sahabat-sahabat APJ

t.kasih sahabat-sahabat,jom follow

Tuesday 30 September 2014

#HAJI1435H : MAKAM NABI MUHAMMAD SAW TIDAK AKAN DI PINDAH



Laporan bahawa kerajaan Arab Saudi sedang merancang memindahkan makam Nabi Muhammad SAW dari Masjid Nabawi adalah dakwaan jahat yang direka-reka.

Imam Besar yang juga Khatib Masjidil Haram, Syeikh Abdul Rahman Abdul Aziz As-Sudays (gambar) berkata, seluruh umat Islam sepatutnya celik dan sedar dengan dakyah daripada sumber media yang berniat buruk dan pihak gemarkan fitnah yang menuduh dengan projek pembesaran kedua-dua masjid suci itu bermakna melenyapkan tinggalan sejarah Islam.

"Atau terpengaruh dengan berita pemindahan kubur Nabi SAW.

"Kesemuanya hanyalah anggapan dan dakwaan jahat yang direka-reka. Hanya orang yang tidak menyelidik yang mempercayai perkhabaran tersebut," kata beliau yang juga Pengarah Perbadanan Utama Pengurusan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi bertaraf menteri.

Abdul Rahman yang bertanggungjawab melaporkan terus kepada pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah yang juga penjaga dan penyelia kedua-dua masjid itu mengulas perkara itu dalam khutbah Jumaat yang disampaikannya pada 19 September lalu.




Teks khutbah berbahasa Arab itu yang diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh seorang rakyat Malaysia, Mohamad Nurul Hafiz Ab. Latif diperoleh Mingguan Malaysia hari ini.

Mohamad Nurul Hafiz yang juga pelajar sarjana Kuliyyah Dakwah dan Thaqafah Islamiyah dari Universiti Ummul Qura di sini adalah penterjemah di Jabatan Penterjemah Masjidil Haram.

Abdul Rahman seterusnya meminta umat Islam supaya bertenang dalam menangani laporan fitnah seumpama itu.

"Bertenanglah wahai kaum muslimin sekalian! sesungguhnya Sunnatullah dan tanda-tanda kekuasaan-Nya daripada penciptaan dan pensyariatan dari dahulu dan selamanya akan memelihara Baitullahil Haram dan masjid Rasulullah SAW serta kamar baginda yang mulia daripada apa yang diugut dan disebarkan oleh manusia berniat jahat, bertepatan dengan sabda baginda SAW:

"Ya Allah janganlah jadikan kuburku bagai berhala yang di­sembah.

"Lalu Allah angkat doa baginda dan melapisinya dengan tiga lapis dinding sehingga yang mengelilinginya sentiasa bersilih ganti kerana doanya sentiasa terpelihara dalam kemuliaan, pemeliharaan dan penuh jagaan."

Kata Abdul Rahman:

"Oleh sebab itulah dituntut supaya menyelidik sesuatu berita dan bersikap bijak serta tidak mendengar kepada khabar angin dan tokok tambah.

"Lebih-lebih lagi apabila berkaitan dengan kedua-dua Tanah Haram yang mulia. Usahlah diberi telinga kepada pereka cerita, atau mengambil endah tentang perkataan yang sia-sia, supaya kita semua dapat menumpukan untuk menghadapi musim (haji) yang istimewa."

No comments:

POSTING PALING HOT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive