sahabat-sahabat APJ

t.kasih sahabat-sahabat,jom follow

Friday 28 August 2015

Peringatan buat Pemuda MCA - @azwanbro


Saya merujuk kepada kenyataan Saudara Chong Sin Woon dalam akhbar The Star yang secara terbuka membenarkan ahli pemuda MCA untuk menyertai Bersih 4.0. Ingin saya ingatkan Saudara Chong bahawa beliau memegang jawatan sebagai Naib Pengerusi di dalam Pergerakan Pemuda BN dan tidak sepatutnya untuk ahli kita menyertai atau menyokong pergerakan yang mempunyai matlamat untuk menjatuhkan parti dan kerajaan kita. Kenyataan seperti ini boleh diibaratkan seperti satu tikaman dari belakang dari rakan komponen. Sekali lagi saya mengingatkan Saudara Chong bahawa saya dan Saudara Khairy pernah dilabel pelbagai macam nama oleh NGO dan kumpulan tertentu kerana kami mempertahankan kerajaan dan rakan-rakan di dalam BN. Selaku pemimpin kami faham nilai persahabatan dan ikatan antara kita dan kami meletakkan kepentingan Barisan Nasional lebih dari kenyataan dan pendirian populis jangka masa pendek. Sekiranya beliau tidak mampu mempertahankan kerajaan mungkin beliau perlu memikirkan semula tentang kedudukan beliau di dalam kerajaan. Kami meminta untuk Pemuda MCA memperbetulkan kenyataan dan pendirian mereka dalam isu ini demi kebaikan dan kepentingan Barisan Nasional.


Khairul Azwan Harun
Timbalan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional

Tuesday 18 August 2015

Tunku Sallehuddin Harap Kerajaan Pusat Beri Perhatian Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) #sidangdunkedah



‪#‎SidangDunKedah‬

Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah berharap cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dapat direalisasikan dan diberi perhatian serius oleh kerajaan Persekutuan.


"Saya percaya projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim yang dicadangkan oleh kerajaan negeri Kedah mampu mencetus kepada pertumbuhan ekonomi negeri-negeri di wilayah utara amnya dan negeri Kedah khasnya," titah baginda.

Baginda bertitah cadangan pembinaan KXP itu sekiranya diluluskan turut membuka peluang pekerjaan dan perniagaan selain menjadi tarikan kepada industri seperti industri penerbangan.

Titah Baginda semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kedah di Wisma Darulaman

Ramai Adun PAS Kedah Sertai Parti Baru


Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Datuk Ir Amirudin Hamzah menegaskan beliau akan kekal bersama PAS dan menyangkal dakwaan akan menyertai Parti Amanah Rakyat.

Amirudin yang juga Yang Dipertua PAS Kuala Kedah dan bekas exco kerajaan negeri ketika ia dipimpin oleh parti itu berkata, akan terus memberi sumbangan dan mencapai segala visi dan misi PAS yang telah ditetapkan.

Beliau turut mengucapkan selamat berjaya kepada rakan-rakan dalam PAS yang memilih menyertai parti baharu tersebut dan berharap usaha mereka dapat membangunkan negara.

Menurutnya, sekiranya parti yang bakal ditubuhkan itu mempunyai tujuan politik tidak jauh berbeza dengan PAS atau rakan dalam Pakatan Rakyat, mungkin akan ada persefahaman untuk mencapai matlamat masing-masing.

"Saya kira tidak mustahil nanti apabila matlamat politiknya adalah sama (Parti Amanah), bahawa satu persetujuan dan persefahaman akan dapat dicapai ke arah mencapai matlamat politik yang sama-sama kita citakan," katanya ketika ditemui pemberita di luar Dewan Undangan Negeri Kedah Isnin.

Media baru-baru ini melaporkan Parti Amanah Rakyat dijangka menjadi nama rasmi parti Islam baharu yang berkemungkinan dilancarkan pada 31 Ogos ini.

Monday 17 August 2015

Dedahkan Siapa Dalang Gulingkan Kerajaan - KJ


Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyarankan identiti pemimpin Umno yang berhasrat bergabung dengan Ahli Parlimen pembangkang untuk menggulingkan kerajaan wajar didedahkan.

Menurutnya, tindakan itu bagi membolehkan setiap pemimpin dan ahli parti dapat mengetahui pergerakan individu berkenaan yang berhasrat menggulingkan kerajaan.

“Saya rasa elok sebenarnya kita diberitahu siapakah individu terlibat dan saya menghargai ketelusan Timbalan Perdana Menteri yang berkongsi dengan rakyat bahawa ada percubaan tersebut.

“Kita perlu tahu siapa individu tersebut sebab kita dah lama nak tahu siapakah bergerak dalam parti cuba gulingkan kerajaan dan apakah cara dikatakan nak guling kerajaan guna cara tidak sah.

“Kita pun tak tahu cara yang tak sah supaya kita dapat membantu membetulkan keadaan,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tahunan Umno Bahagian Bukit Katil di Dewan Tun Ali, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Umno Bahagian, Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Beliau selaku Ahli Parlimen Rembau turut memberitahu, usaha itu perlu melibatkan sokongan setiap ahli parlimen dan Khairy turut menjelaskan beliau tidak tahu siapakah pemimpin Umno berkenaan.

Katanya, sekiranya mengetahuinya sudah pasti beliau akan memulau pemimpin terlibat.

“Saya pun tidak tahu siapa individu itu dan kalau saya tahu saya tak kan cakap dengan dia saya akan pulau dia..saya pun tidak tahu siapa boleh dipercayai, perangkap pula saya tiba-tiba orang ni penggerak utama, saya kena cop pula,” katanya.

Saturday 15 August 2015

Isu Pertahan SPRM, Johan Jaafar Letak Jawatan Di Media Prima ?



Dua kenyataan Johan Jaaffar sebelum perletakan jawatan dari MPB

Tan Sri Johan Jaaffarmengumumkan beliau akan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Media Prima Berhad (MPB) berkuat kuasa 31 Ogos ini, menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Sebagai Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), beliau sebelum ini lantang dalam menyuarakan pendirian panel tersebut dalam pelbagai isu membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Meskipun begitu, Johan menegaskan bahawa tindakan perletakkan jawatannya itu bukan akibat tekanan.

Beliau turut berhasrat untuk terus menyuarakan pandangan tanpa gentar atau pilih kasih.

Berikut merupakan dua kenyataan oleh tokoh kewartawanan itu, berkait dengan SPRM, yang dibuat pada 8 dan 6 Ogos 2015:

i) Kenyataan Johan pada 8 Ogos:

PANEL PERUNDINGAN DAN PENCEGAHAN RASUAH: KEMBALIKAN SEMULA DUA PEGAWAI KANAN SPRM

Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), salah satu panel yang memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), terkejut dengan tindakan menukar dua pegawai kanan SPRM pada hari Jumaat.

PPPR menuntut agar kedua-dua pegawai terbabit ini, Pengarah Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik, Datuk Rohaizad Yaakob dikembalikan semula dengan serta-merta bagi membolehkan mereka meneruskan tugas masing-masing di SPRM.

Pengerusi PPPR, Tan Sri Johan Jaaffar percaya pertukaran ini pasti akan meningkatkan suasana tegang yang disaksikan sekarang. Malah, pertukaran ini akan mencetuskan lebih banyak persoalan berbanding jawapan dan ia akan mewujudkan lebih banyak syak wasangka dan teori konspirasi.

Panel ini menyokong saranan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang mahu sebarang bentuk 'intimidasi' dan tindakan terhadap pegawai-pegawai kanan SPRM dihentikan.

Panel itu memuji pendirian Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang menawarkan diri sebagai pengganti pertukaran kepada kedua-dua pegawai kanan terbabit yang hanya bertindak atas arahannya. Meskipun PPPR berpendapat bahawa pendirian Datul Seri Shukri ini sesuatu yang terhormat, tetapi tidak perlu sama sekali.

ii) Kenyataan Johan pada 6 Ogos:

KENYATAAN MEDIA PANEL PERUNDINGAN DAN PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (PPPR)

Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), yang merupakan salah satu daripada lima badan bebas yang memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), memandang serius dan kecewa dengan tindakan yang diambil ke atas pegawai-pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan yang sedang dikendalikan oleh SPRM sekarang.
Pengerusinya, Tan Sri Johan Jaaffar menekankan keperluan bagi SPRM menjalankan tugasnya sebagaimana termaktub dalam Akta SPRM 2009 sebagai sebuah badan yang bebas, telus dan profesional.

Situasi terkini yang menyaksikan kehilangan kepercayaan dan keraguanmasyarakat terhadap SPRM hanya boleh diatasi dengan memberi peluang kepada SPRM untuk menjalankan tugas tanpa rasa takut atau gentar.

Persepsi orang ramai bahawa pegawai-pegawai penyiasat SPRM kini sedang disiasat perlu ditangani dalam apa jua cara.

PPPR juga berpendapat bahawa semua pihak yang diberi kepercayaan untuk membuat siasatan perlu bekerjasama demi mencari kebenaran.

'Dana RM2.6 bilion, 1MDB bukan lagi isu remeh' - Muhyiddin


KEMAMAN: Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu berkaitan derma dana politik RM2.6 bilion kini bukan lagi isu remeh sebaliknya memberi kesan besar kepada parti dan negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden UMNO perlu segera menjelaskan kepada anggota parti dan seluruh rakyat berhubung beberapa isu yang dibangkitkan ketika ini, kata Timbalan Presiden UMNO itu.

Muhyiddin berkata langkah itu wajar dilakukan sebelum imej kerajaan dan negara terus tercalar.

Menurutnya, terserah kepada Perdana Menteri untuk menjawab pelbagai persoalan kerana bimbang kesannya terhadap kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Kita tahu pihak Peguam Negara yang lalu telah pun mengambil langkah dengan menubuhkan apa yang dipanggil task force (pasukan petugas khas). Di bawah itu ada pihak polis, pihak Gabenor Bank Negara dan juga ketua SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) bersama-sama membuat siasatan secara telus.

"Saya anggap itu langkah yang bijak, tetapi yang penting bukan penubuhan pasukan itu. Yang penting ialah untuk mencari apakah masalah atau pun isu-isu yang dihadapi oleh syarikat ini dapat dikenal pasti samada ia menyalahi undang-undang tertentu atau pun sebaliknya... dan mengenal pasti siapa yang dianggap bertanggungjawab.

"Sebagaimana yang disebutkan Perdana Menteri, tindakan dari sudut undang-undang mesti diambil terhadap mereka ini kerana mereka telah membawa Malaysia dan juga syarikat ini khususnya dalam keadaan kerugian yang besar… tanggungan yang agak luar biasa," kata Muhyiddin ketika berucap pada majlis perasmian mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kemaman pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Kemaman Datuk Seri Ahmad Said yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga Ahli Parlimen Kemaman dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga bekas timbalan perdana menteri, mengulangi kesetiaannya kepada perjuangan UMNO kerana ia adalah amanah rakyat dalam memperjuangkan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Beliau berkata soal integriti dalam parti perlu menjadi keutamaan dan sebagai pemimpin dalam UMNO, amanah itu perlu dijaga dan dipikul dengan sebaiknya.

Katanya walaupun pada suatu ketika beliau berbeza pendapat dalam beberapa dasar dengan Najib, namun itu semua adalah atas prinsip setiap masalah harus menjadi tanggungjawab dan dibincang bersama.

Menurutnya, sebagai orang nombor dua dalam parti, beliau rasa bertanggungjawab untuk memastikan isu terbabit dapat diselesaikan secepat mungkin.

Wednesday 12 August 2015

Orang Keliling Najib Tidak Lagi Mampu Membantu - Rais


Pendekatan tradisional yang digunakan semasa berdepan dengan pelbagai isu luaran UMNO dilihat tidak lagi mampu mengubah persepsi negatif rakyat terhadap parti itu.

Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, penerangan yang diberi juga semakin lama semakin tidak berkesan selain tidak mampu meredakan ketegangan suasana dengan jawapan yang tidak memuaskan rakyat.

"UMNO telah menggunakan pendekatan tradisional berdepan dengan isu-isu luaran parti. Penerangan UMNO kini sudah tidak berkesan dan lesu sedangkan penerangan kerajaan pula tidak mampu meredakan suasana lantaran isu-isu yang dijawab dianggap tidak memuaskan majoriti.

"Lebih 2,000 pegawai Jabatan Penerangan tidak lagi diberi tugas penerangan bersemuka seperti dahulu. Kini mereka duduk di pejabat dan baca akhbar atau kadang-kadang memasang pembesar suara untuk orang kenamaan," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Pada Rabu, Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed di dalam blognya berkata musuh utama UMNO kini bukan lagi Pakatan Rakyat sebaliknya unsur dalaman parti itu sendiri yang akan menyebabkan kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Jelasnya, ahli-ahli UMNO kini berdepan dilema sama ada menyatakan kesetiaan kepada pemimpinnya atau parti.

Tegas Nur Jazlan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini berhadapan dengan satu situasi yang begitu meruncing akibat terpalit berbagai isu melibatkan soal pentadbiran dan pengurusan kewangan negara serta isu berkaitan keluarganya.

BACA: Sifat bermuka-muka dalam UMNO bukan perkara baru, kata Nur Jazlan

BACA: 'UMNO lebih kuat jika ada ramai pemimpin macam Nur Jazlan' - Khairuddin

BACA: Tun M tak boleh paksa orang percaya pandangannya - Zahid Hamidi

Sebelum ini, bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menyifatkan, UMNO memerlukan lebih ramai pemimpin-pemimpin seperti Nur Jazlan yang berani bercakap mengenai kebenaran dan hakikat yang dihadapi parti hari ini.

Tegas Khairuddin, walaupun Nur Jazlan dilantik menjawat jawatan tertentu, kelantangannya itu dilihat sebagai luahan situasi yang berlaku di dalam parti sekarang.

Dalam pada itu kata Rais yang juga seorang veteran UMNO, Najib sendiri perlu mengambil langkah drastik dalam mengolah pendekatan baharu dalam pentadbirannya.

"Orang keliling Najib sudah tidak mampu membantu. Malah sudah ada naib presiden yang membawa suara tukar.

Tuesday 11 August 2015

Gambar : Mukhriz Kayuh Basikal 30KM Lihat Laluan Program #FitMalaysia


Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Haji Mukhriz Tun Dr Mahathir semalam mengambil kesempatan masa yang terluang untuk berbasikal sejauh 30 kilometer sekitar Alor Setar bagi melihat laluan yang akan digunakan semasa program Fit Malaysia yang akan diadakan pada 15 Ogos 2015 nanti. 

Selesai sahaja hadiri pelbagai majlis dan kerja di pejabat, tepat jam 5.30 petang beliau bersama Exco Kerajaan Negeri YB Aminuddin Omar dan beberapa orang pekerja Pejabat Menteri Besar memulakan kayuhan dari Kediaman Menteri Besar di Seri Mentaloon dan terus ke laluan yang akan digunakan untuk program Fit Malaysia sekitar pinggir Alor Setar.

Kayuhan mereka selesai jam 6.30 petang dan sempat singgah di Restauran Nasi Kandar Royale untuk melepaskan dahaga berhampiran dengan Seri Mentaloon. 


























Monday 10 August 2015

Kerajaan Perlu Beri Penjelasan Mengenai Pertukaran Anggota SPRM - @shaifulhazizy



Kerajaan terpaksa berdepan dengan krisis keyakinan dan kepercayaan rakyat yang semakin berkurangan berikutan tindakan memindahkan dua pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menjalankan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke Jabatan Perdana Menteri kelmarin.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, kerajaan perlu tampil memberi penjelasan mengenai pertukaran dan tindakan terhadap anggota SPRM yang diarahkan bercuti bagi mengelakkan persepsi negatif berkaitan kredibiliti dan integriti agensi terbabit.

Menurut beliau, tindakan ini mampu mencetus pelbagai persoalan yang dikaitkan dengan politik dalam kemelut siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan akan dilihat seolah-olah mengganggu siasatan agensi yang terlibat.

“Sekiranya ada penstrukturan dalam SPRM ia perlu dibuat mengikut peruntukan prosedur dan perundangan sedia ada. Selain itu, semua agensi yang terlibat juga perlu berbincang dan berunding bagi mengelakkan kerumitan yang berpanjangan.

“Kami berharap pihak yang berwajib tampil memberi penjelasan secara terperinci supaya SPRM kekal sebagai sebuah suruhanjaya bebas yang dapat membanteras gejala rasuah. Kami juga meminta agar pihak yang terlibat dapat menjalankan siasatan secara telus bagi mengelakkan isu ini berpanjangan yang akan memberi kesan buruk kepada pihak kerajaan,” katanya.

Jawapan Kepada Tuduhan Fitnah Terhadap DS Mukhriz


dari page Mukhriz Mahathir fc


Demi menjawab tuduhan fitnah terhadap kepimpinan Kerajaan negeri. Kami MMFC membuat poster khas utk sebaran awam di media sosial.

Kita kena ingat, fitnah yang berulang-ulang jika tidak dibendung, lama ke lamaan orang akan percaya kononnya perkara tu betul.


Jadi demi untuk menyekat fitnah dajal yang cuba meruntuhkan kerajaan. Admin minta sahabat MMFC turut membantu kami menyebarkan poster ini pada umum.

Terima Kasih..

Mukhriz Risau Suara Akar Umbi disisihkan Pimpinan Tertinggi



Dalam ucapan perasmian di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kedah dan Jerai semalam. YAB Dato Seri Hj Mukhriz Tun Mahathir, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah menegaskan bahawa UMNO kini berada didalam keadaan kritikal dan pimpinan harus tangani isu yang berkaitan, demi untuk memperolehi semula keyakinan ahli dan rakyat pada parti keramat ini.

"Parti Umno satu-satunya parti yang mempunyai ahli cukup ramai dan mesyuarat bahagian pula diadakan setahun sekali. Oleh itu disinilah tempat kita untuk menyuarakan kegelisahan rakyat bagi membincangkan dan disampaikan kepada kepimpinan bahagian seterusnya dibawa ke peringkat pusat. Keputusan yang kita buat mestilah mendengar nadi denyut rakyat dan mengambil kira pandangan mereka".


Kata Dato Seri Hj Mukhriz yang risau jika pimpinan parti tidak ambil kisah tentang suara akar umbi.

"Kalau keputusan yang dibuat tidak menyenangi hati rakyat, maka bila tiba PRU nanti mereka akan menghukum kita. Jika hilang undi 2% pun kita akan hilang kuasa mentadbir negara. Tanya soalan tak salah, kerana pertanyaan kita itu bukan hendak menjatuhkan parti, sebaliknya untuk memperkuatkan parti". Kata beliau lagi.

Beliau menegaskan tiga perkara penting dalam ucapan semalam,

1. Jangan cuba singkirkan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Timbalan Presiden UMNO. Ini kerana beliau memenangi jawatan tersebut melalui pemilihan parti dan bukannya dilantik.

2. Jangan ada pihak yang cuba mengganggu siasatan yang sedang di lakukan oleh agensi-agensi yang berkaitan termasuklah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

3. Tan Sri Zeti merupakan seorang Gabenur Bank Negara yg disegani di peringkat antarabangsa. Jika ada tindakan yg dikenakan ke atas beliau,maka hilanglah terus kredibiliti kerajaan kita.

Kita sudah menghadapi krisis keyakinan terhadap pentadbiran. Jika kita kerap melakukan kesilapan dan perkara yang membelakangkan rakyat nescaya kita (UMNO) akan dihukum dalam PRU yang akan datang.

Pindah Pegawai SPRM Boleh Jejas Kepercayaan Rakyat - @azwanbro



Kerajaan terpaksa berdepan dengan krisis keyakinan dan kepercayaan rakyat yang semakin berkurangan berikutan tindakan memindahkan dua pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menjalankan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke Jabatan Perdana Menteri kelmarin.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, jika tidak dibendung krisis tersebut akan membawa kesan negatif kepada kerajaan termasuk kemungkinan Barisan Nasional (BN) tumbang dalam pilihan raya umum akan datang.

“Perdana Menteri dan Kabinet sendiri yang telah mengumumkan penubuhan pasukan khas untuk menyiasat tetapi semasa siasatan sedang berjalan, pegawai itu telah ditukarkan sehingga rakyat hilang kepercayaan. Kalau ini atas urusan pentadbiran, maka tangguhlah sekejap sampai siasatan habis, bukannya semasa siasatan sedang berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Selayang di Kelab Golf Bukit Rahman Putra di sini hari ini.

Khairul Azwan diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO merangkap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang turut mengkritik langkah memindahkan dua pegawai berkenaan.

Dua pegawai SPRM itu adalah Pengarah Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik, Datuk Rohaizad Yaakob.

Friday 7 August 2015

Pemuda BN sokong SPRM panggil Najib


Pemuda BN menyokong tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berhubung penerimaan dana politik berjumlah RM2.6 bilion di dalam akaun peribadinya.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, segala siasatan yang sedang berjalan ketika ini mestilah berterusan sehingga mendapat gambaran yang lebih jelas supaya rakyat mendapat gambaran yang jelas apa yang sebenarnya berlaku.

"Sekiranya agensi ini memerlukan keterangan daripada Perdana Menteri untuk membantu siasatan dengan lebih sempurna dan menyeluruh, maka ia haruslah dilakukan supaya rakyat yakin bahawa kita tidak menyembunyikan apa-apa perkara daripada semua pihak," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Pemuda BN di ibu pejabat Umno, di sini, hari ini.

Menurut beliau, usaha yang dilakukan SPRM ini membuktikan agensi itu telus dalam melakukan apa- apa siasatan tanpa 'fear or favour'.

"Ini membuktikan SPRM adalah satu badan bebas yang boleh menyiasat tanpa sekatan daripada mana-mana pihak.

"Kita melihat kredibiliti SPRM sangat penting supaya rakyat yakin dengan hasil siasatan kelak," katanya.

Semalam, SPRM akan memanggil Perdana Menteri untuk memberikan penjelasan kepada agensi berkenaan mengenai sumbangan derma yang diterimanya.

Dalam pada itu, beliau tertarik dengan tindakan parti pembangkang yang menyokong SPRM pada kali ini walaupun mereka pernah mempersoalkan kredibiliti agensi itu pada suatu ketika dahulu.

"Hari ini (semalam), saya difahamkan ramai pemimpin pembangkang ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk menyatakan sokongan mereka terhadap agensi berkenaan.

"Itu mungkin untuk tujuan dan kepentingan politik mereka tetapi tak apalah. Ini membuktikan SPRM merupakan satu badan bebas yang boleh menyiasat tanpa apa-apa sekatan," katanya.

#MH370 : Serpihan Tingkap & Kerusi Antara Yang DiTemui


Serpihan sayap yang dikenali sebagai flaperon di Pulau Reunion, Perancis disahkan milik pesawat MH370 adalah kerana ciri-cirinya yang sepadan dengan rekod milik syarikat Malaysia Airlines (MAS).

“Konklusi penemuan itu tercapai apabila pasukan teknikal mendapati rekod-rekod teknikal dan penyelenggaraan MAS sama dengan flaperon yang ditemui,” kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam satu sidang media, Khamis.

Bila ditanya mengapa negara mengesahkan ia milik MH370 sedangkan pihak berkuasa Perancis pada sidang media pada hari yang sama berkata siasatan ke atas flaperon berkenaan masih dijalankan, Liow berkata pengesahan itu turut dibuat berdasarkan lokasi penemuan flaperon yang konsisten dengan corak hanyutan yang telah ditentukan oleh pasukan pakar yang terpilih.

Pasukan itu terdiri daripada pakar MAS, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) serta pasukan penyiasat antarabangsa.

“Tanpa bukti fizikal, tentu sukar untuk kita tentukan. Sekarang kita sudah menemui flaperon ini yang diharapkan dapat mendekatkan kita kepada lebih banyak penemuan seterusnya merungkai misteri kehilangan MH370,” kata Liow

Pasukan pencari temui tingkap dan kusyen tempat duduk pesawat

Sementara itu, Tiong Lai melaporkan pasukan mencari yang berada di Pulau Reunion turut menemui beberapa serpihan yang dipercayai daripada sebuah pesawat.

Tambahnya antara yang ditemui termasuk bahagian tingkap dan kusyen tempat duduk.

Bahagian tersebut telah dihantar kepada pihak berkuasa Perancis untuk diteliti dan disahkan status.

PPPR Kecewa Tindakan Ke Atas SPRM


Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), yang merupakan salah satu daripada lima badan bebas yang memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kecewa dengan tindakan yang diambil ke atas pegawai-pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan yang sedang dikendalikan oleh agensi itu ketika ini.

Dalam satu kenyataan, pengerusinya Tan Sri Johan Jaaffar menegaskan situasi terkini yang menyaksikan kehilangan kepercayaan dan keraguan masyarakat terhadap SPRM hanya boleh diatasi dengan memberi peluang kepada agensi itu untuk menjalankan tugas tanpa rasa takut atau gentar.

Johan juga menekankan SPRM perlu menjalankan tugasnya sebagaimana termaktub dalam Akta SPRM 2009 sebagai sebuah badan yang bebas, telus dan profesional.

Menurut beliau, persepsi orang ramai bahawa pegawai-pegawai penyiasat SPRM kini disiasat perlu ditangani dalam apa jua cara.

Panel itu juga berpendapat bahawa semua pihak yang diberi kepercayaan untuk membuat siasatan perlu bekerjasama demi mencari kebenaran.

Sehingga Rabu sembilan pegawai tertinggi SPRM disoal siasat polis berhubung dakwaan kebocoran siasatan ke atas 1MDB.

Polis turut menggeledah beberapa pejabat pegawai SPRM dan merampas dokumen dipercayai mempunyai kaitan dengan dakwaan itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), SPRM Datuk Mustafar Ali turut mengakui, siasatan agensi itu terhadap SRC International terjejas dengan penahanan tiga pegawainya pada petang Rabu.

Ringgit Terus Jatuh, Terburuk Sejak 17 Tahun



Ringgit jatuh ke paras terendah dalam tempoh 17 tahun hari ini diseret turun oleh pelbagai isu domestik serta kemerosotan harga komoditi, kata peniaga mata wang.

Pada jam 5 petang, ringgit disebut harga pada 3.9005/9035 berbanding dolar daripada 3.8760/8790 pada Rabu.

Ringgit merosot sehingga 0.4 peratus kepada 3.8935 satu dolar, paling lemah sejak 2 September 1998, sehari sebelum mata wang itu ditambat pada 3.8000.

Peniaga Mata Wang Capital Advisors, Justin Herling memberitahu Bernama, kejatuhan harga minyak serta ekonomi China yang tidak menentu, telah menyumbang kepada penyusutan ringgit.

“Ringgit juga diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama lain. Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 2.8140/8166 daripada 2.7986/7027 semalam dan menurun berbanding yen kepada 3.1231/1266 daripada 3.1160/1092 pada Rabu.

“Ia merosot berbanding euro kepada 4.2461/2501 daripada 4.2082/2122 sebelum ini dan lebih rendah berbanding pound sterling pada 6.0871/0938 daripada 6.0392 semalam,” katanya.

Wednesday 5 August 2015

'UMNO bukan milik pemimpin, ia milik kita semua' - MB Johor



Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengingatkan kepimpinan UMNO untuk tidak berdiam diri kalau rasuah jadi budaya.

Menurut beliau, sekiranya amanah dikhianati, pemimpin dan ahli UMNO perlu bertindak sewajarnya.

"UMNO tidak lagi boleh hanya jadi pemerhati, bila bangsa masih bergulat dengan kemiskinan dan jurang keberadaan. Kalian tidak boleh berdiam diri, kalau rasuah jadi budaya atau misalnya amanah dikhianati," kata Mohamed Khaled di laman Facebooknya siang tadi.

Posting tersebut adalah petikan ucapan beliau semasa merasmikan persidangan Wanita UMNO Bahagian Pasir gudang pada Ahad lalu di Dewan MPJBT Jalan Gunung, Seri Alam, Johor.

"Suka atau tidak, kita kena terima hakikat, UMNO hari ini berhadapan dengan krisis kredibiliti yang luar biasa, bukan lagi krisis persepsi kini menular sebagai krisis kewibawaan, rekahan kepada kesatuan parti telah mula jelas kelihatan" katanya.

Mohamed Khaled berkata UMNO tidak boleh hanya membisu bila parti tidak lagi mengutamakan perjuangan bangsa Melayu tetapi digunakan untuk membela golongan tertentu atas nama kesetiaan pada parti.

"UMNO bukan milik pemimpin. Ia milik kita semua. Jawatan tidak ada turun menurun.

"Sudah sampai masanya UMNO bergerak ke hadapan. Lebih proaktif dan lebih dominan," ujar Mohamed Khaled.

Beliau menambah, zaman ini bukan lagi masa untuk mendewakan kepimpinan, malah sifat dan budaya feudal bukan budaya UMNO.

Beliau menegaskan bahawa budaya UMNO adalah tentang nilai-nilai yang baik, terpuji, luhur dan mahmudah.

Solat Hajat , Doa Untuk SPRM


Kira-kira 100 kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyertai Majlis Solat Hajat Perdana hari ini bagi memohon agar institusi itu diberi kekuatan untuk terus kukuh dalam menyelamatkan negara daripada gejala rasuah.

Solat diadakan di bangunan pentadbiran SPRM di sini selepas solat Zohor, dipimpin Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Zakaria Jaffar.

Tazkirah ringkas dan doa memohon supaya SPRM dapat meneruskan perjuangan membela maruah agama, bangsa dan tanah air disusuli selepas itu.

Antara kandungan doa berkenaan ialah: "Kami memohon kepada-Mu, ya Allah, berilah kekuatan kepada kami untuk melaksanakan tugas dengan sebaik-baik mungkin. Berilah bimbingan dan petunjuk bagi mencapai kejayaan dalam melaksanakan tugas kami memerangi perbuatan rasuah yang mungkar dan penuh dengan dosa."

Zakaria turut memohon supaya Allah memberi kekuatan kepada pegawainya mempertahankan masyarakat dan negara daripada dicemari dengan rasuah dan penyelewengan.

Selain di Putrajaya, beberapa cawangan SPRM negeri turut bersama menganjurkan solat hajat.

Antaranya di Negeri Sembilan di mana solat hajat didirikan selepas solat dhuha sekitar jam 9 pagi dan dihadiri 36 kakitangan termasuk Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Datuk Shaharom Nizam.

Sementara Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Abd Aziz Aban mengambil peluang menyampaikan amanat dan pesanan kepada pegawai dan kakitangan yang menjadi jemaah solat hajat.

Selain itu, SPRM Johor, Melaka dan Terengganu turut diadakan pada Isnin dan Selasa.

Setakat ini, beberapa pegawai SPRM telah ditahan dan diambil keterangan berhubung kes kebocoran maklumat siasatan terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Terbaharu, Pengarah Operasi Khas Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Forensik Datuk IG Chandran dan pegawai SPRM, Tuan Roslan Tuan Mat diambil keterangan pada Isnin.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Sazilee Abdul Khairy dan bekas ahli Lembaga Penasihat SPRM, Tan Sri Rashpal Singh ditahan pada Sabtu.

Saturday 1 August 2015

Jangan Salahguna Mimbar Masjid - @MukhrizMahathir



JERLUN - Imam-iman di negeri ini disaran agar menggunakan teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) agar ianya dapat mengelakkan daripada menjadikan masjid sebagai tempat politik.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, peranan dan tanggungjawab imam-imam di negeri ini amat diperlukan dalam usaha bersama-sama menjaga kesucian dan kemurnian masjid.

“Kita tidak mahu masjid disalahgunakan dengan sewenang-wenangnya dan kerjasama daripada semua imam di negeri ini amat diperlukan dalam memelihara kesejahteraan masjid dan tidak menjadikannya sebagai tempat politik yang boleh menggugat keharmonian umat Islam,” jelasnya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan kepada 30 masjid dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam sempena bulan Ramadan yang diadakan di Masjid Ayer Hitam.


Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perdana Menteri memperuntukkan sebanyak RM1,000 kepada setiap masjid dalam DUN Ayer Hitam untuk menjalankan aktiviti keagamaan di sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini.

Adakah Saya Bersalah Melawat Tan Sri Muhyiddin Yang Banyak Berjasa Pada Kedah? - Mukhriz Mahathir



Dalam sidang media YAB MB Kedah sebentar tadi beliau menegaskan bahawa kunjungan beliau ke rumah Tan Sri Muhyiddin Yassin pada malam tersebut hanyalah untuk berterima kasih atas jasa yang Tan Sri Muhyiddin berikan pada negeri Kedah.

Kemudian beliau memperjelaskan lagi situasi yang berlaku.

Pertama, kita kena ingat bahawa MB Kedah ni suka melawat orang. Sewaktu Almarhum Nik Aziz meninggal pun beliau turut menziarahi jenazah buat kali terakhir, sedangkan beliau tiada hubungan pun. Hanya beliau satu-satunya Pengerusi Perhubungan UMNO negeri yang pergi menziarahi keluarga almarhum Dato Nik Aziz. Jadi, janganlah dipertikaikan kenapa bila seseorang digugurkan jawatan dan beliau pergi melawat.

Kedua, beliau pergi melawat dirumah Tan Sri, jadi takkanlah ada halangan untuk tuan rumah sendiri bercakap. Kita dirumah sendiri pun bercakap macam-macam juga, tetapi ianya dirumah. Cuma bila ianya dirakamkan dan viral tanpa izin dan pengetahuan, ianya bukan salah Tan Sri.

Patutnya ditanya, siapa yg rekod dan kenapa diviralkan, itu yang patut dipersoalkan. Ini dah kali kedua, dulu masa berucap dalam majlis KERIS pun kita tahu, ada org yg rakam ucapan dia, dan tanpa pengetahuan dia, viralkan video tu. Tu pun jadi isu, dan yg ni pun sekali lagi.

Kata Dato Seri Hj Mukhriz,

"Saya hanya mendengar apa yg beliau cakap dan tak tokok tambah apa yg Tan Sri kata hari tu".

sambung beliau,

"Saya tak nampak pulak apa yang saya lakukan itu satu kesalahan. Saya ingat elok jangan tanya saya soalan tu, tanya orang lain la. Apakah patut tindakan diambil keatas saya kerana pergi melawat bekas pemimpin untuk ucapkan terima kasih kepada dia. Saya ingat itu tak salah kot".

Namun Dato Seri kata beliau bersedia,

"Walaupun begitu, ya saya bersedia menghadapi segala kemungkinan sekalipun, iaitu asam garam politik la orang katakan, Kuasa yg ada dalam tangan saya ni diturun dari Allah SWT. Pada bila-bila masa, boleh diambil balik. Kita redhalah dengan keadaan".

Bila ditanya adakah segala kemungkinan, walaupun digugur jawatan MB.

Beliau menjawab,

"Saya sedia menghadapi apa saja kemungkinan sekalipun, tak perlu lah specific sangat kot".

Sidang Media YAB MB Kedah ketika di Majlis Rumah Terbuka UMNO Bahagian Jerlun sebentar tadi.

#MH17: 'Rusia perlu kerjasama dan lebih prihatin' - @azwanbro



Rusia diminta mencadangkan alternatif yang dapat menyelesaikan isu keengganan meluluskan penubuhan tribunal antarabangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 bagi mencari keadilan buat mangsa.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, tindakan Rusia yang menggunakan veto draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu, UNSC itu juga benar-benar mengecewakan.

"Kami amat kecewa dengan tindakan Russia menggunakan kuasa VETO untuk menolak penubuhan tribunal antarabangsa nahas MH17 bagi mencari keadilan buat mangsa.

"Pemuda konsisten dengan pendirian sewaktu kami menghantar memorandum bantahan ke kedutaan Russia bahawa keluarga mangsa khususnya dan rakyat Malaysia umumnya berhak untuk mendapatkan keadilan dan kebenaran.

"Apatah lagi kita mempunyai hubungan erat dan merupakan rakan baik kepada Russia di rantau ASEAN," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: Rusia veto draf resolusi penubuhan tribunal MH17

Khairul Azwan mengulas keputusan Rusia memveto draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu, UNSC untuk penubuhan Tribunal Antarabangsa berkenaan MH17.

Dalam kenyataannya, Rusia enggan meluluskan draf tersebut kerana menyifatkan tragedi MH17 bukanlah ancaman kepada keselamatan dan keamanan antarabangsa.

TONTON: Malaysia kecewa Rusia veto Tribunal MH17

Tambahnya, sebelum ini UNSC tidak pernah meluluskan penubuhan tribunal antarabangsa untuk mendakwa mereka yang terlibat dalam tragedi melibatkan pengangkutan.

Khairul Azwan turut memuatkan pandangan sama pada catatan terbaharu di laman Facebooknya.

Dalam pada itu kata Khairul Azwan, amat mengecewakan sekiranya pihak kerajaan Rusia tidak mengambil kira hubungan yang telah terjalin dengan negara selama ini.

"Saya mendesak Menteri Luar kita menghantar bantahan serta makluman kekecewaan kita kepada rakan sejawatnya.

"Sekiranya Russia berpendapat bahawa ini bukan jalan yang terbaik bagi menyelesaikan masaalah ini maka wajiblah mereka mencadangkan alternatif yang dapat menyelesaikan kemelut ini.

"Bagi pihak keluarga mangsa dan rakyat Malaysia kami teguh dengan pendirian bawah keadilan dan kebenaran mesti diperjuangkan," jelasnya.

11 ahli UNSC menyokong draf resolusi yang dicadangkan Malaysia ketika proses pengundian.

Sementara Angola, Venezuela dan China memilih untuk berkecuali.

Di sebalik tindakan veto, Moscow menyatakan kesediaan membantu siasatan pesawat MH17 yang didakwa ditembak jatuh di Ukraine.

BACA: MH17: Rusia tidak menentang siasatan, hanya mahu keadilan - Peguam

Pada Jumaat, Peguambela dan peguamcara, Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar berpandangan tindakan Rusia menggunakan kuasa veto menolak resolusi yang dibentangkan Malaysia kepada Majlis Keselamatan PBB bagi menubuhkan tribunal antarabangsa berkenaan nahas MH17 membuktikan ia mahu diberikan hak untuk mengemukakan bukti seadilnya.

Katanya, tindakan Rusia itu kerana Ukraine merupakan sebahagian daripada badan siasatan nahas tersebut.

POSTING PALING HOT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive