Ketua Wanita Umno Bahagian Pendang merangkap Exco Wanita Umno Malaysia, Datuk Suraya Yaacob menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua Wanita Umno Malaysia pada pemilihan parti Oktober depan.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah membuat keputusan itu selepas mendapat sokongan banyak pihak termasuk ahli dan pimpinan wanita negeri.
“Saya menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Ketua Wanita Umno Malaysia dan menghormati keputusan Datuk Seri Azalina Othman Said untuk bertanding jawatan berkenaan.
“Saya sudah buat keputusan sejak dua minggu lalu. Cuma ada beberapa persepsi yang saya tidak berasa selesa,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Darul Aman, semalam.