Sebagai Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), beliau sebelum ini lantang dalam menyuarakan pendirian panel tersebut dalam pelbagai isu membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Meskipun begitu, Johan menegaskan bahawa tindakan perletakkan jawatannya itu bukan akibat tekanan.
Beliau turut berhasrat untuk terus menyuarakan pandangan tanpa gentar atau pilih kasih.
Berikut merupakan dua kenyataan oleh tokoh kewartawanan itu, berkait dengan SPRM, yang dibuat pada 8 dan 6 Ogos 2015:
i) Kenyataan Johan pada 8 Ogos:
PANEL PERUNDINGAN DAN PENCEGAHAN RASUAH: KEMBALIKAN SEMULA DUA PEGAWAI KANAN SPRM
Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), salah satu panel yang memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), terkejut dengan tindakan menukar dua pegawai kanan SPRM pada hari Jumaat.
PPPR menuntut agar kedua-dua pegawai terbabit ini, Pengarah Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik, Datuk Rohaizad Yaakob dikembalikan semula dengan serta-merta bagi membolehkan mereka meneruskan tugas masing-masing di SPRM.
Pengerusi PPPR, Tan Sri Johan Jaaffar percaya pertukaran ini pasti akan meningkatkan suasana tegang yang disaksikan sekarang. Malah, pertukaran ini akan mencetuskan lebih banyak persoalan berbanding jawapan dan ia akan mewujudkan lebih banyak syak wasangka dan teori konspirasi.
Panel ini menyokong saranan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang mahu sebarang bentuk 'intimidasi' dan tindakan terhadap pegawai-pegawai kanan SPRM dihentikan.
Panel itu memuji pendirian Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang menawarkan diri sebagai pengganti pertukaran kepada kedua-dua pegawai kanan terbabit yang hanya bertindak atas arahannya. Meskipun PPPR berpendapat bahawa pendirian Datul Seri Shukri ini sesuatu yang terhormat, tetapi tidak perlu sama sekali.
ii) Kenyataan Johan pada 6 Ogos:
KENYATAAN MEDIA PANEL PERUNDINGAN DAN PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (PPPR)
Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), yang merupakan salah satu daripada lima badan bebas yang memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), memandang serius dan kecewa dengan tindakan yang diambil ke atas pegawai-pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan yang sedang dikendalikan oleh SPRM sekarang.
Pengerusinya, Tan Sri Johan Jaaffar menekankan keperluan bagi SPRM menjalankan tugasnya sebagaimana termaktub dalam Akta SPRM 2009 sebagai sebuah badan yang bebas, telus dan profesional.
Situasi terkini yang menyaksikan kehilangan kepercayaan dan keraguanmasyarakat terhadap SPRM hanya boleh diatasi dengan memberi peluang kepada SPRM untuk menjalankan tugas tanpa rasa takut atau gentar.
Persepsi orang ramai bahawa pegawai-pegawai penyiasat SPRM kini sedang disiasat perlu ditangani dalam apa jua cara.
PPPR juga berpendapat bahawa semua pihak yang diberi kepercayaan untuk membuat siasatan perlu bekerjasama demi mencari kebenaran.
No comments:
Post a Comment