
BAJET 2015
NEGERI KEDAH DARUL AMAN
“EKONOMI MODAL MEMAKMURKAN RAKYAT”
UCAPAN
YANG AMAT BERHORMAT
DATO’ SERI HAJI MUKHRIZ TUN MAHATHIR
MENTERI BESAR KEDAH DARUL AMAN
PADA HARI ISNIN, 17 NOVEMBER 2014
Assalamualaikum w.b.t.
Salam Sejahtera. Salam Kedah Aman Makmur.
Segala puji-pujian ke hadrat Allah S.W.T., selawat serta salam ke atas Junjungan Besar,Nabi Muhammad S.A.W., kaum keluarga baginda dan para sahabat.
Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
1. Kedah Darul Aman kebanggaan kita. Ribuan tahun usia tamadunnya. Negerinya berdaulat, penuh beradat. Sejarahnya gemilang, tinggi pula martabatnya. Rakyatnya, pedagang terbilang. Adil memerintah, Islam dijunjung. Orangnya ramah, Raja memayung.
2. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. atas segala limpah, rahmat dan kurniaNya. Hari ini, kita dapat berkumpul di Dewan Yang Mulia ini bagi merencana pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah. Kita berkumpul bagi melaksanakan tanggungjawab kita sebagai wakil-wakil rakyat dengan berbekalkan amanah besar. Sekali lagi, kita akan berbahas bagi meluluskan satu perbelanjaan Kerajaan Negeri bagi tahun 2015.
3. Izinkan saya memulakan pembentangan Bajet Negeri Kedah Darul Aman bagi tahun 2015 ini dengan memetik ayat suci Al-Quran, Surah Ibrahim, Ayat 7, bilamana Allah S.W.T. berfirman, yang bermaksud :
“ Dan apabila Tuhan kamu mengingatkan, sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepada kamu, dan sesungguhnya jika kamu mengingkari nikmat-Ku maka sesungguhnya azabKu sangat pedih.
4.Manakala dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 152, Allah S.W.T. berfirman dengan maksudnya:
“ Maka ingatlah kepada-Ku, nescaya Aku pun akan ingat kepadamu, bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu mengingkari nikmat-Ku. ”
Semoga dua potong ayat yang dibacakan tadi menjadi pegangan dan panduan kepada kita semua untuk sentiasa bersyukur akan nikmat kemakmuran yang dilimpahkan kepada kita dan semoga Allah S.W.T. akan menambahkan lagi nikmatNya kepada negeri yang bertuah ini.
5. Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang yang diletakkan amanah oleh rakyat untuk menunaikan kewajipan bagi memakmurkan negeri Kedah Darul Aman yang tercinta ini demi kemaslahatan kita bersama. Semestinya kita semua di Dewan Yang Mulia ini haruslah bersama-sama berganding bahu dan mengembleng tenaga dalam melaksanakan amanah ini supaya nikmat kemakmuran yang diperolehi sekarang akan terus berkekalan hendaknya.
6. Bajet 2015 ini adalah sebagai penyambung tradisi kepada keupayaan Kerajaan Barisan Nasional dalam memakmurkan Negeri Kedah dan membawa kemajuan kepada semua lapisan rakyat. Ianya adalah juga sebagai tanda terima kasih Kerajaan Negeri kepada semua rakyat Kedah kerana memberikan mandat untuk meneruskan agenda transformasi yang direncanakan. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan sentiasa memberikan yang terbaik kepada seluruh rakyat Negeri Kedah dengan memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan supaya lebih efisien, efektif dan berimpak tinggi. Amanah yang diberikan dan kepercayaan yang disandarkan ini akan dipikul oleh saya bersama semua barisan kepimpinan negeri ini dengan penuh dedikasi dan berintegriti, Inshaa-Allah.
Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
7. Sehingga Oktober 2014, kutipan sebenar hasil Kerajaan Negeri telah mencapai RM450 juta berbanding jumlah yang diunjurkan sepanjang tahun 2014 sebanyak RM731.4 juta. Kerajaan berharap perbezaan ini dapat dikecilkan menjelang akhir tahun ini jika sekiranya semua pihak dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing di dalam usaha menambah hasil negeri. Dalam masa yang sama, pengurusan kewangan hendaklah dilaksanakan dengan penuh berintegriti, berhemah, tepat dan cepat bagi mencapai keseimbangan antara pertambahan hasil dan peningkatan perbelanjaan.
8. Sehingga Oktober 2014 juga Kerajaan Negeri membelanjakan sebanyak RM410 juta untuk pengurusan berbanding jumlah yang dibajetkan bagi keseluruhan tahun 2014 sebanyak RM776 juta. Perbelanjaan yang dibuat oleh Kerajaan perlu seiring dengan pendapatan supaya kedudukan kewangan negeri sentiasa berada di dalam keadaan seimbang.
9. Kerajaan telah mengamalkan pendekatan perbelanjaan secara berhemah sepanjang tahun ini bagi memastikan ianya tidak melebihi keupayaan. Dalam masa yang sama, Kerajaan mesti merangka program dan projek pembangunan yang mampu membina semula kegemilangan Negeri Kedah. Untuk tujuan itu, perancangan jangka panjang disusun dengan penuh rapi. Disamping itu, semua perancangan projek berbentuk katilistik yang telah dibuat dengan teliti akan dimulakan secara agresif pada tahun 2015. Kerajaan yakin, ini akan melonjakkan kedudukan ekonomi Negeri dan akan sekaligus menambah pendapatan sebahagian besar rakyat.
10. Bajet 2015 yang dibentangkan ini merupakan bajet terakhir dalam Rancangan Malaysia ke-10. Oleh itu bajet pada kali ini lebih menumpukan kepada penyelesaian projek-projek dan program-program yang telah dirancang dalam Rancangan Malaysia Ke-10 selaras dengan empat teras pembangunan negeri yang ditetapkan iaitu:
i. Menjamin kemakmuran dan kelangsungan kesejahteraan rakyat;
ii. Merangsang pertumbuhan ekonomi dalam negeri;
iii. Memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan awam; dan
iiii. Mengupaya modal insan dan keusahawanan
11. Keempat-empat teras ini menjadi paksi kepada falsafah ekonomi modal dan ekonomi rakyat (capital economy and people’s economy), sebagaimana yang ditegaskan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan semasa membentangkan Bajet Nasional 2015. Penyediaan bajet tahun ini menitikberatkan penyeimbangan antara ekonomi makro dan ekonomi mikro. Kekayaan dan kemakmuran negeri melalui pertambahan jumlah pelaburan yang tinggi serta dasar kewangan fiskal akan dapat membawa pertumbuhan yang pesat yang akhirnya melimpah untuk dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat di negeri ini.
RANCANGAN MEMACU PEMBANGUNAN
Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
12. Dalam merangka strategi pembangunan yang lebih efisien dan mampan, Kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia telah mengadakan satu Pemukiman Rancangan Malaysia ke-11 pada bulan September tahun ini yang melibatkan semua agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan bersama-sama agensi swasta serta pertubuhan bukan kerajaan bagi menyumbangsaran (brainstorming) dan berbincang bagi menentukan projek-projek dan program-program yang akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 nanti. Melalui Pemukiman berkenaan juga, kita telah menentukan projek-projek utama yang akan memacu pembangunan dan kemajuan negeri kita. Meskipun perlaksanaannya dijangka bermula dengan RMK – 11, tetapi Kerajaan Negeri mengambil tindakan awal untuk menyiapkan prasarana mulai tahun hadapan.
Projek-projekkatilistikyang dikenalpasti adalah:
Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim atau KXP
13. Walaupun Negeri Kedah sudah mempunyai dua lapangan terbang iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, namun pembinaan lapangan terbang ketiga ini dilihat amat penting untuk memainkan peranan sebagai pintu masuk dan keluar aktiviti perdagangan wilayah utara. Ini dikuatkan lagi dengan justifikasi yang diterima ramai.
14. Kesesakan trafik di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang diakui akan menjadi lebih kritikal dalam masa beberapa tahun lagi. Ini disokong lagi dengan hujah bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bakal mengalami pertumbuhan semakin pesat dalam masa tiga tahun akan datang dalam hal pengendalian penumpang. Maka ianya semakin kurang mampu untuk memainkan peranan sebagai lapangan terbang bagi pengangkutan kargo. Peranan inilah yang akan diambilalih oleh KXP.
15. Keperluan membina lapangan terbang antarabangsa yang mempunyai dua landasan bagi memudahkan pergerakan ketibaan dan pelepasan serta kemudahan kawalan trafik tidak dapat dipertingkatkan di mana-mana lapangan terbang berdekatan. Maka sekali lagi, fakta ini menjadi justifikasi utama kebolehwujudan KXP. Kebanyakan penerbangan tambang murah sentiasa memberi penekanan kepada operasi pantas apabila tiba di sesuatu destinasi. Justeru, dua landasan berkembar yang dirancang untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dapat menarik syarikat tambang murah dengan serta-merta, malah diharap akan ada syarikat penerbangan tambang murah domestik dan antarabangsa yang akan menjadikan KXP sebagai hub operasi bagi rantau ini.
Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
14.Bayangkanlah jika impian ini menjadi kenyataan hasil daripada usaha kuat kerajaan yang ada sekarang dengan sokongan penuh daripada Kerajaan Persekutuan, seluruh Negeri Kedah akan menerima limpahan yang amat besar dari segi peluang perniagaan, peluang perkhidmatan dan peluang pekerjaan. Inilah yang dikatakan ekonomi modal (capital economy) menyumbang kepada ekonomi rakyat (people’s economy).
Bandaraya Aero Kedah (Kedah Aerocity)
15.Malaysia sudah terkenal sebagai pengeluar komponen dan alat pesawat kapal terbang. Syarikat-syarikat yang terletak di Melaka, Selangor dan Kedah ini menyumbang kepada pembinaan pesawat jenama besar seperti Boeing dan Airbus.Pengeluar komponen pesawat dan perkhidmatan penyelenggaraan pembaikan dan “overhaul”, atau MRO, memerlukan akses kepada landasan kapal terbang di lapangan terbang.
16.Oleh itu, kerajaan merancang untuk menyediakan sebidang tanah sebesar tidak kurang dari 100 ekar di KXP untuk menempatkan syarikat-syarikat pengeluar komponen dan perkhidmatan MRO pesawat. Taman industri ini dinamakan Kedah Aerocity.
Projek utama yang ketiga ialah Lebuhraya Sungai Petani-Kedah Inner Expressway (SPIKE)




