Al Fatihah
Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, yang terkorban dalam nahas helikopter di Kampung Sungai Pening, Semenyih, Selangor petang semalam, merupakan insan yang memiliki pelbagai bakat istimewa
Ahli Parlimen Rompin itu, yang akan mencapai usia 64 tahun pada 25 Mei ini, memulakan dunia kerjayanya dengan menjadi tenaga pengajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 1974 selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kelas Pertama dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik dari University of Manchester, United Kingdom.
Dua tahun kemudian, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dari University of Manitoba, Kanada dan pada 1980, beliau menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik (Sistem Kuasa) dari University of McGill, Kanada.
Selepas enam tahun menabur bakti dalam bidang akademik, pada 1981 beliau berundur untuk menubuhkan sebuah firma perunding yang membuat pengkhususan dalam bidang kejuruteraan elektrik dan mekanikal dikenali sebagai J&A Associates.
