
PKR Tidak Suka PAS Jalin Kerjasama Dengan UMNO
Menyifatkan kerjasama membabitkan dua parti politik itu sebagai 'tidak perlu', Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan mahu pimpinan PAS dan Umno supaya membezakan antara isu politik dan kebajikan rakyat.
Malah Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir turut mengingatkan kepimpinan PAS supaya tidak terjerat dengan mainan politik Umno.
"Sekarang bukan masanya nak bercakap tentang soal politik, fokus kepada soal pembangunan semula Kelantan.
"Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan Pusat untuk bantu kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu bencana alam...jadi tak perlu dikaitkan dengan Umno ataupun PAS," katanya kepada mStar Online pada Khamis.
Beliau mengulas mengenai kesediaan PAS dan Umno untuk mengetepikan agenda politik demi membantu rakyat Kelantan yang terjejas teruk akibat banjir yang disifatkan umpama tsunami baru-baru ini.

















