Pentadbir Mukim Dun Wakaf Bharu, Rosli Abdul Ghani, berkata berdasarkan maklumat sebuah bank penghulu berusia 52 tahun yang juga bilal sebuah masjid dan penyokong Pas berusia 41 tahun itu telah menunaikan baucar bernilai RM650 masing-masing yang diperoleh daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 1 April lepas.
"Bagaimanapun mereka hadir sekali lagi pada majlis penyerahan BR1M 3.0 yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat Pengkalan Kubor pada 14 April lalu, apabila wang BR1M sebanyak RM650 diberikan secara tunai kepada setiap penerima," kata Rosli kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya melalui pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan telah memaklumkan kepada semua penerima yang layak, bahawa mereka yang telah menerima BR1M 3.0 tidak harus mengambilnya untuk kali kedua.
"Sebelum kami beri surat untuk penerima menghadiri majlis berkenaan, kami telah beritahu sekiranya sudah terima wang BR1M 3.0 jangan pergi ambil kali kedua.
"(Bagaimanapun) pada 15 April, pihak bank telah menghubungi saya memaklumkan terdapat dua penerima yang mengambil wang pada majlis 14 April telah pun menerima wang di sebuah bank lain sebelum ini," kata Rosli.
Beliau mendesak kedua-dua mereka agar mengembalikan wang itu dan sekiranya mereka enggan, beliau akan membuat laporan polis.
"Pada pagi ini penghulu dan penyokong PAS itu telah memulangkan semula wang BR1M berkenaan kepada pihak bank," katanya.
Rosli menasihati semua penerima bantuan yang diberikan oleh kerajaan persekutuan itu agar mengambilnya secara jujur kerana BR1M diperuntukkan kerajaan bagi meringankan beban hidup golongan berpendapatan rendah.
Dalam pembentangan Bajet 2014 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober tahun lalu, isi rumah yang berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah layak menerima bantuan BR1M sebanyak RM650 sementara individu bujang yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan akan menerima bantuan RM300. - Bernama
No comments:
Post a Comment