sahabat-sahabat APJ

t.kasih sahabat-sahabat,jom follow

Wednesday, 22 July 2015

#1MDB : PANAS !!! The Edge Serah Dokumen Kepada Bank Negara


The Edge Media Group telah menyerahkan dokumen, e-mel bercetak dan cakera keras yang dimilikinya mengenai isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kepada Bank Negara.

Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Ho Kay Tat berkata bahan-bahan itu diserahkan semalam (Isnin).

"Hari ini, satu set (dokumen) yang serupa diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Polis.

"Saya juga beri kenyataan kepada CCID," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam kenyataan itu, beliau berkata: "Kami rasa selesa bila pelbagai badan penyiasat, Ketua Audit Negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Bank Negara, Polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) dan Peguam Negara telah memberikan komitmen mereka untuk mendedahkan kebenaran tanpa bimbang atau pilih kasih".

"Sesungguhnya, tanggungjawab dan tugas mereka kepada rakyat Malaysia semata-mata untuk melakukan itu. Sebagaimana tugas kami mencari berita," tambah beliau.

The Edge semalam menerbitkan artikel empat halaman mendakwa bahawa 1MDB dan rakan usaha samanya, PetroSaudi International, telah menipu Malaysia berbilion ringgit.

Dalam respons segera, 1MDB dalam satu kenyataan menyelar The Edge Financial Daily berhubung laporan itu dengan mengatakan bahawa ia "sudah lapuk, tidak berasas dan dikitar semula."

"Kami terkejut dengan dakwaan tidak berasas ini, dikitar semula sekali lagi, sedangkan pelbagai rupa siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa yang sah mengenai isu-isu yang ditimbulkan berkaitan urusan 1MDB.

Kementerian Dalam Negeri pada 1 Jun mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada The Edge berhubung laporan itu. - Bernama

Dakwaan Jatuhkan Kerajaan : Pihak Berkuasa Harus Bertindak - Pemuda Umno


Pemuda UMNO mahu pihak berkuasa segera mengambil tindakan sekiranya terbukti ada cubaan untuk menganggu-gugat kestabilan politik dan keamanan negara.

Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun berkata pihaknya memandang serius perkara itu kerana ia bukan sahaja membabitkan keamanan negara tetapi memberi kesan terhadap ekonomi negara dan rakyat.

"Sebab itu Pergerakan Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) memandang serius akan hal ini, dan sekiranya ada bukti pihak berkuasa jangan tunggu, segera ambil tindakan kerana ini akan menggugat kestabilan politik dan keamanan negara.

"Jangan berdolak-dalik, ini bukan soal Datuk Seri Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) atau soal mana-mana individu. Ini kestabilan politik negara dan juga keamanan negara. Pihak berkuasa jangan berdolak-dalik, ada bukti segera buat penahanan dan siasatan," katanya kepada pemberita pada majlis mesra Aidilfitri di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan mengenai cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dengan cara mewujudkan keadaan tidak stabil dalam negara dan menjejaskan keselamatan nasional.

Laporan menyebut bahawa pemimpin pembangkang telah mengadakan pertemuan dengan bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi) Xavier Andre Justo untuk membeli maklumat daripadanya bagi memburuk-burukkan kerajaan Malaysia.

Khairul Azwan juga turut menggesa pihak berkuasa menahan individu di belakang The Sarawak Report serta memulakan siasatan, dan bukan hanya setakat menyekat laman sesawang berkenaan.

"Untuk itu saya secara peribadi sekiranya terbukti Sarawak Report menipu, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan untuk tahan atau siasat mereka, bukan semata-mata sekat portal tersebut," katanya.

Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memutuskan untuk menyekat laman sesawang The Sarawak Report http://www.sarawakreport.org kerana ia didapati boleh mengganggu-gugat keselamatan negara.

SKMM dalam kenyataan berkata tindakan itu dibuat susulan maklumat dan aduan yang diterima daripada orang ramai bahawa laman sesawang itu telah memaparkan kandungan yang masih tidak dapat dipastikan kesahihannya dan sedang dalam siasatan.

#1MDB: 'Reman Pengarah Syarikat Dapat Kembalikan Keyakinan Rakyat' - @AzwanBro



Perintah reman Majistret Lau Eric di Mahkamah Majistret Putrajaya ke atas seorang pengarah sebuah syarikat swasta untuk membantu siasatan membabitkan akaun syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dapat membersihkan nama kepimpinan negara daripada kemelut isu berkenaan.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, penahanan individu berkenaan diharap dapat memberi lebih maklumat untuk merungkai pelbagai persoalan rakyat berkaitan 1MDB.

"Kita harap penahanan seseorang berkaitan siasatan petugas khas terhadap 1MDB dapat beri lebih maklumat untuk bersihkan nama kepimpinan negara.

"Selain itu ia dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan selain harapan agar semua tuduhan dan tohmahan boleh ditangani segera," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Khairul Azwan mengulas penahanan reman seorang pengarah sebuah syarikat swasta bagi membantu siasatan membabitkan akaun syarikat 1MDB.

Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek berusia 39 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kira-kira jam 1 petang pada Isnin oleh Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan untuk menyiasat 1MDB.

Dalam pada itu, Khairul Azwan berharap semua pihak dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan penyiasat agar kes dapat diselesaikan dengan segera.

Menurut sumber, permohonan reman suspek itu dipercayai bagi membantu siasatan mengenai dakwaan menerima rasuah bernilai RM5 juta.

Bernama pada Selasa melaporkan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu pemberita bahawa SPRM memohon perintah tahanan reman selama tujuh hari tetapi majistret hanya membenarkan empat hari.

Peguam itu berkata beliau tidak tahu sebab anak guamnya ditahan tetapi diberitahu bahawa ia adalah "siasatan atas kepentingan negara."

Tuesday, 14 July 2015

Peguam @azwanbro Hantar 'Letter Of Demand' Kepada @rafiziramli Angkara Fitnah



untuk makluman semua , petikan dari page facebook khairul azwan harun Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia.

Pada 8hb Julai 2015 saya telah membuat satu laporan polis terhadap ahli Parlimen Pandan YB Mohd Rafizi Ramli atas kenyataan beliau yang berbaur fitnah dengan mengaitkan saya kepada isu transaksi hartanah di Melbourne.

Bukan itu sahaja, peguam saya juga telah menghantar ‘letter of demand’ kepada Rafizi yang memberi tempoh sehingga 7 hari untuk dia memperbetulkan keadaan sama ada dengan menarik balik kenyataan atau memohon maaf atas kenyataan berbaur fitnah beliau terhadap saya. Sekiranya dia gagal berbuat demikian maka tindakan undang-undang akan diambil (saman).

Kebebasan bersuara itu bukanlah lesen untuk memfitnah. Saya sokong perbezaan pendapat dan percambahan idea namun budaya kotor seperti ini harus dicegah.

Pada pandangan aku, langkah yang di buat Naib Ketua Pumuda Umno Malaysia terhadap fitnah jahat lagi jijik dari Rafizi adalah tepat untuk mengajar perangai kaki fitnah seperti Rafizi dan puak pakatan rakyat. 

Seharusnya pemimpin-pemimpin Barisan Nasional mengambil langkah sama seperti Khairul Azwan ini, berani kerana benar , bukan jadi pengecut . 

Nukilan sedih TUN M Di Hari Lahirnya Ke 90


Nukilan berbentuk puisi ini tertera di bawahnya di mana ia ditulis pada hari kelahirannya yang ke-90 tahun (10 Julai 2015).

Negara-ku Malaysia, Tanahair-ku, Tanah di mana sembilan puluh tahun dahulu

Darah tumpah dan aku dilahir
Di lahir sebagai anak bangsa yang dijajah
Aku membesar mempertuankan orang asing
Terhina dan dihina
Bangsa yang serba kekurangan
Tinggal dipondok berbumbung atap nipah
Berdinding, berlantai kayu
Namun aku lebih bahagia dari ramai bangsaku
Mereka tinggal di pondok robek, tiris apabila hujan
Tanpa pili air tanpa lampu letrik
Anak mereka berkaki ayam, berkudis
Demam panas dan kadang-kadang meninggal
Aku survive, aku ke sekolah, aku ke universiti
Nasib aku lebih baik
Allah Subhanahu Wataala kesian kepada aku
Setelah dijajah oleh satu bangsa, dijajah pula oleh dua bangsa lagi

Aku bertanya akan bangsaku selalunya dijajah orangkah?
Alhamdullilah, berkat kesedaran, berkat perjuangan, berkat perpaduan

Bangsaku dibebas, merdeka
Apakah merdeka hanya bermakna tidak dijajah orang
Apakah merdeka bermakna terus merana
Tidak, tidak, tidak
Merdeka bermakna kemajuan
Kemajuan sehingga berdiri sama tinggi
Duduk sama rendah dengan bekas penjajah dan bangsa lain
Bahkan mungkin lebih tinggi
Politik yang menyelamat dahulu
Terus membela bangsa
Negara dibangun, bangsa dibangun, agama di muliakan
Kemudian…
Malang dan sedih,
Bangsa yang berjiwa kental, bersemangat besi
Diserang oleh nafsu dan perasaan tamak
Aku dapat apa dari kemerdekaan tanya mereka?
Mana bahagian aku?
Dan semangat pun menjadi luntur, tidak terdaya mengawal nafsu

Apa makna senang jika untuk mendapat sesuatu begitu susah
Dan nafsu dan perasaan tamak pun di peralat dan disogok oleh orang-orang politik dan orang kaya

Bangsa yang merdeka
Bangsa yang mulia
Sekarang sanggup menjual hak yang sedikit
Hak memilih, hak mengundi
Untuk mendapat kesenangan tanpa usaha, kesenangan yang sedikit

Maruah dijual
Bangsa dijual
Tanahair dijual
Segalanya dijual
Untuk nikmat yang tidak kekal, nikmat yang sementara yang sedikit sahaja

Politik yang menyelamat
Menjadi politik yang menghancur
Pemimpin semakin tamak
Untuk tempat dan kedudukan tinggi
Perbuatan yang haram dihalalkan
Nama ALLAH diperalatkan, dijual untuk nikmat yang sementara di dunia

Akan kembalikah bangsaku
Menjadi bangsa yang dijajah, dihina dan diperhambakan
Wahai bangsaku
Begitu mudahkah kamu lupa
Aku akan pergi tidak lama lagi
Dapatkah aku pejam mata dan hembus nafas terakhir
Kerana bangsaku
Negaraku
Masih mulia
Masih bermaruah
Masih dipandang tinggi
Atau mataku terbeliak
Nafasku tersesak, terhenti, kerana segala yang diperjuangkan luput ditelan nafsu

Ya ALLAH lindungilah bangsaku
Sedarkanlah mereka
Sedarkan mereka bahawa Engkau tidak akan mengubah nasib bangsa

Melainkan bangsa itu sendiri cuba mengubahnya
Mengubah sendiri, membendung nafsu
Kerana ALLAH
Kerana agama
Kerana bangsa
Kerana negara
Biarlah aku pergi
Mata terpejam rapat
Nafas perlahan berhenti…


TUN DR MAHATHIR MOHAMED
BEKAS PERDANA MENTERI MALAYSIA

POSTING PALING HOT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...