sahabat-sahabat APJ

t.kasih sahabat-sahabat,jom follow

Friday 13 June 2014

#JalinanKedah : KEDAH - JOHOR JALIN KERJASAMA @MukhrizMahathir #KedahKeJohor


Kerajaan negeri Kedah berminat menjalin kerjasama dua hala dengan kerajaan negeri Johor dalam beberapa sektor yang dilihat mampu memberi manfaat bersama khususnya perdagangan dan pelancongan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, kerjasama yang bakal dijalinkan akan memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan tempatan khususnya yang terlibat dengan industri kecil dan sederhana.

Menurutnya, cabaran utama yang mungkin timbul dalam sektor perdagangan adalah permasalahan berkaitan logistik.

"Isu logistik contohnya adalah cabaran utama. Sekiranya terdapat perkhidmatan kontena yang kerap dan terus antara Kedah dan negeri ini, pasti akan dapat meningkatkan nilai dagangan.

"Selain itu, kejayaan Johor dalam sektor pelancongan boleh diteladani negeri Kedah," katanya dalam sidang akhbar selepas program Jalinan Transformasi antara Kedah dan Johor di sini hari ini.

Lawatan dua hari itu bertujuan mencari pengalaman baharu serta mengeratkan hubungan antara kerajaan kedua-dua negeri.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Speaker Dewan Undangan Negeri, Tan Sri Mohamad Aziz dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim.

Kunjungan diketuai Mukhriz itu disertai kira-kira 60 orang termasuk pimpinan tertinggi kerajaan negeri Kedah antaranya Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Puat Mohd. Ali.

Mukhriz berkata, beliau lebih selesa menjalankan lawatan kerja di dalam negara terlebih dahulu sebelum melakukan lawatan ke luar negara.

"Kami berpandangan kerajaan negeri boleh mendapat pelbagai manfaat melalui lawatan kerja di dalam negara kerana pelbagai persamaan yang wujud," katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled memberitahu, pihaknya mengalu-alukan jalinan kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada rakyat negeri ini dan turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

"Lawatan ini bertujuan berkongsi dan bertukar pandangan berhubung soal pengurusan, pentadbiran dan pembangunan kerajaan negeri.

"Kedah umpamanya merupakan negeri pengeluar beras terbesar negara ini manakala Johor pengeluar produk makanan berasaskan tanaman. Jadi, dengan adanya jalinan kerjasama, pastinya perdagangan dua hala dapat dipertingkat," katanya.

No comments:

POSTING PALING HOT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive