sahabat-sahabat APJ

t.kasih sahabat-sahabat,jom follow

Saturday 6 September 2014

#HAJI1435H : PENOREH GETAH GEMBIRA IMPIAN KE TANAH SUCI DIMAKBULKAN



Kegembiraan dan keterujaan jelas terpancar di wajah seorang penoreh getah dari Selama, Perak apabila namanya tersenarai sebagai salah seorang jemaah haji tahun ini.

Lebih menggembirakan, panggilan untuk ke Tanah Suci menyempurnakan ibadah haji diterima adalah sebaik sahaja dia sihat daripada penyakit angin ahmar yang dideritai setahun lalu.

Jemaah berkenaan, Hassan Abd. Majid, 69, berkata, tiada kata-kata yang dapat diucapkan bagi menggambarkan kesyukuran kerana impian untuk ke Tanah Suci akhirnya dimakbulkan Allah SWT.

Katanya, dia dan isterinya, Zaharah Hashim, 71, telah 10 tahun menanti panggilan untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu dan sentiasa berusaha memastikan wang simpanannya mencukupi bagi membolehkan mereka berdua menjejakkan kaki ke Mekah.

"Saya amat bersyukur kerana akhirnya dapat menjadi tetamu Allah. Tidak tergambar perasaan saya ketika ini tambahan pula baru sahaja sembuh awal tahun ini.

"Walaupun pergerakan saya agak terbatas kerana semasa sakit dahulu mengalami lumpuh seluruh badan, saya cukup gembira dan teruja," katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis Pelepasan Jemaah Haji 1435 Hijrah Kumpulan Pertama dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini hari ini.


Seorang lagi jemaah, Habshah Abdullah Sani, 81, memberitahu, hajat untuk ke Tanah Suci sememangnya telah lama dinantikan dan tahun ini impiannya itu ditunaikan Allah.

Katanya, biarpun terpaksa bergantung kepada tongkat selepas mengalami kecederaan akibat jatuh daripada motosikal dua tahun lalu, semangatnya untuk mengerjakan ibadah haji tetap utuh.

"Makcik ditemani anak untuk ke Tanah Suci dan kami dua beranak telah mendaftar sejak 2004.

"Sepatutnya makcik berlepas ke Mekah tahun lalu tetapi terpaksa ditangguhkan kerana nama anak tidak tersenarai tetapi biar apa pun, makcik amat bersyukur kerana impian untuk menyahut seruan haji tercapai juga," katanya.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Tabung Haji negeri, Muhamad Hamdan Omar berkata, seramai 279 jemaah berlepas ke Madinah hari ini.

Katanya, rombongan berkenaan menaiki pesawat KT29 pada pukul 1.20 petang dan dijangka tiba pada pukul 4.50 petang waktu Arab Saudi.

"Mereka ini adalah kumpulan pertama dan selepas ini akan ada lima kumpulan melibatkan 1,395 jemaah lain yang akan berlepas antara 7 hingga 21 September ini.

"Semua penerbangan awal akan akan mendarat di Madinah manakala tiga penerbangan terakhir nanti akan mendarat di Jeddah," katanya.

Tambahnya, penerbangan pulang semua jemaah akan bermula pada 10 Oktober dan yang terakhir dijangka tiba pada 7 November ini.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140906/dn_22/Penoreh-getah-gembira-impian-ke-Tanah-Suci-dimakbulkan#ixzz3CU42FrvP
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

POSTING PALING HOT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive