Pemilihan ketua wanita UMNO bahagian Kepala Batas akan diadakan semula di dewan Wisma UMNO di sini pada 16 Oktober ini selepas Zabariah Wahab dan pencabarnya, Rokiah Bee Hassan memperoleh undi yang sama.
Masing-masing memperoleh 192 undi selepas pengiraan undi berakhir lewat malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan bahagian Kepala Batas, Datuk Yahaya Hamid berkata, keputusan untuk mengadakan pemilihan semula bagi jawatan itu dibuat selepas pengiraan undi yang dilakukan sebanyak lima kali memperoleh keputusan yang sama. "Selepas perbincangan, semua pihak bersetuju untuk mengadakan semula pemilihan bagi jawatan Ketua Wanita pada Rabu, 16 Oktober jam 8 malam di Dewan UMNO Kepala Batas," Katanya di sini, hari ini.
Pemilihan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kepala Batas semalam berlangsung di Dewan Kompleks Budi Penyayang.
Sementara itu Zabariah yang juga Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang berkata, beliau menyerahkan keputusan untuk memilih siapa ketua wanita bahagian itu kepada perwakilan.
"Saya akan terima apa sahaja keputusan yang dibuat perwakilan wanita di Kepala Batas," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment