya ia muncul melalui idea dan tangan-tangan ghaib golongan kuffar dan ahli bid’ah, lalu ia dihias menggunakan slogan “Keamanan”, “Kebebasan Bersuara” dan “Keadilan Sejagat” sehingga umat Islam pun ramai yang terpesona lalu terpedaya.

Di ketika masyarakat sedang marah dan emosi, seruan tersebut datang dihambur massa tepat mengena sasarannya. Menjadikan masyarakat hilang pertimbangan lantas turun ke jalan-jalan! Demikianlah apabila agama ditancapkan di atas paksi emosi berkiblatkan ideologi kuffar dan ahli bid’ah. Hadis-hadis Nabi tidak lagi dibaca melainkan dicari bagi tujuan menghalalkan cara melepaskan dendam amarah.

Hari ini, mereka yang berdegil menghalalkan demonstrasi jalanan ini berdalih dengan slogan “Demonstrasi Aman” pula. Ironinya, apakah spesifikasi aman yang mereka maksudkan? Dan dari manakah mereka mengambil definisi tersebut?

Apakah dengan menjadikan lumpuhnya sistem pentadbiran sesebuah negara itu boleh dikatakan aman? Kehidupan masyarakat awam terganggu, ketakutan menghantui, perintah darurat dikuat-kuasakan, jenayah berlaku di sana sini, pergaduhan dan pembunuhan berlaku tanpa kawalan, gejala ikhtilath (percampuran lelaki dengan perempuan) dan budaya menjerit-jerit berlaku dalam kalangan para pendemonstrasi, rusuhan dan kerosakan harta-benda tidak lagi dapat dielakkan, trauma dan gangguan emosi menyerang sebahagian masyarakat, sehingga sebahagian besar pelajar kita sendiri terpaksa dipindahkan dengan belanja yang bukan sedikit. Inikah yang mahu dikatakan aman?

Sedangkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

“Seseorang Muslim (yang sempurna keislamannya) ialah apabila Muslim yang lain selamat dari keburukan lidah dan tangannya.” (Hadis Riwayat Muslim, 1/149, no. 58)

Kebutaan dan kejahilan apakah yang menutupi mata dan hati-hati mereka sehingga gagal melihat kemudharatan yang menimpa ini? Inikah pembaharuan yang diperjuangkan sehingga mengusahakan menolak mudharat dengan mudharat yang lain?

Ada pula di antara mereka yang menggelarkannya sebagai aksi jihad dan kematian yang diraih adalah syahid! Subhanallah, bendera jihad mana yang mereka perjuangkan? Adakah perbuatan yang begitu jauh dari nilai-nilai agama ini dianggap jihad manakala matinya dianggap syahid? Hala-tujunya di sisi agama sendiri tidak jelas sama-sekali! Mereka keluar atas dasar kemarahan sedangkan kesatuan mereka atas nama agama (tauhid) begitu rapuh lagi terpinggir. Mereka menyatakan sebagai menuntut hak, tetapi dalam masa sama mereka sendiri melupakan hak-hak Allah dan hak-hak manusia yang lainnya.

Imam al-Qadhi ‘Iyadh rahimahullah (Wafat: 544H) ada menyebutkan sebahagian adab dan prinsip mengubah kemungkaran secara umum. Beliau berkata, “Dalam mengubah kemungkaran, seseorang hendaklah dengan sedaya upaya berlemah-lembut terhadap orang yang jahil serta terhadap orang yang bersifat kuku besi dan zalim, di mana sangat dibimbangi kejahatannya yang mampu membahayakan. Kerana dengan cara lemah-lembutlah sebuah amar ma’ruf nahi mungkar (atau teguran) lebih mudah untuk diterima. Begitu juga teguran terhadap kemungkaran yang dilakukan oleh mereka yang berkedudukan.”

Beliau berkata lagi, “Selain itu, pada keadaan tertentu, mengubah kemungkaran juga diperlukan dengan tangan jika pelaku tersebut berterusan dalam kesesatan dan kezaliman. Tetapi sekiranya dia yakin bahawa mengubah kemungkaran dengan tangan dapat menyebabkan kemungkaran yang lebih dahsyat lagi seperti kematiannya atau terbunuhnya orang lain, maka dia wajib menahan tangannya dan cukup sekadar dengan lisan atau peringatan. Selain itu, jika perkara yang sama juga dijangkakan berlaku (mengganggu keselamatan diri dan orang lain), maka cukup untuk dia mengubah kemungkaran dengan hatinya.” (Syarah Shahih Muslim, 2/25)

Demikianlah kaedah yang didukung oleh para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah dalam melaksanakan tanggungjawab amar ma’ruf nahi mungkar secara umum. Iaitu dengan mengharapkan kebaikan (kemaslahatan) dan dengan sedaya-upaya mengelakkan keburukan yang lain pula dari timbul. Tetapi apa yang berlaku hari ini, sebahagian dari kita sanggup melakukan apa sahaja demi memuaskan nafsu kemarahan sendiri tanpa mempedulikan keselamatan dan nyawa orang lain. Sudahlah tidak mempedulikan orang lain, menggadaikan pula prinsip-prinsip agama. Fahamilah bahawa niat untuk meraih kebaikan, sama sekali tidak boleh dijadikan sebagai hujjah untuk menghalalkan cara dan tindakan.

Lebih-lebih lagi, Islam telah menggariskan kaedah dan prinsip bagaimana untuk bermu’amalah terhadap para pemerintah yang kita duduk di bawah naungannya sama ada mereka ini adil mahupun sebaliknya.

Walaupun di sana terdapat sebilangan ulama yang berpendapat bahawa pemerintah yang zalim dan tidak mempedulikan peringatan boleh dilucutkan jawatannya, tetapi perkara ini perlu diperhalusi dengan baik. Ini antaranya sebagaimana perkataan Imam al-Haramain, “Apabila kejahatan dan kezaliman seseorang pemimpin negara bermaharaja-lela, dan ia tidak mengendahkan sebarang peringatan dan nasihat, maka Ahlu Hal wa al-‘Aqd (para ulama dari kalangan syura) berhak untuk melucutkannya walaupun akan menimbulkan kekacauan.” Tetapi perkataan ini dikritik oleh Imam an-Nawawi rahimahullah dengan katanya, “Pendapat yang disebutkan oleh imam al-Haramain berkenaan melucutkan jawatan seseorang pemimpin adalah pendapat yang gharib (asing). Sebab masih ada cara lain untuk mengubahnya yang tidak menimbulkan kerosakan (mafsadah) yang lebih besar padanya.” (Syarah Shahih Muslim, 2/25-26)

Al-Hafiz Ibnu Hajar juga turut menukilkan perkataan Imam ad-Dawudi, “Yang menjadi kewajiban ulama kepada para pemimpin yang zalim sekiranya ia mampu untuk melucutkannya dari kedudukannya tanpa menimbulkan fitnah dan kezaliman, maka ia wajib melakukannya. Sebaliknya, sekiranya tidak mampu, maka wajib untuk bersabar.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 13/8)

Dari perkataan sebahagian ulama tersebut dapat kita lihat bahawa mereka yang dibenarkan untuk melucutkan jawatan pemerintah adalah para ulama (dari kalangan ahli syura). Ini turut disebutkan oleh Imam al-Mawardi dalam al-Ahkam as-Sultaniyah dan al-Qurthubi dalam Tafsirnya. Sama-sekali ia bukan bidang tugas orang awam. Tindakan ini dilakukan dengan jalan teguran dan nasihat berdasarkan kemampuan dan kerelaan pemerintah secara aman, iaitu tanpa menimbulkan fitnah serta huru-hara. Sekiranya pemimpin tetap berkeras untuk tidak meletakkan jawatannya, maka para rakyat tetap perlu bersabar dan bersikap taat selagi mana pemerintah tersebut tetap melaksanakan syi’ar solat dan menzahirkan keislamannya biarpun ia bersikap zalim dan fasiq.

Demikianlah padangan para ulama yang teguh dalam melazimi al-Qur’an dan as-Sunnah di atas manhaj salaf dengan mendahulukan kemaslahatan berbanding kemudharatan. Iaitu bukan dengan betindak keluar ke jalan-jalan melakukan demonstrasi bersama slogan-slogan pembakar emosi, cacian, dan makian. Tidak juga menyeru untuk berdemonstrasi bersama-sama kaum wanita sehingga timbulnya ikhtilath, juga bersama-sama orang awam dan kaum kuffar yang mengakibatkan timbulnya pelbagai mudharat serta kekacauan.

Dalam soal ketaatan terhadap pemerintah ini sama ada yang adil atau yang fasiq, tidak sedikit perkataan para ulama yang menegaskan berlangsungnya ijma’ (kesepakatan ahlus sunnah wal-jama’ah). Ini antaranya sebagaimana dinukilkan oleh Imam an-Nawawi rahimahullah dengan katanya, “Ahlus Sunnah telah sepakat (ijma’) bahawa seseorang pemimpin itu tidak boleh dilucutkan kerana sebab kefasikannya. Adapun pendapat yang disebutkan dalam kitab-kitab fiqh oleh (sebahagian) dari sahabat kami bahawa pemimpin itu boleh dilucutkan, begitu juga dengan pendapat kelompok muktazilah, maka pendapat tersebut adalah salah (keliru), kerana ianya bertentangan dengan ijma’. Para ulama mengatakan, “Adapun sebab dipertahankannya seseorang pemimpin dan pengharaman pemberontakan (khuruj) kepadanya adalah dibimbangi akan timbul pelbagai fitnah disebabkan perbuatan tersebut, pertumpahan darah, dan rosaknya hubungan di kalangan masyarakat.” Dengan perbuatan tersebut, kerosakan yang sangat besar akan muncul akibat melucutkan pemimpin, daripada sekiranya pemimpin tetap meneruskan kepimpinannya.” (Syarah Shahih Muslim, 12/229)

Penegasan ijma’ seperti ini turut dinukilkan daripada perkataan Imam Ibnu Baththal, al-Qadhi ‘Iyadh, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Katsir, dan al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani.

Mereka menjelaskan bahawa ijma’ ini ditetapkan pada fasa tabi’in setelah berlakunya pelbagai peristiwa fitnah pemberontakan di era sahabat dan tabi’in. Ini adalah seperti yang banyak berlaku di era pentadbiran Khalifah ‘Ali radhiyallahu ‘anhu, Yazid B. Mu’awiyah, Abdul Malik B. Marwan, al-Hajjaj B. Yusuf at-Tsaqafi, dan ‘Abdulah B. Az-Zubair.

Kata al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah, “Sebagaimana yang diriwayatkan berkenaan pendapat yang menyatakan bolehnya keluar (khuruj) mengangkat pedang (senjata) terhadap para pemimpin yang zalim (tirani). Maka, ini adalah mazhab salaf qadim (mazhab sebahagian orang-orang salaf terdahulu dari minoriti sahabat dan tabi’in). Akan tetapi, kemudiannya ada sebuah ketetapan untuk meninggalkan perkara (kefahaman) tersebut, kerana ia menimbulkan kesan yang jauh lebih buruk. Apa yang terjadi dalam peristiwa al-Harrah dan Ibnu al-Asy’ats menjadi pengajaran yang baik bagi mereka yang mahu mengambil pelajaran.” (Ibnu Hajar, Tahdzibut Tahdzib, 2/250)

Dan dalam masa yang sama, kesepakatan ini diikat pula dengan banyaknya hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang bersifat khusus dalam persoalan bermu’amalah terhadap pemerintah di mana hadis-hadis tersebut memerintahkan kita selaku umat yang beriman untuk menasihati dengan cara yang benar jika mampu, atau megambil sikap sabar. Lebih-lebih lagi, fenomena ini adalah sebahagian dari tanda-tanda fitnah akhir zaman yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Antaranya beliau pernah bersabda:

إِنَّكُمْ سَتَلْقَوْنَ بَعْدِي أَثَرَةً فَاصْبِرُوا حَتَّى تَلْقَوْنِي عَلَى الْحَوْضِ

“Bahawasanya kamu nanti akan menemui para pemimpin yang tidak memenuhi amanah (kerana mementingkan diri). Maka bersabarlah sehingga kamu menemuiku di haudh (sebuah telaga di Syurga).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 13/224, no. 3985. Muslim, 5/291, no. 1758)

Imam an-Nawawi rahimahullah menegaskan dengan katanya, “Dalam hadis ini mengandungi anjuran untuk mendengar dan taat kepada pemerintah, walaupun ia seorang yang zalim dan mementingkan diri. Maka berikanlah haknya (sebagai pemimpin) iaitu berbentuk ketaatan, tidak keluar dari mentaatinya, dan tidak menjatuhkannya. Tetapi perbuatan yang perlu dilakukan oleh seseorang muslim adalah bersungguh-sungguh mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala supaya Dia menghilangkan gangguan (siksaan) darinya, menolak kejahatannya, dan supaya Allah memperbaikinya (kembali taat kepada Allah dengan meninggalkan kezalimannya).” (Syarah Shahih Muslim, 12/232)

Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga mengkhabarkan dengan sabdanya:

إِنَّهُ يُسْتَعْمَلُ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ فَتَعْرِفُونَ وَتُنْكِرُونَ فَمَنْ كَرِهَ فَقَدْ بَرِئَ وَمَنْ أَنْكَرَ فَقَدْ سَلِمَ وَلَكِنْ مَنْ رَضِيَ وَتَابَعَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلَا نُقَاتِلُهُمْ قَالَ لَا مَا صَلَّوْا أَيْ مَنْ كَرِهَ بِقَلْبِهِ وَأَنْكَرَ بِقَلْبِهِ


“Akan diangkat nanti para penguasa untuk kamu. Di mana kamu mengenalinya dan kemudian engkau mengingkarinya (kerana ia telah melakukan maksiat). Sesiapa yang benci, maka ia telah berlepas diri. Sesiapa yang mengingkari (maksiatnya), benar-benar ia telah selamat. Akan tetapi, sebaliknya pula kepada mereka yang redha dan patuh kepada keburukan pemimpin tersebut (dia tidak akan selamat)”. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah kami boleh menentangnya?”. Beliau menjawab, “Tidak, selagi mereka masih melaksanakan solat”. Iaitu sesiapa yang membenci dan mengingkari dengan hatinya.” (Hadis Riwayat Muslim, 9/401, no. 3446)

Imam asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204) menegaskan melalui katanya, “Dan hendaklah kamu tetap mendengar (tidak melepaskan ketaatan) kepada pemerintah (ulil amri) selagi mana mereka masih melaksanakan solat dan hendaklah memberi kesetiaan kepada mereka serta tidak khuruj dengan pedang (menjadi pemberontak) terhadap mereka.” (as-Suyuthi, al-Amru bil Ittiba’ wan Nahi ‘anil Ibtida’, m/s. 313, Tahqiq Masyhur Hasan Salman – Daar Ibnul Qayyim)

Hadis ini memberi kefahaman bahawa suatu masa nanti akan berlaku pengangkatan kepimpinan yang dibenci di kalangan umat Islam. Keduanya, hadis ini memberi indikasi bahawa sesebuah pemerintahan Islam itu tidak tergugur selagi mana syi’ar solat ditegakkan, walaupun padanya terdapat beberapa bentuk kemungkaran dan kefasikan. Ketiganya, hadis ini membatalkan sebahagian pandangan yang menyatakan bolehnya menzahirkan penentangan, kepembangkangan, dan menafikan hak kepimpinan bagi sesebuah negara disebabkan kelemahan tertentu, serta gagal melaksanakan perundangan syari’ah seperti hudud dan qishash. Manakala sebahagian pandangan yang lain ada yang menafikan keabsahan kepimpinan sesebuah negara semata-mata tidak ditegakkan Daulah Khilafah padanya. Pandangan tersasar dan simplistik ini sebenarnya mendekati ciri-ciri kelompok sesat Khawarij, Syi’ah, dan Mu’tazilah pada era awal Islam.

Dari itu, setiap apa yang berlaku sama ada fitnah atau ujian perlulah disikapi dan ditangani dengan berpandukan pedoman wahyu. Bukan ditangani dengan sikap emosi dan kemarahan membelakangi garis panduan anjuran sunnah sehingga menimbulkan fitnah dan keburukan kedua, ketiga, dan seterusnya yang lebih parah.

Bahkan para ulama telah berpesan bahawa setiap apa yang berlaku dari kalangan para pemimpin berupa keadilan atau sebaliknya (ketidak-adilan), ia adalah sebahagian timbal-balas dan cerminan terhadap masyarakat itu sendiri. Secara umumnya, masyarakat Islam menuntut supaya diadakan seorang pemimpin yang baik lagi adil, tetapi dalam masa sama mereka sendiri jauh dari nilai-nilai agama dan banyak mengabaikan tanggungjawab terhadap Allah. Sehingga tidak asing lagi kalau kita melihat banyaknya maksiat yang mereka lakukan tanpa segan silu, penipuan dalam perniagaan, bergelumang dengan riba', melazimi cara hidup kaum kuffar dan gemar mengikuti ideologi mereka (tasyabbuh), meremehkan solat, melakukan pelbagai bentuk ajaran bid’ah dalam agama, melazimi kesyirikan dan pelbagai lagi lainnya. Demikianlah sebahagian dari bentuk-bentuk amalan yang disemarakkan oleh sebahagian besar masyarakat Islam hari ini secara umum. Maka tidak hairan jika pelbagai fitnah dan musibah melanda sebagai ujian dan peringatan. Demikianlah sebahagian akibat hasil usaha tangan-tangan mereka sendiri.

Oleh sebab itulah apabila fitnah dan musibah datang melanda, para ulama ahlus sunnah wal-jama'ah bangkit mengingatkan umat (rakyat dan pemerintah) supaya segera kembali bertaubat, banyak mengingati Allah, bersungguh-sungguh dalam memurnikan ibadah, dan berdoa. Antaranya sebagaimana disebutkan oleh Imam an-Nawawi di atas tadi.

Prinsip ini dikuatkan lagi dengan penegasan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah dengan katanya, “Aku telah menyebutkan di tempat (perbahasan) yang lain bahawa punca kepada masalah yang berlaku kepada penguasa, kemudian para menterinya, hakim-hakimnya, dan para panglimanya bukan hanya perlu dilihat dari kekurangan pada diri mereka sahaja, akan tetapi kerana kekurangan para pemimpin dan rakyat sekaligus, kerana sebagaimana keadaan kamu, maka begitulah akan dijadikan pemimpin untuk kamu. Allah Ta’ala berfirman, “Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman (pemimpin) bagi sebahagian yang lain.” (Surah al-An’am, 6: 129).” (Majmu’ al-Fatawa, 35/20)

Syaikh ‘Abdurrahman B. Nashir as-Sa’di rahimahullah menjelaskan ketika mentafsirkan surah al-An’am pada ayat 129 tersebut dengan katanya, “... sebagaimana para hamba (masyarakat) itu jika baik dan istiqamah berada di atas jalan yang benar, maka Allah memperbaiki pemimpin mereka, iaitu menjadikan untuk mereka pemimpin-pemimpin yang bersikap adil dan insaf. Bukan yang zalim lagi jahat.” (‘Abdurrahman B. Nashir as-Sa’di, Taisir Karimir Rahman fii Tafsir Kalam al-Mannan, 1/273)

Demikianlah yang dapat kita lihat berlaku dari kalangan para peserta demonstrasi, mereka mahukan keadilan dan agama ditegakkan. Tetapi, mereka sendiri tidak menegakkan agama yang benar dalam diri-diri mereka. Sebaliknya mereka mengabaikan sekian banyak peringatan dan hukum-hukum Allah terhadap diri-diri mereka. Siapa yang tidak tahu bahawa perbuatan menyembah dan bertawassul terhadap kuburan para imam (ulama) begitu berleluasa di bumi Mesir? Sehingga bukan sedikit kubur yang padanya didirikan tempat (rumah) untuk beribadah dan memohon hajat. Pelbagai amalan tarekat dan kesufian penuh khurafat dibiarkan tumbuh subur. Didukung pula oleh tokoh-tokoh ulama mereka dan masyarakat di sana. Bukankah kesyirikan adalah sebesar-besar kezaliman? Kenapa tidak mereka banteras dengan bersungguh-sungguh?

Atas sebab itulah, fitnah demonstrasi dan fenomena pemerintahan kuku besi yang akhir-akhir ini dikhabarkan begitu banyak berlaku di sana sini, terutamanya di negara-negara Islam adalah suatu yang perlu diinsafi. Inilah waktu untuk kita semua sama ada masyarakat awam, penuntut ilmu, para pengkaji, serta barisan pemimpin umat Islam untuk sama-sama bermuhasabah. Berusaha bersungguh-sungguh menghadapinya dengan perasaan penuh insaf mengembalikannya kepada al-Qur’an dan as-Sunnah. Iaitu dengan segera kembali memurnikan ketaatan kepada Allah dan bertaubat. Kerana kemuliaan itu hanya ada bersama agama yang benar. Bukan dengan emosi kemarahan yang miskin dari nilai-nilai ilmu.

Iaitu bukan juga bertindak agresif melawan ketentuan Allah dengan kezaliman dan siri-siri maksiat seterusnya. Bukan pula dengan mencari-cari dalil menghalalkan tindakan demonstrasi yang menyanggahi pedoman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Sehingga hadis berkaitan isu mu’amalah dan pertengkaran sesama jiran pun dikaut selagi boleh untuk menidakkan sekian banyak hadis-hadis yang bersifat khusus dalam soal bagaimana seharuskan bersikap terhadap pemerintah.

Hadis yang dimaksudkan telah dimanipulasi oleh sebahagian pihak tersebut adalah (maksudnya):

قال رجل يا رسول الله، إن لي جاراً يؤذيني، فقال: "انطلق. فأخرج متاعك إلى الطريق". فانطلق فأخرج متاعه، فاجتمع الناس عليه، فقالوا: ما شأنك؟ قال: لي جار يؤذيني، فذكرت للنبي صلى الله عليه وسلم فقال: "انطلق. فاخرج متاعك إلى الطريق" فجعلوا يقولون: اللهم! العنه، اللهمّ أخزه. فبلغه، فأتاه فقال: ارجع إلى منزلك، فوالله لا أوذيك.

Seorang lelaki datang mengadu kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya jiranku menyakitiku.” Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Pulanglah, dan keluarkan barang-barang kamu serta letakkannya di jalan.” Maka lelaki itu pun pulang dan mengambil barang-barangnya lalu meletakannya di jalan. Maka orang ramai pun berkumpul di sekitarnya sambil bertanya, “Apa yang berlaku kepadamu?” Dia menjawab, “Jiranku menyakitiku lalu aku ceritakannya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Beliau pun berkata, “Pulanglah, dan keluarkan barang-barang kamu serta letakkannya di jalan.”” Maka mereka (orang-orang di situ) pun berkata, “Ya Allah laknatilah dan hinalah dia.” Rupanya dalam masa yang sama perkara tersebut didengari oleh jirannya tersebut. Maka ia pun segera menemuinya dan berkata, “Kembalilah ke rumahmu, demi Allah aku tidak akan menyakitimu lagi.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adab al-Mufrad, 1/56, no. 124. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Secara umum, menggunakan hadis ini untuk diqiyaskan kepada perbuatan demonstrasi terhadap pemerintah adalah sama-sekali tidak tepat dan bathil. Kerana soal bermu’amalah terhadap pemerintah itu telah ada dalil-dalilnya yang bersifat khusus lagi tersendiri. Sekiranya kita menerima hadis ini (yang khusus dalam persoalan adab sesama jiran), di mana pula kita akan lemparkan kekhususan hadis-hadis berkaitan taat pemerintah tersebut?


Bukankah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mengkhabarkan (sebagaimana hadis daripada Hudzaifah Ibn al-Yaman) berkenaan suatu fitnah yang bakal berlaku di akhir zaman dengan katanya:

يَكُوْن بَعْدِيْ أَئِمَّة لاَ يَهتَدُوْنَ بِهُدَايَ وَلاَ يَسْتَنُوْنَ بِسُنَّتِيْ وَسَيَقُوْمُ فِيْهِمْ رجَال قُلُوْبُهُم قُلُوْبُ الشَّيَاطِيْنَ فِيْ جِثْمَانِ إِنْسِ قَالَ قُلْتُ كَيْفَ أَصْنَعُ يَا رَسُوْلَ اللهِ إِنْ أَدْرَكْتُ ذَلِكَ قَالَ تَسْمَعُ وَتَطِيْعُ لِلْأَمِيْرِ وَإِنْ ضَرَبَ ظَهْرَكَ وَأَخَذَ مَالَكَ فَاسْمَعْ وَأطِعْ

“Akan ada sepeninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengambil petunjukku, dan tidak mengambil sunnah dengan sunnahku. Akan muncul pula di tengah-tengah kamu orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan dalam bentuk manusia.” Aku (Hudzaifah) bertanya, “Apa yang perlu aku lakukan sekiranya aku menemuinya?” Beliau menjawab, “(Hendaklah) kamu mendengar dan taat kepada pemerintah, walaupun ia memukul punggung dan merampas harta-harta kamu, tetap-lah mendengar dan taat.” (Hadis Riwayat Muslim, Shahih Muslim, 3/387, no. 3435)

Terdapat banyak lagi hadis-hadis yang bersifat khusus seperti ini yang menuntut kita supaya mengambil sikap sabar dan tetap di atas petunjuk yang benar.

Maka, janganlah sampai sesekali kita terkeliru dalam memahami hadis-hadis dalam hal ini. Sehingga kita tidak lagi memiliki rasa bersalah memaksa-maksa dalil tunduk mengikuti hawa nafsu (takalluf) menghalalkan bid’ah demonstrasi! Sehingga sebahagian masyarakat terpesona lalu terpedaya mengharapkan fenomena di Mesir muncul di Malaysia pula.

Bahkan lebih lucu sekiranya hadis tersebut mahu dipraktikan dalam suasana Malaysia seperti hari ini, sudah tentu mereka akan berhadapan dengan pelbagai pihak seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis-majlis bandaran, pihak polis, dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU). Bahkan jalan-jalan raya kita pula memiliki undang-undang lalu lintas yang perlu dipatuhi untuk kemaslahatan umum. Maka kita sama sekali tidak boleh berbuat sesuka hati dan memanipulasi hadis tertentu dengan semudah itu untuk kepentingan hawa nafsu sendiri.

Lebih malang, sebelum mengharapkan apa-apa dari kalangan orang ramai menyumpah, melaknat, dan mencela pemerintah, para peserta demonstrasi itu sendiri pun mungkin akan menghadapi perkara yang sama. Di mana ketika mereka mengganggu kemaslahatan lalu lintas orang awam, mereka juga nanti akan turut disumpah-seranah orang ramai.

Sepatutnya kita berdoa berlindung dari semua itu. Mengajak masyarakat kepada kebenaran Islam dan menasihati para pemimpin dengan kaedah anjuran nabawi. Bukan bertindak menambah ketegangan menyemarakkan emosi masyarakat melakukan perkara-perkara yang dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala!

Semoga Allah melindungi kita semua dari pelbagai ujian dan fitnah kehidupan ini. Semoga Allah memberikan petunjuk dan hidayah-Nya kepada umat Islam dan para pemimpinnya di mana jua mereka berada.

Sesungguhnya amat benarlah janji Allah kepada mereka yang beriman dengan sebenar-benar keimanan dan beramal dengan sebenar-benar amal soleh. Iaitu mereka yang memurnikah tauhid dan penghambaan hanya kepada-Nya. Untuk merekalah kemenangan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الأرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ


“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan yang melaksanakan amal-amal soleh bahawa Dia benar-benar akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan adalah benar bahawa Dia akan memperkukuhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, setelah sebelumnya mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap mentauhidkan-Ku dengan tidak mensyirikkan Aku. Dan sesiapa yang ingkar setelah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah an-Nuur, 24: 55)

Ayat ini memberitahu kepada kita, demonstrasi dan revolusilah bagaimana cara sekalipun, tetapi jika tiada iman yang benar dan amal-amal yang sahih, umat Islam tetap tidak akan mulia, takut-takut menjadi lebih terhina. Kerana kemuliaan itu hanya dengan Islam (yang sahih lagi tulen). Sebaliknya, kehinaan itu adalah dengan sebab meninggalkan Islam.

Jadi, usahakanlah keimanan dan amal-amal kebaikan sebagaimana yang diperintahkan. Bukan demonstrasi, kemarahan, rusuhan, dan huru-hara. Jangan biarkan dada-dada kita miskin nilai ilmu, tauhid, dan amal-amal kebenaran sehingga terisi oleh syubhat syaitan berupa api emosi, kebencian, dan kemarahan.

Renung-renungkanlah kembali sejarah Musa dan Harun, di bumi yang sama mereka menghadapi Fir’aun yang selaku sejahat-jahat pemerintah lagi kafir. Allah jua yang menyingkirkannya sehingga lemas di laut merah dan tenggelam dalam gelora api neraka. Begitu juga sebagaimana Allah telah menenggelamkan umat Nabi Nuh dengan banjir yang besar.

Para pemerintah yang zalim lagi jahat yang ada hari ini tidaklah lebih buruk dari Fir’aun.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ


“Katakanlah, “Wahai Tuhan Yang memiliki kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di Tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 26)

Wallahu a’lam...

No comments:

POSTING PALING HOT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive