sahabat-sahabat APJ

t.kasih sahabat-sahabat,jom follow

Monday 27 April 2015

Pemuda Pas Boikot Kempen, PKR Berdepan Risiko



Penganalisis politik berpendapat ketiadaan jentera Pemuda Pas Pulau Pinang dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh akan memberi kesan kepada prestasi PKR.

Namun, Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, masih terlalu awal untuk menjangkakan sama ada tindakan Pemuda Pas itu mempengaruhi PKR secara keseluruhan.

‎"Apabila jentera Pemuda Pas negeri tidak bergerak, saya percaya pengundi juga akan mengambil langkah, sama ada tidak keluar mengundi atau melakukan undi protes. Sejauh manakah ia boleh memberikan kelebihan kepada BN, banyak bergantung pada BN itu sendiri.‎

"Jadi, sedikit sebanyak tindakan Pemuda Pas ini akan mempengaruhi prestasi PKR. Tapi, masih terlalu awal untuk mengatakan ia mempengaruhi secara keseluruhan," katanya kepada Sinar Online.

Semalam, Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang (DPPNPP), Mohd Yusni Mat Piah dilaporkan bertegas tidak akan membantu gerak kerja PR dalam PRK Permatang Pauh selepas AMK Pulau Pinang masih enggan memohon maaf selepas mengeluarkan kenyataan yang didakwa memfitnah Abdul Hadi walaupun diberi tempoh sehingga hari penamaan calon.

Hari ini, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu memberitahu tindakan akan diambil ke atas Mohd Yusni atas keingkaran tersebut.

Sivamurugan berpandangan hanya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang boleh menjernihkan kekeruhan hubungan tersebut.

"Keputusan itu tidak datang daripada Presiden kan? Kalau arahan itu datang daripada Presiden secara langsung, barulah Pemuda akan memberi kesan.

"Sebab sebelum penamaan calon pun, Pas Permatang Pauh telah menyatakan bahawa mereka hanya akan mengikut arahan Hadi," katanya.

Dalam pada itu, beliau berpendapat pengundi atas pagar terutama di kawasan tidak membangun seperti Dun Penanti mungkin akan memilih BN jika mereka mahukan pembangunan susulan melihat tiada perubahan selama PKR berkuasa di Parlimen itu.

"Boleh berlaku pengundi atas pagar memilih BN tetapi sebanyak mana itu yang sukar diramal.

"Permatang Pauh itu melibatkan Permatang Pasir dan Subang Jaya, Penanti jadi, mungkin ada pengundi Penanti yang terpengaruh...mungkin sebahagianlah yang melihat sepanjang PKR berkuasa, tiada perubahan. Mungkin mereka mengatakan perlu ada perubahan kali ini," katanya.

Sementara penganalisis politik dari ‎Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohammad Fuad Othman berkata, kedegilan Pemuda Pas Pulau Pinang menggambarkan keunikan dalam barisan pembangkang apabila meskipun datang dari perikatan sama, namun, setiap parti mempunyai ruang untuk tidak bersetuju dalam beberapa isu.

‎"Mungkin ini manifestasi yang kita panggil politik baharu dalam Pas atau pembangkang. Di mana meskipun mereka datang dari parti yang sama tapi memberi ruang untuk mereka tidak bersetuju dalam isu-isu yang tertentu. Tapi isu-isu yang tuntas dan utama mungkin mereka bersetuju.

"Jadi, mungkin ini perwatakan politik pembangkang selepas ini. Cuma, mereka menunjukkan kepada orang ramai bahawa mereka ini goyah kerana tidak padu. Berbanding dengan BN yang kalau Pusatnya mengatakan A, semua akan ikut," katanya.

Ketika ditanya kerelevanan sentimen keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadikan isu untuk meraih simpati pengundi, beliau mengingatkan bahawa PKR masih mahukan ahli keluarga Anwar menggalas jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen dengan mencalonkan isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen Permatang Pauh.

"Kena faham apa tujuan PKR meletak Azizah di situ. Kalau lihat pemerhatian politik, ada yang mengatakan bahawa PKR masih lagi mahukan jawatan Ketua Pembangkang itu dalam keluarga Anwar. Wan Azizah itu adalah cerminan kepada Anwar Ibrahim. Maknanya, ada kemungkinan Azizah akan jadi Ketua Pembangkang," katanya.

Sinar

No comments:

POSTING PALING HOT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive