sahabat-sahabat APJ

t.kasih sahabat-sahabat,jom follow

Friday 24 April 2015

"Peremajaan Bukan Setakat Selfie Sahaja" - @azwanbro



Sesungguhnya ada perbezaan yang sangat ketara antara pentadbir dan pemimpin, walaupun kedua-duanya berada dalam kedudukan untuk membuat keputusan atau memberi arahan namun keduanya merupakan individu yang berlainan. Perbezaan utama antara dua individu ini ialah seseorang pemimpin itu berani mengambil dan menanggung risiko untuk mencapai sesuatu matlamat manakala seorang pentadbir tidak akan bertindak atau membuat keputusan di luar lingkup tugasnya. 

Sebab itu seringkali kita mendengar jawapan yang datang dari seorang pentadbir yang berbunyi begini “Oh maaf itu di luar bidang kuasa saya, kita tak boleh buat apa-apa untuk menyelesaikan masalah ini”. Keberanian dan kesanggupan untuk mengambil dan menanggung risiko demi menyelesaikan masalah atau memperjuangkan sesuatu perkara itulah yang membezakan antara Wakil Rakyat dan Pegawai Daerah, antara Menteri dan Ketua Setiausaha dan antara seorang General di medan perang dan Sarjan mejar rejimen yang memekik arahan dalam kawat atau perbarisan.

Sebab itu sewaktu DAP mencalonkan seorang anak muda Melayu berumur 27 tahun di Pilihanraya kecil Teluk Intan orang tidak berhenti-henti bercakap mengenainya. Bukan kerana calon mereka hebat, petah berhujah ataupun mempunyai kharisma yang tinggi, malah cukup bertentangan sekali, akan tetapi ianya menjadi perbualan anak-anak muda seluruh negara kerana dilihat DAP sanggup mempertaruhkan kerusi parlimen mereka untuk menghantar mesej bahawa mereka benar-benar komited dalam memenangi undi dan hati pengundi muda Melayu seluruh negara. 

Lim Kit Siang berani mengambil risiko dalam membuktikan kata-kata mereka walaupun terpaksa menghadapi tentangan dalaman parti. Komitmen dan kesanggupan untuk DAP menakluk Putrajaya dibuktikan dengan tindakan mereka. Walaupun akhirnya keputusan itu membuatkan mereka tumpas di Teluk Intan namun itulah risiko yang perlu ditanggung dan dihadapi untuk mencapai satu matlamat yang lebih besar dan perkara seperti inilah yang membuatkan Lim Kit Siang menjadi pemimpin yang disegani di dalam DAP.

Sebelum ada suara-suara sumbang mula berbisik dan mengatakan nampaknya Pemuda UMNO sudah mula menjulang orang kuat DAP izinkan saya tawarkan perspektif ini, UMNO bukanlah satu parti yang maksum mahupun sempurna dan sekiranya kita boleh belajar sesuatu dari lawan kita apa salahnya. 

Mengakui kelebihan dan kekuatan lawan kita bukanlah bererti kita menyokong mereka akan tetapi ia menunjukkan kematangan berpolitik kita untuk belajar dan mengambil iktibar bagi memperkukuhkan organisasi kita. Seringkali kita asyik mendengar retorik melalui ucapan perhimpunan agung bahawa perlunya kita mendapat sokongan dan undi orang muda apatah lagi dalam pilihanraya umum yang akan datang segmen ini merupakan golongan yang akan menentukan kerajaan yang akan datang. 

Namun itu hanya tinggal retorik sahaja, tindak tanduk kita tidak mencerminkan kata-kata yang dilaungkan dalam majlis-majlis ucapan dan ceramah, barangkali inilah yang dikatakan himpunan ‘syok sendiri’ yang mana kita berkumpul beramai-ramai sambil menjerit slogan.

Yang Berhormat Ketua Pemuda pernah berkata bahawa orang muda tidak melihat kepada Pergerakan Pemuda atau Puteri sahaja dalam membuat kesimpulan terhadap UMNO, mereka melihat parti secara keseluruhan. Sebab itu proses peremajaan bukanlah setakat laungan atau mengadakan sayap orang muda sahaja akan tetapi ianya haruslah diikuti dengan percambahan baru dari segi idea, dasar, gerak kerja dan juga kepimpinan.

Sekiranya kita mengatakan bahawa parti kita benar-benar mahu mendekati dan memenangi orang muda maka kita harus membuktikan dari bentuk tindakan nyata dan bukan sekadar retorik kosong semata. Gimik seperti ‘selfie’, berbasikal setakat 50 meter untuk bergambar atau acah-acah jogging di waktu petang sekiranya tidak diikuti dengan tindakan jitu maka kita akan nampak tidak ikhlas dalam perjuangan serta janji kita. Janganlah anggap bahawa untuk memenangi undi orang muda setakat cukup dengan mempunyai akaun instagram semata-mata.

Seringkali kita mendengar pemimpin atasan mendesak untuk pergerakan pemuda dan puteri menarik golongan profesional muda, pemikir dan mereka yang kritis. Malah banyak kali kita mendengar teguran mereka ini terhadap pergerakan pemuda dan puteri atas kesukaran untuk menarik golongan ini dalam jumlah yang besar. Namun sekiranya tanggungjawab dan tugasan yang diberikan hanyalah setakat konvoi bermotorsikal, mengantung poster atau untuk duduk di pondok panas mengisi data maka setakat itulah kualiti aktivis dan ahli yang dapat kita tarik. Apabila di pihak lawan menampilkan ahli parlimen muda yang petah berpidato serta berhujah manakala kita hanya setakat berani beri tanggungjawab untuk konvoi bermotor janganlah marah dengan pergerakan sayap sekiranya golongan professional jauh dari UMNO.

Usahlah risau dan melompat, sesungguhnya pergerakan Pemuda UMNO tetap setia dan komited terhadap kepimpinan. Ikrar sokongan serta janji kepada kepimpinan sesekali tidak berubah, namun isi hati serta pendapat ini diluahkan untuk mengingatkan kepada pimpinan tertinggi bahawa kita harus melihat sokongan luar dari ruang lingkup parti kita, apa guna kalau kita mendapat sokongan kuat di hampir kesemua 191 bahagian UMNO akan tetapi tergugat kedudukan di 222 kerusi parlimen Malaysia. 

Saya kira sudah tiba masanya kita berani mengambil risiko untuk merealisasikan transformasi politik yang seringkali dilaungkan, sesungguhnya kita harus dilihat memimpin di luar ruang lingkup majlis-majlis dan himpunan anjuran sendiri, janganlah setakat menjadi Sarjan yang melaung arahan memimpin perbarisan akan tetapi perlulah ada kepimpinan seorang Jeneral yang mengetuai angkatan di medan pertempuran.

No comments:

POSTING PALING HOT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive