sahabat-sahabat APJ

t.kasih sahabat-sahabat,jom follow

Wednesday 22 May 2013

PANAS !!! KES BUNUH SOSILAWATI , KEPUTUSAN DIKETAHUI ESOK


SHAH ALAM 21 Mei - Perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi akan berakhir pada 23 Mei ini apabila Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Akhtar Tahir akan membuat keputusan di penghujung kes pembelaan.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 47, dan tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 21, R. Matan, 22, dan R. Kathavarayan, 32, akan dihukum gantung sampai mati.

Hakim Akhtar menetapkan tarikh tersebut selepas pihak pendakwaan dan pembelaan mengakhiri hujah masing-masing hari ini.

Pathmanabhan dan ketiga-tiga pekerja ladangnya didakwa membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Perbicaraan kes itu yang bermula pada 4 Julai 2011 mengambil masa selama 113 hari dan sebanyak 108 saksi pendakwaan dan 30 saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.

Selain itu, sebanyak 742 bahan bukti telah dikemukakan dan lebih daripada 6,000 muka surat nota keterangan direkodkan.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd. Ghani.

Kesemua tertuduh diwakili peguam-peguam bela, Manjeet Singh Dhillon, Puspam Ratnam, Gurbachan Singh, Amer Hamzah Arshad dan Hasshahari Johari Mawi.

Terdahulu, Gurbachan menghujahkan, anak guamnya, Thilaiyalagan tidak mempunyai alasan untuk membunuh kesemua mangsa kerana dia tidak mengenali mereka.

Selain itu, beliau mengulangi hujahan bahawa tiada bukti kukuh yang menunjukkan Sosilawati dan rakan-rakannya dibunuh di Ladang Gadong pada masa dan tarikh yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Gurbachan yang baru pulih daripada pembedahan ekoran penyakit kencing manis yang dihidapinya turut menyatakan, bukti berdasarkan keadaan perlu menunjukkan kepada satu perkara penting iaitu kebersalahan kesemua tertuduh.

Namun keadaan itu tidak wujud dalam perbicaraan terbabit, tambahnya.

Sementara itu, Ishak menghujahkan, walaupun pihak pendakwaan bergantung kepada bukti berdasarkan keadaan namun segala keterangan dan bukti yang telah dikemukakan berjaya membuktikan kes tersebut melangkaui keraguan munasabah.

Ujarnya, dakwaan wujudnya konspirasi antara polis, peguam dan pihak pendakwaan oleh barisan pembelaan juga telah berjaya dipatahkan oleh saksi pembelaan mereka sendiri iaitu Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Abdul Aziz Zakaria dan peguam Roslie Sulle.

Roslie merupakan peguam bela kepada mekanik, K. Sarawanan yang kini sedang menjalani hukuman penjara selepas mengaku bersalah atas tuduhan melupuskan bahan bukti (abu mayat kesemua mangsa).

Selain itu, pihak pembelaan yang mempunyai beban pembuktian yang lebih berat pada ketika ini tidak menafikan akan penemuan asid deoksiribonukleik (DNA) dua mangsa di ladang terbabit dan juga di atas sekeping zink.

UTUSAN

No comments:

POSTING PALING HOT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive