sahabat-sahabat APJ

t.kasih sahabat-sahabat,jom follow

Tuesday 15 April 2014

HUDUD : PKR TETAP DENGAN JANJI MENOLAK PELAKSANAAN HUDUD DI KELANTAN


Pas Kelantan terus menerima tekanan daripada rakan sekutunya untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini bertegas mematuhi perjanjian pada 2011 untuk tidak melaksanakannya.

Perjanjian yang dimeterai dalam Majlis Pimpinan Pakatan (MPP) pembangkang itu antara lain tidak akan melaksanakan hukum hudud demi menghormati penentangan konsisten yang dibuat oleh DAP berhubung pelaksanaan hukum tersebut.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendirian tersebut kekal selagi belum ada apa-apa penjelasan daripada Pas untuk menguatkuasakan hukum Islam itu di Kelantan.

Menurut beliau, PKR akan menunggu keputusan mesyuarat Biro Lajnah Politik Pas yang akan membincangkan perkara berkaitan pembentangan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat sebelum pimpinan tertinggi PKR membuat ketetapan.

“Saya difahamkan perkara tersebut telah dibincangkan di peringkat Pas Pusat dan kemudian dibawa kepada biro politik yang masih belum bermesyuarat tetapi belum ada keputusan jelas bagaimana proses itu akan dijalankan.

“Sehingga kita jelas apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan pembentangan rang undang-undang persendirian oleh Pas dengan enakmen ini barulah PKR akan bawa perkara ini kepada perbincangan peringkat tertinggi parti," katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat parti itu di sini hari ini.

Rakaman sidang akhbar itu disiarkan di laman portal, Harakah Daily yang turut dimuat naik di laman sosial YouTube.

Semalam, Kerajaan Pas Kelantan tidak akan sekali-kali berganjak daripada keputusan untuk melaksanakan hudud yang sememangnya menjadi perjuangan sejak dahulu walaupun mendapat bantahan daripada sekutu mereka sendiri.

Malah, katanya, pendirian Pas untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 di Kelantan itu telah diluluskan di peringkat negeri sejak dahulu lagi sebelum pakatan pembangkang wujud.

Baru-baru ini, DAP dan PKR menerusi Ketua Publisitinya, Tony Pua dan Naib Presiden, N. Surendran memberi peringatan keras kepada Pas bahawa hudud tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pembangkang dan cubaan membentang rang undang-undang itu akan ditentang.

Saifuddin berkata, pakatan pembangkang telah mencapai tiga perkara pada mesyuarat MPP tiga tahun lalu itu iaitu Majlis Presiden menghormati enakmen Kanun Jenayah Syariah yang dikemukakan oleh Kerajaan Pas Kelantan yang melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sah pada 1993 sebelum pakatan ditubuhkan.

Malah, katanya, Majlis Presiden turut mengakui dan menyedari penentangan daripada DAP terhadap enakmen tersebut yang kekal konsisten sehingga hari ini.

Selain itu, katanya, pada mesyuarat itu juga pimpinan pakatan pembangkang turut mengakui kerjasama politik untuk mengalahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Keputusan terakhir masih kekal melainkan perkara sekarang yang dicadang Kelantan itu dibawa Pas kepada Majlis Presiden dan dibincang semula untuk mencapai apa-apa keputusan.

“Sekiranya masih belum berlaku, pakatan pembangkang terikat dengan ketetapan itu dan PKR sebagai komponen dalam pakatan juga terikat," katanya.

1 comment:

Anonymous said...

PAS mmg dah salah pilih kawan, diperintah berbaik sesama muslim, dipilihnya berbaik dgn yg kufur dan dipilih bermusuh sesama muslim.
Nak perjuang / laksanakan perintah agama, harap sokongan dan tak dibantah org kafir, ada masalah salahkan UMNO. Ada logik ke ?
Atau mrk mmg sengaja bermain main, kejap nak kejap senyap, dia pun tahu kawam kawan sekongkolnya mmg akan membantah, tp ttp juga bersekongkol. Apa matlamat perjuangan sebnrnya ? Atau mmg termasuk golongan,
"Mrk hendak menipu Allah (swt) dan org org yg beriman, sedang mrk tidak menipu kecuali diri mrk sendiri (golongan mrk sendiri) sedang mrk tidak menyedari." 2:9.

POSTING PALING HOT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive