sahabat-sahabat APJ

t.kasih sahabat-sahabat,jom follow

Wednesday 4 March 2015

Umat Islam Diminta Jayakan Agenda Perpaduan - Mukhriz



Umat Islam diseru bekerjasama dengan kerajaan dalam menjayakan agenda penyatuan dan perpaduan, selari dengan firman Allah SWT yang menuntut kepada perpaduan ummah, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Menurutnya walaupun usaha pemupukan perpaduan memakan masa yang lama, namun rakyat perlu menunjukkan tahap kematangan berasaskan nilai hormat-menghormati.

"Saya menyeru segenap lapisan rakyat bersama-sama memperkukuh perpaduan dalam menghadapi cabaran yang mendatang," katanya ketika merasmikan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-36 di sini malam tadi.

Beliau berkata kerajaan telah dan sentiasa mengambil sikap tegas untuk memelihara kesucian agama Islam di negara ini.



Ia dilakukan menerusi pemantauan dan tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu kesucian agama Islam memandangkan kemasukan ajaran yang menyeleweng bukan sahaja memudaratkan akidah ummah, tetapi menyebabkan berlakunya perpecahan, katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri kata Mukhriz akan terus memastikan pengajaran dan pembelajaran al-Quran terus berjalan, melalui pembinaan banyak sekolah agama antaranya Maahad Tahfiz.

Katanya pembinaan Maahad Tahfiz Al-Quran di negara ini yang menggabungkan akademik, Bahasa Arab dan hafazan al-Quran merupakan salah satu usaha mengetengahkan usaha menghafaz al-Quran.



Hasilnya, para Huffaz berjaya dikeluarkan dan sedang berkhidmat di dalam di dalam pelbagai bidang, selain bertambahnya madrasah-madrasah tahfiz swasta yang banyak dibina di seluruh negeri.

Bertemakan 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara', majlis hafazan itu menghimpunkan 73 peserta dari 14 buah negeri, melibatkan tiga kategori pertandingan iaitu Juzuk 1-10, Juzuk 1-20 dan Juzuk 1-30.

-- BERNAMA

No comments:

POSTING PALING HOT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive