
Semasa majlis penyempurnaan pelepasan 279 jemaah haji ke tanah Suci di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) petang semalam , Sultan Mizan mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Tabung Haji (TH) kerana terus membantu dengan memberi tanggungan kos menunaikan fardu haji yang membolehkan bayaran menunai rukun Islam kelima itu pada kadar RM9,980 seorang walaupun kadar sebenar sebanyak RM16,155.
Baginda bertitah usaha menambah baik kualiti perkhidmatan TH harus diberi pujian sehingga ia menjadi agensi contoh terbaik kepada negara Islam lain di seluruh dunia.
Baginda bertitah jemaah haji Malaysia dikenali sebagai antara jemaah yang berdisiplin dan bersopan santun.
"Ini terbukti apabila negara Arab Saudi sering memuji jemaah negara ini sebagai jemaah haji yang mempunyai akhlak terpuji serta bersopan santun.
"Beta tidak mahu bakal haji negara ini terpengaruh dan terikut-ikut dengan pergolakan yang berlaku di negara-negara Timur Tengah. Ikutlah peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi," titah baginda.
Tahun ini, seramai 1,674 bakal haji dari Terengganu, Kelantan dan Pahang berlepas melalui LTSM melibatkan lima penerbangan bermula 8 Sept hingga 18 Sept.
Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah meminta jemaah yang bakal menunaikan haji musim ini supaya berdisiplin dan menjaga nama baik Malaysia semasa berada di Tanah Suci.