
Timbalan Menteri Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu berkata, kenyataan Najib sewaktu berucap pada majlis Perhimpunan Warga Kerja TNB bersama Perdana Menteri, merujuk kepada kenaikan bermula Januari tahun ini.
"Sewaktu berucap, Perdana Menteri merujuk pada (kenaikan pada) 1 Januari 2014, iaitu sesuatu yang telah pun berlaku. Dan beliau (Najib) dalam ucapan itu, turut menjelaskan kenapa tarif itu terpaksa dinaikkan.
"Buat masa kini, tiada perbincangan mengenai perancangan untuk menaikkan lagi tarif pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengagihan Elektrik Asia Tenggara di sini, hari ini.
Mahdzir berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai laporan sebuah portal berita yang melaporkan Perdana Menteri sebagai berkata, kerajaan perlu menimbangkan perkara yang kadang kala amat sukar dan ia termasuk menaikkan tarif elektrik.
Kenyataan Najib itu telah disalah anggap beberapa pihak kononnya kerajaan akan menaikkan lagi tarif elektrik dalam masa terdekat.
